Berada di Ladang Boh Habu ini mengembalikan kenangan saya pada tahun 2001 ketika kali pertama ke Cameron Highlands. Kali ini pengalaman berada dan menginap di MNS ingin saya kongsikan dengan anda.
Malah untuk kali pertamanya, saya memandu ke sini selepas mendapat lesen kereta sekitar sebulan. Bayangkan dengan kekurangan pengalaman, saya menempuh perjalanan 64 km dari Tapah ke sini pada pukul 5 petang sebelum tiba di sini sekitar 6 petang.
Ketika itu laluan Tapah adalah laluan tunggal bagi mereka yang hendak ke Cameron Highlands dan menjadikanya laluan ini amat sibuk.
Untungnya kami dari Malaysia Nature Society (MNS) Pahang berkonvoi untuk ke sini. Saya ketika itu masih tidak pasti ke manakah tujuan perjalanan kami kerana tidak pernah ke sini.
Dengan cuaca yang semakin gelap, kami mula masuk ke Ladang Boh di sini dan pastinya memandu di laluan sempit dan berliku ini lebih mencabar.
Semakin lama memasuki kawasan ladang, dengan hujan menyambut kehadiran kami serta pemandang yang sudah gelap di kala senja benar-benar menutup persoalan saya mengenai persekitaran. Tumpuan saya hanyalah di laluan yang sempit dan berliku serta mula berkabus.
Melepas kawasan ladang teh dan rumah pekerja, kami mula mengambil selekoh ke MNS Chalet. Laluan semakin sempit. Di kanan jalan , kelihatan gaung yang tidak berdasar pada pandangan saya.
Ketika hampir senja berakhir kami tiba di kawasan meletak kereta yang amat sempit untuk menampung 20 buah kereta kami. Namun berkat bantuan dan kerjasama ahli yang lain, kereta berjaya diletakan dengan selamat sepanjang bahu jalan yang sempit.
Memasuki kawasan chalet yang sedikit mendaki, kelihatan sudah penuh dengan ahli MNS dari Perak. Kami hanya mendapat dorm sahaja manakala mereka mendapat bilik chalet.
Cuaca ketika itu amat sejuk malahan bagi kami yang baharu pertama kali ternyata pengalaman yang berbeza.
Kebanyakan dari kami berkumpul di ruang kawasan tamu di blok tengah dengan berdiang di bahagian hujungnya mencari panas.
Kad permainan mula di buka di kala menantikan makan malam yang juga disediakan secara bergotong royong. Cuma bagi saya yang muslim beserta beberapa kawan sekitar 3 orang , kami selesa untuk menyiapkan makanan sendiri yang dibawa bersama.
Penjaga chalet kalau tak silap saya bernama Mr. Murthi bersama isteri dan anak-anak mereka begitu ramah melayan tetamu yang ramai ini.
Kami tidur agak lewat dengan meminum air panas yang tidak hanya secawan tetapi bercawan-cawan untuk mendapatkan panas.
Dalam kesejukan kami tidur di asrama dan seawal pagi sesudah subuh kedengaran suara mesin dan pekerja di luar.
Dengan cahaya matahari pagi yang mula terbit saya melihat pemandangan di luar. Hamparan ladang teh yang berkabus cukup memukau. Subhanallah..
Lebih menariknya lagi sekumpulan pekerja ladang sedang menuai daun teh. Mereka menggunakan pemangkas khas dan ada yang menggukan mesin penuai daun teh.
Kerja-kerja mereka ini bukan sekadar mengamit dua atau tiga orang di kalangan kami malah hampir separuh daripada rombongan kami menghambat mereka dengan dekat untuk mengambil gambar dan sebagainya.
Dengan sarapan yang ringkas kami bergerak ke Pekan Brinchang untuk mendaki Gunung Irau seperti yang dirancangkan. Saya singgah sebentar di Pekan Tanah Rata untuk membeli kasut pendakian yang lebih sesuai. Suasana ketika itu bukan seperti sekarang.
Kami memasuki satu lagi kawasan ladang teh yang kini saya ketahui namanya Ladang Sungei Palas. Ketika itu saya tidak mengetahui arah langsung sebaliknya hanya mengikuti konvoi dihadapan. Mendaki laluan yang curam dan tinggi untuk ke puncak gunung.
Akhirnya kami tiba di pintu masuk laluan pendakian. Kami bersiap dan mula memanaskan badan. Ketika mula mendaki, laluan pokok-pokok berlumut begitu memukau saya. Biarpun lembab dan basah, saya terpukau dengan keindahan laluan ini yang kini saya ketahui sebagai Mossey Forest.
Kami mendaki dan mendaki sehinggalah sampai di Anak Irau sebelum menamatkan ke Puncak Irau.
Kembali semula kami ke Chalet MNS untuk malam kedua dan ketika ini suaranya agak kurang berbanding malam sebelum ekoran kepenatan mendaki.
Selepas itu, saya pulang seperti yang lain. Ini adalah pengalaman saya ketika tahun 2001 dan minggu yang lalu, 2013, saya kembali singgah di Chalet MNS ini ketika berjalan-jalan ke Ladang Teh Habu.
Kelihatan seperti sama kecuali dahulu kita boleh memasak di setiap unit chalet tetapi kini hanya di dapur utama dengan bayaran RM 10.
Dahulu kalau tak silap saya, kami hanya membayar RM 20 semalam tetapi kini harganya telah meningkat RM 90 semalam dengan penambahbaikan seperti bilik dan katil yang amat selesa serta kemudahan tandas di setiap unit.
Chalet ini adalah kerjasama antara MNS dan Boh untuk kemudahan kajian lapanngan. Menariknya Chalet MNS ini adalah bangunan asal kediaman pekerja ladang dan dikelilingi rimbunan daun teh dan pemandangan balkoni yang amat menarik.
Jika anda mencari kelainan, menginaplah di sini. Bawa bersama dapur dan makanan basah anda.
Di awal pagi, berjalan kaki mendaki atau menuruni laluan di sekitarnya. Lebih bernasib baik, anda boleh bersama pekerja ladang teh untuk memetik daun teh.
Pengalaman di ladang teh tidak akan ada di tempat yang lain. Hanya di sini sahaja dan percayalah ... jika anda seorang yang santai dan ingin meninggalkan segala kekusutan di luar sana pilihan untuk menginap di sini adalah yang terbaik...
untuk koleksi gambar yang lain, Klik laman FB MRKUMAI di SINI ..
Nanti saya kongsikan nombor untuk dihubungi mereka... dah hilang ...
tapi saya kongsikan dari laman MNS sendiri .. klik...
tapi saya kongsikan dari laman MNS sendiri .. klik...
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.