Catatan kali ini sedikit lari dari biasa. Namun bukanlah terlalu luarbiasa pula. Sekadar untuk berkongiskan pengalaman dan sedikit nostalgia di alam persekolahan atau lebih tepatnya persiapan ke alam persekolahan.
Cuma zamannya berbeza. Yang pertama saya terkenang-kenangkan zaman ketika saya, adik beradik dan rakan-rakan sekitar tahun pertengahan 1980an dan dibandingkan sedikit dengan zaman kini.
agak-agak mana satu saya .. TADIKA FELDA KUMAI 1985 |
Individunya juga berbeza yakni saya ketika bergelar anak dan kini ayah kepada anak saya.
Saya anak kepada salah seorang peneroka Felda Kumai, Bera Pahang. Seawal pembukaannya pernah saya kongsikan dalam catatan terdahulu.
Menjadi seorang kanak-kanak yang kemudian menjejak alam persekolah masih segar dalam ingatan biarpun telah lebih 28 tahun berlalu.
Bersekolah di kawasan felda bukanlah sesukar di kampung tradisional. Biarpun awal pembukaan, kemudahan pendidikan sedikit kurang kerana baru dibuka penempatan namun dalam tempoh 5 tahun sahaja, sekolah tadika dan sekolah kebangsaan didirikan segera.
Kepayahan melingkari kisah tersebut. Ketabahan pula datang memimpin langkah perjalanan.
Berada sekitar pertengahan tahun 1980 an memang mengujakan. Ekonomi dunia meleset.
Harga minyak kelapa sawit jatuh merundum bukan sahaja ke lantai malah sudah ke dalam tanah ibaratnya. Serangan dan propaganda keburukan minyak sawit dicanangkan oleh pihak Amerika Syarikat yang berusaha mempertahankan industri soya mereka.
Begitu juga dengan industri getah yang terhimpit dengan kemajuan getah sintetik serta kejatuhan ekonomi yang mengurangkan permintaan terhadap hasil komoditi ini.
Melihat wajah ayah ketika mengambil gaji di rumah ketua blok ketika itu Arwah Pak Long memang jelas dan mudah dibaca. Sugul. Risau. Hampa. Antara yang terpapar jelas.
Bukan sekadar ratusan yang diterima tetapi ada sekadar RM 2 sahaja baki gaji bulanan diterima. Mujurlah, untuk sara diri keluarga, "Kantin" menyediakan barangan secara akaun kredit yang ditolak gaji kelak.
Lebih perit ketika zaman persekolahan hendak dibuka. Persiapan perlu dilakukan dan ketika itu anak-anak semakin ramai yang menjejak kaki di alam persekolahan.
Bayangkan dengan jumlah anak sekitar 3 orang mahu ke sekolah. Membeli barangan persekolahan amat sukar untuk dilakukan.
Saya beruntung kerana ayah saya berniaga dan pengalaman membeli barangan persekolahan tidaklah seperit rakan yang lain.
Namun masih terhad pembelian kami. Sekadar sepasang kasut bata, sepasang stokin, baju dan seluar sekolah dan beg yang murah.
Tetapi ayah tetap ayah. Dengan penuh tanggungjawab dalam keperitan sedaya upaya memastikan persiapan sekolah anak-anaknya tetap tersedia.
Manakala ibu atau mak tetap sama berusaha. Bagi yang mempunyai kemahiran menjahir, baju sekolah dan seluar sekolah dijahit sendiri. Saya pasti kalau saya bertanya berapa ramai dikalangan kita yang menjahit baju untuk anak sendiri? Mungkin hanya tukang jahit sahaja yang akan mengangkat tangan.
haaa.. cari saya ... ketika darjah 4 ... berkabung untuk Almarhumah Sultanah Tengku Afzan ..cikgu Norbimah |
Ketika mendaftar hari pertama yuran sekolah, buku latihan dan tulis serta PIBG perlu dijelaskan. Bayangkan dalam ekonomi yang meleset, tangungan anak pula ramai dan bayaran ini perlu dijelaskan serentak. Namun masih ada toleransi dari pihak sekolah yang membenarkan secara ansuran.
Namun saya memerhatikan ramai dikalangan rakan-rakan saya yang memakai baju dari tahun yang sudah. Yang masih elok dipakai untuk tahun baharu. Malah kasut yang kurang putih walaupun dibasuh juga masih dipakai.
Tiada rungutan. Tiada rasa malu. Tiada rasa kecewa terpamir di kalangan rakan-rakan saya ini. Mereka seperti ibu dan bapa mereka menerima seadanya kerana yang penting setiap hari persekolahan mereka tidak akan gagal untuk hadir menuntut ilmu.
Ke sekolah pula setiap hari hanya berjalan kaki dari rumah. Baik hujan atau panas tetap diredah. Tiada bas, tiada kereta ibu dan bapa menghantar kecuali hanya sebilangan yang dijemput ayah yang pulang dari ladang.
Tidak kurang juga yang berbasikal seperti saya.berbondong-bondong kami adik beradik setiap hari ke sekolah.
Ketika saya melanjutkan pelajaran ke Asrama Felda Kuantan, saya berkesempatan berkongsi kisah di alam persekolahan dari rakan-rakan felda yang lain.
Antaranya bagaimana mereka membantu ayah dan ibu di ladang getah mengutip susu dan scrap setiap hari untuk mengumpul duit saku buat belanja di alam sekolah nanti.
Ada juga yang mencari kulat atau cendawan untuk dijual malah ada yang mencari besi buruk bersama adik dan abang masing-masing untuk membantu keluarga.
Saya teringat kisah rakan saya yang menceritakan abangnya pernah ditangkap oleh Polis Bantuan Felda atau kami panggil Felsco kerana membawa keluar getah scrap untuk dijual diluar bagi buat belanja pulang ke asrama kelak.
Dan banyak lagi kisah lain yang saya dengar dari rakan-rakan felda saya.
Benarlah, zaman persekolah kami sekitar tahun 1980 an mencabar ketabahan diri kami untuk menuntut ilmu namun mendengar pula cerita dari ayah dan mak mengenai kesusahan mereka ketika muda dan juga kisah abang dan kakak saya yang lebih tua menjadikan kisah kami ini terlalu kecil untuk dibandingkan dan dijadikan alasan untuk tidak ke sekolah.
Anda juga pasti mempunyai kisah yang berharga ini juga...
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.