Antara keunikan di Ladang Teh BOH adalah aktiviti pembajaan melalui udara menggunakan Kapal terbang.
Aktiviti "Ariel Manuring" bukanlah teknik baharu digunakan tetapi merupakan teknik pembajaan yang telah lama digunakan dalam aktiviti perladangan dan pertanian.
Malah kalau melihat sejarah, syarikat perladangan seperti Guthrie, Sime Darby, Golden Hope dan Dunlop yang dimiliki oleh syarikat daripada British telah menggunakannya sebelum dihentikan kerana faktor agronomi dan kos.
Di Ladang Teh BOH, saya difahamkan aktiviti ini hanya dilakukan setahun sekali dan setiap kalinya melibatkan selama 10 hari termasuklah untuk kawasan Ladang Teh Sungei Palas.
Ramai yang tidak menyedari untuk melakukan aktiviti pembajaan dari udara ini, Boh memiliki sebuah lapangan terbang di puncak bukit ladang mereka dan saya percaya inilah Lapangan Terbang tertinggi di Malaysia.
Ketika saya ke sana minggu yang lalu, saya bertuah kerana dapat menyaksikan sendiri bagaimana pembajaan udara dilakukan.
Saya juga berkesempatan untuk ke lapangan terbang mereka namun mematuhi arahan keselamatan untuk tidak masuk ke landasan dan hanya sekadar berada di kawasan pengawal keselamatan mereka.
Patuhi sepenuhnya biarpun hanya pengawal keselamatan Bangladeshi yang bertugas.
Mereka memikul amanah dan tanggungjawab yang amat besar untuk memastikan tiada pencerobohan berlaku ketika pembajaan ini.
Jangan terlalu sombong dan angkuh untuk tidak mengikuti arahan mereka. Ingat .. anda berada di laman orang...
Saya mengatakan ini kerana mengikut kata pengawal keselamatan, ada pengunjung yang melanggar arahan dan tidak mahu mengikut larangan tersebut.
Mereka memandang rendah kepada pengawal keselamatan..
Saya mematuhi arahan yang diberikan. Keselamatan perlu diutamakan.
Kapal terbang akan terbang dan kembali mengisi muatan baja di hujung landasan dengan tempoh masa setiap selang 5-10 minit sahaja. Bayangkan betapa bahayanya jika anda berada di landasan.
Pemerhatian saya, kapal terbang akan hanya berada di landasan sekitar kurang 3 minit sebelum kembali terbang.
Deruman kapal terbang ini amat kuat. Saya memerhatikan dari jauh dan mendapati ianya mungkin jenis enjin tunggal atau single engine.
Kalaulah apa-apa berlaku pada enjin kapal terbang tersebut, risikonya amat tinggi.
Juruterbang akan menerbangkan kapal terbang dengan muatan baja melalui kawasan yang telah ditanda dengan penanda merah sebagai kawasan pembajaan.
Apabila melalui kawasan tersebut, baja akan dilepaskan. Baja yang dilepaskan akan jatuh ke atas daun teh dan ketika hujan, baja-baja ini akan sedirinya dibawa arus ke pangkal pokok yang lain.
Seronok saya melihat akan teknik pembajaan ini yang hanya saya baca sebelum ini ketika berada di universiti. Malah ketika kerja di ladang dahulu, ianya telah lama ditinggalkan.
Untuk ke sini, anda boleh sahaja melihatnya dari jauh.
Ianya memang unik...
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.