Tuesday, July 2, 2013

Tips Melawat Cameron Highlands: Petani di Cameron

Saya tidak mempunyai statistik rasmi mengenai jumlah petani ataupun pekebun di Cameron Highlands buat masa sekarang.

Cuma kalau tak silap saya, Persatuan Pekebun Sayur Cina pernah menyatakan mereka mempunyai keahlian seramai 2200 orang pekebun sayur Cina. Yang tidak menjadi ahli persatuan pastinya ramai.



Ini tidak termasuk dengan jumlah pekebun sayur India dan juga Melayu yang juga tidak saya pasti jumlahnya.

Apapun catatan ini sekadar koleksi gambar-gambar petani yang saya ambil di sekitar Cameron Highlands beserta buruh atau pekerja mereka.


Bercakap mengenai buruh asing yang bekerja di kebun-kebun sayur, saya akui di Cameron Highlands ini tenaga kerja mereka diperlukan untuk memastikan kelangsungan industri pertanian ini terus bertahan.



Ini kerana jelas, warga tempatan tidak berminat baik bangsa apasekalipun. Jadi tidak hairanlah kunjungan saya ke kebun-kebun sayur mendapati hanyalah warga tua tempatan yang masih turun ke kebun untuk bertani bersama pekerja asing mereka.



Golongan muda lebih kepada kerja yang berlainan dan jika masih di sektor pertanian ini, mereka lebih selesa di bahagian jualan, pemasaran dan juga pengangkutan yang tidak bermain dengan tanah.

Di sesetengah kunjungan saya ke kebun sayur ini, saya biasanya akan berbual-bual dengan pekebun sayur yang saya temui baik pemiliknya ataupun pekerjanya.

Antaranya Mr. Tee (Bukan nama sebenar) cabaran utama dalam kerja sebagai pekebun adalah mengekalkan kos yang rendah ekoran cabaran harga pasaran yang tidak menentu.



Bayangkan, untuk mengeluarkan sejenis sayur berdaun memerlukan tempoh masa sekitar 45-70 hari untuk matang.

Input bahan seperti baja, racun dan benih semakin hari semakin meningkat harganya setiap tahun sekitar 10%.

Upah buruh untuk tahun ini juga meningkat bukan sahaja kerana kadar gaji minimum yang diperkenalkan tetapi juga untuk mengekalkan pekerja sedia ada dalam operasi kebun mereka kerana kini semakin mudah buruh asing mendapat kerja diluar yang lebih menjanjikan gaji yang lebih menarik dan suasana kerja yang lebih selesa ssperti kedai makan, jaga, kilang dan sebagainya.



Juga masalah sewa tanah yang semakin meningkat saban tahun.

Malangnya peningkatan kos sebegini tidak disokong dengan harga pembelian sayur oleh pihak peraih dan pemborong.

Bayangkan harga semasa daun bawang sekitar RM 0.50 sekilo, sawi cina sekitar RM 1.00 sekilo, sawi bulat sekitar RM0.80 sekilo, sayur sawi sekitar RM 1.20 sekilo dan lain-lain sayur yang harganya turun dan naik sepanjang tahun.

Maka ketidaktentuan harga ini belum menjanjikan keuntungan setiap kali musim penuaian sayur yang sudah matang. Mungkin masa menanam pasaran harga tinggi tetapi bila giliran menuai, harga menjunam teruk.

Kepada anda yang melihat kerja bertani ini mudah, rasanya tidak semudah yang anda sangkakan...

Gambar selebihnya di sini untuk petani di Bertam Valley , dan sini untuk Habu.

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.