Wednesday, June 12, 2013

Catatan Perjalanan: Aquaria KLCC

Di kala anda melawat Cameron Highlands pada musim cuti sekolah yang baharu saja berlalu, kami pula mencari ketenangan dan pandangan yang berbeza.
 
Melihat Cameron Highlands yang penuh sesak di kala itu memang tidak menyenangkan kami namun akur dengan kelaziman sebegini yang menuntut kami berkorban di kala cuti sekolah.
 
Jadi antara pilihan lain, kami turun pula bercuti di bawah.
 
Antaranya, mengunjungi AQUARIA KLCC yang hebat diperkatakan.
 
 
Tiba seawal 10 pagi kami terus bersarapan di ruangan medan selera dengan harga yang masih berpatutan.
 
Tiket bagi dewasa adalah RM 38 dan kanak-kanak berusia 4 tahun keatas adalah RM 28.
 
Memandangkan cuti sekolah, kami akur di sini juga penuh sesak dengan mereka yang juga bercuti sementelahan lagi hari yang dipilih bertembung pula dengan Cuti Keputeraan DYMM Agong.
 
Memasuki sahaja kawasan Aquaria, kami melihat Pirahna. Namun masih terlalu awal untuk melihat pertunjukan memberi makan ikan ini cuma replika rangka manusia yang diletakan bersama di dasar akuarium ini menunjukan ianya pemangsa yang ganas.
 
 
Melalui ruang yang sempit dihadapan selain ikan dan tikus air adalah ruangan pertunjukan Memerang yang dikendalikan oleh pelatihnya bernama Siti.
 
Cuma di sini agak sesak dengan laluan terhalang oleh penonton yang ingin melihat aksi manja si memerang dengan pelatihnya.
 
Tiada ruang untuk ke hadapan dan untuk berundur ke belakang pula diasak pengunjung yang baharu masuk dan ingin melihat pertunjukan ini.
 
 
Malah ketika ini penyaman udara tidak mampu memberikan kesejukan dan hasilnya masing-masing berkipas dengan pamplet Aquaria.
 
Memasuki ruangan selepas itu sebaik sahaja tamat pertunjukan memerang adalah ruangan beberapa jenis iguana yang dipamerkan dalam ruangan kaca.
 
Di hadapannya pula, perlu menuruni kawasan tangga untuk melihat kawasan tumpuan Aquaria iaitu Aquarium terbuka ikan air tawar.
 
 
Menariknya juga terdapat ikan gergasi araipama bersebelahannya dan bentuknya mungkin memberi dimensi yang berbeza kepada anak-anak. Teringat pula akan akuarium arapaima di Giant Shah Alam yang lebih besar ikannya suatu masa dahulu.
 
Tidak lama di sini, kami segera bergerak ke hadapan kerana pertunjukan memberi makan ikan pari telah bermula. Ternyata ruang yang sempit dan terlewat tiba menghalang kami ke hadapan untuk melihat pertunjukan tersebut.
 
Alternatifnya kami berundur dan beratur untuk memasuki kawasan terowong dasar akuarium air masin.
 
Sepanjang 92 meter, terowong ini diiktiraf sebagai terpanjang di Malaysia dengan mempamerkan ikan-ikan air masin yang pelbagai dari jerung , pari dan pelbagai lagi jenisnya malah juga penyu.
 
Melalui terowong ini, terdapat konveyer yang bergerak untuk kita berdiri dan melihat disekitarnya tanpa perlu berjalan.
 
Saya rasa ini juga sebahagian taktik Aquaria untuk memastikan pengunjung terus bergerak tanpa berhenti di mana-mana bahagian terowong.
 
Sebaik sahaja keluar, kami melihat pula ketam atlantik yang besar sebelum menantikan pertunjukan memberi makan ikan pari kedua.
 
Kali ni kami berada di depan dan bila pertunjukan bermula jelas dapat melihat gelagat ikan-ikan menjamu selera yang disediakan oleh dua penyelam yang profesional .
 
Di hadapan kami adalah gelas akuarium setebal 150 mm yang mampu menahan berat atau tekanan air akurium malah di kawasan ini adalah kawasan terdalam bagi akurium ini sekityar 4.2 meter.
 
 
Sekali sekali jerung melintas dan kadangkalanya si kismet iaitu Penyu Karah yang melintas dan bermain-main.
 
Pertunjukan sekitar 20 minit ini memang berbaloi untuk dilihat dan kami akhiri dengan sessi bergambar dengan penyelam.
 
Dikatakan pada pukul 3 petang, sesi memberi makan Jerung akan dilakukan dan pastinya lebih mencabar kerana jerung-jerung ini hanya diberik makan sebanyak 3 kali seminggu iaitu Isnin, Rabu dan Sabtu sahaja.
 
 
Namun masa tidak mengizinkan kami. Kami perlu beredar sebelum pukul 3 petang.
 
Melepasi kawasan aquarium adalah pameran replika jerung dan sedikit maklumat mengenai penjagaan alam sekitar.
 
Selebihnya kami habiskan di Atlantis iaitu kedai cenderamata.
 
Pendapat saya, saya lebih seronok melawat Langkawi Underwaterworld berbanding di sini kerana terdapat pelbagai jenis haiwan laut yang mengikut benua termasuklah penguin dan sebagainya.
 
Juga kawasan Aquaria  ini agak kecil dan membayar RM 38 seorang kurang berbaloi rasanya.
 
Namun untuk memberi peluang kepada anak-anak kecil kami, kamu akur dengan pengalaman pertama mereka ini yang pastinya lebih bermakna.
 
selebihnya gambar di SINI. 

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.