Saturday, January 4, 2014

Nostalgia ; Menjelang persekolahan .. siri 2

Siri kedua catatang mengenai menjelang persekolahan ini sekitar pengalaman saya pula membuat persiapan persekolahan anak saya sendiri. Juga saya akan berkongsikan kisah yang sama dikalangan rakan-rakan saya.
 
Biarpun anak saya sekadar masuk pra sekolah di sekolah kebangsaan dan adiknya pula tadika Majlis Agama Islam di Cameron Highlands, persiapan yang dibuat oleh kami suami isteri mengalahkan macam masuk darjah satu sudahnya.
 
 
Seawal cuti sekolah saya dan isteri sudah membeli belah kelengkapan sekolah dan tentunya kami melakukannya di bawah kerana mahukan pilihan yang lebih dan harga yang mungkin sedikit murah.
 
Antara pasaraya yang kami kunjungi adalah seperti Hari-Hari, Mydin dan juga Tesco yang menjalankan Promosi Balik Ke Sekolah.
 
Beria-ria kami memilih uniform ringkas, kasut, stokin, beg, botol air sebelum anak-anak lebih pula excited bila ke kawasan alat tulis.
 
Kami mengambil peralatan yang berkenan dan harganya pula selepas itu baharu dibandingkan. Teringat juga saya ketika membeli belah hari itu kepada kenangan saya bersama ayah dan mak 28 tahun yang lalu.
 
Kami tidak membantah dan memilih tetapi sekadar menguji saiz baju dan seluar serta kasut. Malah ada dikalangan rakan-rakan yang kasut mereka diukur dengan lidi atau tali di rumah sebagai tanda saiz untuk dibeli oleh ayah mereka di pekan kelak.
 
Kami tidak menunjuk-nunjuk baju itu dan ini untuk dibeli. Bagnya pula sekadar yang murah dan mampu beli dan ketika zaman saya tiada bag sekolah berlatarkan watak kartun dan sebagainya. Hanya warna yang berbeza.
 
Sejumlah wang dibelanjakan dan ketika dan selepas membayarnya saya terkenang-kenang benar bagaimana ayah saya membayar semua kelengkapan sekolah kami adik beradik biarpun bergaji kecil dan berkat mereka berdua menyimpan wang lebih awal.
 
Jangan terperanjat , ada di masa saya kecil dahulu ibu dan bapa yang pergi ke kedai pajak gadai untuk mendapatkan sedikit wang tambahan buat membeli kelengkapan sekolah anak-anak mereka.  
 
Kini saya sendiri mengalami pula pengalaman ini dan saya bersyukur kerana diberikan rezeki untuk kemudahan anak-anak saya ini tanpa mengalami kesusahan yang perlu dihadapi sebagaimana yang diharungi oleh ayah dan mak dengan begitu tabah.
 
Terima kasih mak .. terima kasih ayah...
 
Menjelang hari persekolahan, ingatkan membeli belah tempohari sudah mencukupi tetapi bila diamati semula masih ada yang belum dibeli. Maka sekali lagi kami membeli belah peralatan yang masih tertinggal.
 
Pada hari persekolahan pula, selepas sesi taklimat, kami menghantar anak ke kelas masing-masing. Di akhirnya saya membayar pula semua yuran dan caj berkaitan.
 
 
Sejumlah wang dibayar dan saya tidak mempunyai masalah untuk tersebut kerana berniatkan dengan ikhlas untuk pendidikan anak-anak.
 
Namun ada juga kenalan yang sedikit mengomel kerana jumlahnya dikatakan terlalu besar. Saya memahami kerana bukan seorang anak beliau tetapi 4 orang semuanya termasuk yang di asrama.
 
Mujurnya cikgu tidak mendesak untuk dibayar pada hari yang sama tetapi boleh secara ansuran mengikut kemampuan. Mereka memahami beban yang ditanggung untuk persekolahan anak-anak ini.
 
Saya bersyukur kerana di Cameron Highlands, jumlah yang perlu dibayar masih murah. Malah peluang untuk menghantar anak-anak ke pra sekolah, tadika dan juga pusat asuhan mudah kerana populasi penduduk yang kecil.
 
Komposisi kaumnya seperti Melayu, India, Cina dan Orang Asli. Jumlah yang kecil ini dibantu lagi dengan jumlah sekolah yang banyak untuk sekolah rendah seperti Sekolah Kebangsaan Tanah Rata, SKJC Tanah Rata, SJKT Tanah Rata, Sekolah Kebangsaan Convent , SJKC Brinchang, SK Brinchang yang membantu membuat pilihan dan menjadikan kepadatan pelajar yang lebih kecil di dalam kelas memberikan lebih tumpuan oleh guru-guru kelak.
 
Teringat sembang-sembang dengan adik beradik ketika bercuti yang tinggal dibandar besar seperti Kuala Lumpur dan Shah Alam yang perlu menghantar anak-anak ke sekolah pra milik swasta kerana pendapatan sekeluarga yang melebihi had ditetapkan bagi membolehkan mereka yang berada dibawah had pendapatan diutamakan.
 
 
Untuk sekolah swasta ini pula bukan kecil belanjanya dan perlu diselesaikan lebih awal.
 
Sebab itulah saya gemar dan suka menetap di daerah kecil ini kerana kelebihan yang ada walaupun sesetengah menganggap jauh dari bandar. Bukan setiap hari kita nak bershopping sakan. Ok lah tu...
 
Kelas fardu ain juga ditawarkan di sekolah yang sama pada sesi petang dan ini memudahkan kami untuk menghantar dan menjemput anak-anak kerana berada di sekitarnya sahaja.
 
Bila saya menghitung kembali jumlah perbelanjaan yang diperuntukkan untuk anak-anak kecil saya, saya sekali lagi bersyukur kerana diberikan kemampuan yang seadanya ini untuk memberi peluang kepada mereka mendapatkan ilmu dunia dan akhirat dengan lebih selesa.
 
Cuma harapan saya mereka memanfaatkan peluang yang terhidang ini sebaik mungkin dan mendapat keberkatan dalam ilmu mereka.
 
Jauh di sudut hati, mungkin inilah juga doa dan harapan yang diberikan oleh mak dan ayah saya ketika mereka bertungkus lumus dan mengerah keringat untuk memastikan kami adik beradik mendapat ilmu yang boleh membantu kami di masa hadapan...
 
Tanpa pengorbanan mereka dan juga iltizam mereka menghadapi semua kesusahan, kami belum tentu dapat berdiri seperti mana sekarang ini...
 
Hargai mereka... di kala anda menghantar anak-anak ke sekolah.... sampaikan pula berita gembira dan syukur anda kepada mereka .... permulaan yang tiada ternilai ...
 
Terima kasih mak dan ayah.....

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.