Thursday, May 30, 2013

Peristiwa: Dasar Buy Bristish Last ...

Memetik dari laman ini Klik ... saya kagum dengan keberanian Tun Dr. Mahathir dalam menangani keangkuhan British selepas pasca Merdeka.
 

1. Tun Dr. Mahathir adalah seorang pemimpin yang cintakan agama, bangsa dan Negara. Setiap tindakan beliau adalah demi kepentingan Negara. Kepentingan Negara diutamakan melebihi kepentingan peribadi.

2. Atas keperibadian inilah, beliau marah dengan tindakan Britain yang telah menaikkan yuran pengajian di United Kingdom sebanyak 3 kali ganda bagi pelajar luar [New Straits Time, 27 May 1981]. Britain merupakan destinasi pengajian tinggi yang utama bagi Malaysia dan pelajar Malaysia merupakan pelajar asing paling ramai di United Kingdom pada masa itu. Beliau menganggap tindakan ini menjejaskan hubungan sebagai sebuah Negara commonwealth.

3. Beliau juga marah dengan tindakan Britain yang tidak memberi hak pendaratan tambahan kepada Malaysia Airlines di lapangan terbang Heathrow.

4. Selain daripad itu, beliau juga telah mengarahkan rancangan untuk mengambil alih Guthrie dari Britain supaya tanah-tanah pertanian ini kembali menjadi hakmilik rakyat Malaysia. Hasilnya, melalui operasi `Dawn Raid’ atau serangan subuh, Malaysia sebagai sebuah Negara yang kecil telah berjaya mengambil alih syarikat Guthrie melalui pasaran terbuka dengan permainan mereka.
5. Tindakan beliau ini mengundang kemarahan Britain dan mereka (Guthrie, London Stock Exchange dan Kerajaan Britain) telah melemparkan pelbagai tuduhan dan mengaitkan tindakan `Dawn Raid’ ini sebagai satu tindakan yang bersifat nasionalisme. London Stock Exchange (LSE) pula kemudianya menukar kod pengambilalihan (takeover code) untuk mengelakkan Malaysia mengambilalih syarikat-syarikat lain.

6. Dr.Mahathir kemudianya dengan lantang bersuara bahawa tuduhan nasionalisme yg dibuat oleh Britain adalah untuk menghalang dan menakutkan pelaburan Negara asing ke Malaysia. Beliau juga lantang mengkritik tindakan LSE menukar kod untuk menghalang Malaysia mengambil-alih syarikat-syarikat lain seperti Dunlop, Barlow dan Harrison kerana menurut beliau, London tidak melakukan sedemikian apabila Arab, America dan Japan mengambil alih syarikat-syarikat Britain yang tersenarai di pasaran London Stock Exchange tetapi apabila Malaysia melakukannya, mereka mengubah peraturan.

7. Beliau menyifatkan tuduhan dan tindakan Britain ini sebagai contoh mentality colonial yang masih dipunyai oleh mereka [Far Eastern Economic Review, October 30, 1981].

8. Beliau juga mengkritik mesyuarat CHOGM dan mengatakan bahawa mesyuarat tersebut hanya lebih banyak bercakap dan tidak memberikan hasil. Beliau tidak menyertai CHOGM 1981. Beliau menyatakan bahawa lebih banyak yang boleh dibuat didalam Negara daripada hadir ke meeting CHOGM [Asiaweek, October 9, 1981 dan The Far Eastern Economic Review, September 25, 1981]

9. Lanjutan dari beberapa tindakan Britain seperti menaikkan yuan pengajian, melarang hak pendaratan tambahan dan serangan mereka terhadap operasi `Dawn Raid’ ini telah menyebabkan Dr. Mahathir melakukan kempen `Buy British Last’. Ini bukanlah satu polisi kerajaan sebaliknya adalah satu tindakan berani beliau sebagai seorang Perdana Menteri untuk mempertahankan maruah Negara. Kempen ini bermula dengan tindakan beliau yang mengarahkan semua pembelian oleh kerajaan Malaysia dari Britain perlu dirujuk kepada beliau dan perlu disertakan dengan sumber alternative dari syarikat selain Britain. Pembelian dari Britain hanya boleh dilakukan sebagai pilihan terakhir [Far Eastern Economic Review, October 9, 1981].

10. Lanjutan dari tindakan berani beliau ini, kerajaan Britain mula rasa terancam sebab Malaysia merupakan Negara dagangan Britain yang agak besar dan banyak syarikat Britain bergantung kepada urusniaga di Malaysia.

11. Selepas 5 bulan kempen `buy british last’ berjalan, pada Februari 1982, Britain telah menghantar Setiausaha Luar, Lord Carrington dan Menteri Pertahanan, John Notts ke Kuala Lumpur untuk berbincang tetapi tidak membuahkan hasil. Ini memaksa Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher sendiri yang berjumpa dengan beliau untuk menamatkan kempen `buy british last’ dan menyelesaikan isu CHOGM.

12. Lanjutan dari perjumpaan ini yg dibuat di London pada tahun 1983 oleh Margaret Thatcher, beberapa resolusi dibuat antaranya kerajaan Britain menyediakan bantuan kewangan sebanyak 160 juta pound sterling sebagai subsidi kepada pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di UK dan memberi hak pendaratan tambahan kepada Malaysia Airlines di Heathrow International Airport [The far eastern economic review, April 14, 1983].

13. Dengan satu tindakan berani beliau ini yang dilakukan secara bersendirian, sumbangan sebanyak 160 juta pound telah diberikan untuk pendidikan rakyat Malaysia. Terima Kasih Tun Dr. Mahathir Mohamad.

14. Dengan tindakan kerajaan Britain ini, maka kempen `Buy British Last’ dihentikan. Beliau juga menghadiri mesyuarat CHOCGM 1985 dan 1987 dan mengumumkan Malaysia akan menjadi tuan rumah untuk mesyuarat CHOGM 1989 dan sukan komanwel 1998.

15. Lanjutan dari ini juga, Malaysia dan Britain menandatangani perjanjian jual beli kelengkapan perang (Arms deal) bernilai 1.3 Billion pound dan projek Hydroelectric Power Station (Pergau Dam) di Kelantan yang bernilai 234 juta pound.

16. Tetapi, pada tahun 1994, kerajaan Britain dan Media di Britain telah melemparkan pelbagai tuduhan terhadap Malaysia dan Tun Dr. Mahathir. Mereka mengatakan bahawa projek Pergau Dam ini adalah `gula-gula’ kepada Malaysia sebagai pembalasan kepada perjanjian pembelian senjata oleh Malaysia. Malah media di Britain juga menuduh bawah Tun Dr. Mahathir menerima rasuah. Media di Britain telah cuba menghubungkaitkan perjanjian jualbeli senjata dengan projek Pergau Dam [The Sunday Times, January 23, 1994]dan telah menuduh perbuatan rasuah bernilai USD 500,000 kepda Dr. Mahathir [The Sunday Times, February 20, 1994].

17. Dr. Mahathir telah menyampaikan kekecewaanya kerana kerajaan Britain tidak membetulkan tanggapan bahawa sebenarnya projek Pergau Dam adalah low-interest loan (concessionary loan) dan bukannya grant. Dr. Mahathir juga menuntut editor Sunday Times untuk meminta maaf diatas tuduhan rasuah yang dibuat keatas beliau.

18. Mahathir telah menulis surat kepada Financial Times dengan menyatakan “…no contracts in exchange for British press freedom to tell lies” [The Financial Times, March 17, 1994].

19. Akibatnya, selepas Malaysia menerima penghantaran 28 buah British Aerospace Hawk Jet-fighter trainers (melalu perjanjian jualbeli senjata), Mahathir memberitahu Duta Britain, Duncan Slater bahawa Malaysia tidak lagi akan memberi kontrak kepada Britain. Tindakan ini kelihatan seperti kempen `Buy British Last’ II.

20. Tindakan berani Dr. Mahathir kali ke-dua ini juga bakal menjejaskan banyak contract syarikat Britain yang bernilai melebih 1 billion pound sterling termasuk kontrak projek KLIA. Tun Dr. Mahathir sekali lagi bertindak tegas dan berani mempertahankan maruah Negara dan dirinya dari dicemari dengan penipuan oleh media Britain atas nama kebebasan media.

21. Hasilnya, selepas 3 bulan, editor Sunday Times tersebut telah ditukarkan dan tidak lagi bersama akhbar The Sunday Times.

22. Selepas tindakan akhbar The Sunday Times ini, Dr. Mahathir menyatakann bahawa beliau dapat melihat pembaharuan dan penambahbaikan dalam laporan media Britain terhadap Negara Malaysia. Seterusnya, Dr. Mahathir menyatakan, sekiranya media Britain tidak lagi membuat laporan penipuan terhadap Malaysia, Malaysia boleh kembali berurusniaga dengan syarikat Britain.

23. Sekali lagi, ketegasan Dr. Mahathir terbukti dalam mempertahankan maruah Negara daripada dicemari oleh penipuan media Britain.

24. Peristiwa-peristiwa ini sepatutnya mengingatkan kita bagaimana seorang pemimpin yang begitu kuat sifat cintakan negaranya, bangsanya dan agamanya yang sanggup melakukan apa sahaja demi Negara yang dicintai.

25. Sayangnya, peristiwa-peristiwa ini tidak dipedulikan oleh sebahagian masyarakat Malaysia, sebaliknya mereka lebih mahu mempercayai cerita-cerita fitnah yang ditaburkan oleh sesetengah pihak yang benci kepada beliau. Terlalu banyak fitnah-fitnah dan cerita tipu yang disebarkan mengenai Tun Dr. Mahathir. Tetapi, sepertimana ramai yang maklum, Tun Dr. Mahathir tidak pernah kisah dengan cacian yang dibuat terhadap dirinya kerana yang penting bukanlah dirinya, tetapi Negara Malaysia. Beliau telah meletakkan kepentingan Negara melebihi segala-galanya.

Peristiwa : Down Raid...

Satu kisah sejarah yang menarik untuk di kongsikan dari feldakumai.com
 
Oleh: Lela Iskandar Suhaimi
Sejarah “Dawn Raid” — Serang Hendap Kuala Lumpur Ke Atas Kota London pada 1981 
                                                                                                                      
 
Kisah benar kejayaan sekumpulan anak Melayu mengambil kembali tanah-tanah di Malaysia yang dipegang Inggeris selama 160 tahun dengan serangan terancang ke atas ibu kota Britain
 
Pada 7 haribulan September tahun 1981, kota London digemparkan dengan pengambilalihan mengejut syarikat perladangan Guthrie di London. Guthrie yang berusia lebih 100 tahun dan merupakan antara syarikat perladangan terbesar British jatuh ke tangan pihak asing di dalam masa 4 jam sahaja.
 
Apa yang lebih mengejutkan ialah syarikat tersebut jatuh ke tangan kerajaan Malaysia, di bawah pimpinan Dr. Mahathir Muhammad yang baru memegang jawatan Perdana Menteri selama 2 bulan.
 
Latarbelakang – Kemiskinan Orang Melayu dan Kekayaan Orang Inggeris.
 
Pemandangan yang lazim selepas merdeka –seorang pesawah wanita sedang menanam anak padi
 
Selepas kemerdekaan Malaya pada tahun 1957, hampir 1 juta bangsa pendatang seperti Cina dan India diberi kerakyatan secara beransur-ansur.
 
Sebagai balasannya, mereka bersetuju untuk menghormati hak istimewa orang Melayu dalam perlembagaan.
 
Setelah lebih 10 tahun merdeka, pegangan orang Melayu terhadap kekayaan bumi Malaya sangat kecil. Walaupun orang Melayu merupakan majoriti , bangsa ini memegang hanya 1.5% bahagian harta korporat (itupun melalui syarikat kerajaan) berbanding bangsa Cina sebanyak 22.8%.
 
Walaupun tidak lagi menjajah, bangsa Inggeris pula memegang lebih 60 % dari kekayaan negara ini.
 
Pada masa yang sama, hampir separuh penduduk Malaya tinggal di bawah paras kemiskinan. Orang Melayu yang kebanyakannya tinggal di kampung sebagai petani dan pesawah adalah bangsa paling ramai tinggal dalam kemiskinan (74%).

Ketidaksamarataan kekayaan dan sikap perkauman tebal menyebabkan beberapa insiden pergaduhan terjadi berulang-ulang diantara kaum pribumi yang miskin (Melayu) dengan kaum pendatang yang kaya (Cina). Ia berlaku di beberapa tempat seperti di Georgetown, Pangkor dan Bukit Mertajam — sehinggalah kemuncaknya pada tahun 1969 di
Kuala Lumpur.
 
Dalam keputusan pilihanraya tahun itu, parti-parti bangsa Cina dan parti Islam berjaya menafikan majoriti parlimen parti pemerintah, sekaligus menyebabkan orang Melayu gusar kehilangan bukan sahaja kuasa ekonomi malah kuasa politik mereka. Orang Cina pula merayakan kemenangan mereka dengan berarak membawa penyapu dan melemparkan laungan provokatif dalam perarakan besar di Kampung Baru , Kuala Lumpur – satu kawasan penempatan yang dihuni kaum Melayu.
 
Provokasi ini akhirnya mencetuskan insiden berdarah 13 Mei 1969 yang mengakibatkan ratusan mati dan darurat di isytiharkan.
 
Antara pihak yang lantang menyalahkan kerajaan pada waktu yang dianggap memberi muka kepada kaum pendatang ialah seorang ahli parti pemerintah bernama Mahathir Mohammad yang mengkritik Perdana Menteri pertama dengan satu surat terbuka.
 
Katanya sikap berlembut Tunku Abdul Rahman menyebabkan “… orang2 China dan India membuat kurang ajar pada 12 Mei kepada orang Melayu. Kalau Tunku biasa di-ludah di-muka, di-maki dan di-tunjok kemaluan, boleh-lah Tunku faham perasaan orang Melayu.”
Kerana kritikan ini, beliau dipecat dari parti itu.
 
Dasar Bagi Membantu Orang Melayu
Apabila Tun Abdul Razak menjadi perdana menteri ke-2 (1970-1976) beliau memperkenalkan satu dasar yang dianggap radikal yang diberi nama Dasar Ekonomi Baru (DEB).
 
Tujuannya — menghapuskan kemiskinan bangsa Melayu dan memastikan agar pegangan orang Melayu dalam kekayaan negara dapat mencapai 30% pada tahun 1990. Dasar ini bukan saja akan membantu orang Melayu, tetapi juga boleh mengelakkan krisis antara kaum terjadi lagi.
 
Walaupun adanya dasar baru ini, pemilikan syarikat-syarikat Inggeris sebenarnya semakin bertambah. Guthrie contohnya, mempunyai 175,000 ekar pada tahun 1970an tetapi memiliki lebih 190,000 ekar tanah kelapa sawit, getah dan teh pada tahun 1981.

Sekitar tahun 1970an juga, seorang hartawan bijih timah Cina dari Ipoh bernama Lee Loy Seng giat membeli tanah pertanian dari British sehingga menyebabkan beliau menjadi salah seorang pemegang tanah terbesar di negara ini.
 
Pada masa yang sama, syarikat-syarikat British melengah-lengahkan usaha kerjasama dengan kerajaan dengan mengadakan perjumpaan demi perjumpaan dengan wakil kerajaan tanpa sebarang resolusi. Guthrie juga menolak usaha kerajaan untuk penanaman semula getah untuk pekebun kecil Melayu dan penubuhan kesatuan sekerja yang dianggap menyusahkan British.
 
Tetapi atas tekanan Bank Negara Malaysia, Guthrie akhirnya menubuhkan Guthrie-Ropel, sebuah anak syarikat Guthrie yang diberi kurang 17% dari jumlah tanah Guthrie di Malaysia. Usaha kerajaan ini bertujuan agar orang tempatan dapat membeli sebahagian kecil tanah Guthrie melalui Bursa Saham Kuala Lumpur.
 
Namun begitu, tembelang British akhirnya pecah apabila didapati bahawa kebanyakan tanah kepunyaan Guthrie-Ropel adalah tanah yang buruk untuk pertanian dan lazimnya terletak di atas kawasan bukit.
 
Pemerintah Anti-Penjajah, Mahathir Menduduki Kerusi Penting
 
Mahathir sewaktu sidang PBB
 
Mahathir yang diterima masuk semula pada 3 tahun selepas dipecat, akhirnya menjawat kerusi Perdana Menteri pada tahun 1981. Berbeza dari 3 Perdana Menteri sebelum ini, Mahathir dirakamkan oleh ahli sejarah sebagai Perdana Menteri pertama yang tidak merokok, tidak minum arak dan tidak meminati sukan golf.
 
Dan jika pemegang jawatan sebelum beliau berdarah raja, berpendidikan British dan mengekalkan hubungan baik dengan Inggeris, Mahathir pula belajar di Universiti Malaya Singapura, tidak mempunyai rakan berbangsa Inggeris dan terkenal dengan sikap anti-penjajahnya.
 
Sebelum menjadi Perdana Menteri lagi, beliau mengkritik dasar Inggeris yang membuka Tanah Melayu seluas-luasnya kepada pendatang dari India dan China, sekaligus menyebabkan orang Melayu terpinggir.
 
2 tahun sebelum beliau menjadi Perdana Menteri, pihak Inggeris menarik semula subsidi pendidikan kepada pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di Britain dan menaikkan yuran kepada pelajar asing, tetapi tidak kepada pelajar Eropah.
 
Ia memberikan tamparan hebat kepada 17,000 pelajar Malaysia di negara itu yang terbeban dengan yuran pengajian yang meningkat 3 kali ganda secara tiba-tiba. Malaysia juga pada waktu itu tidak mampu menyerap pelajar-pelajar ini kerana ia hanya mempunyai 2 buah universiti.
 
Mahathir yang ketika itu merupakan Menteri Perdagangan memberi amaran bahwa tindakan ini akan merugikan Britain dalam jangka masa panjang. Namun begitu, amaran beliau tidak diendahkan.
 
Tidak lama kemudian, London menolak permohonan Malaysia agar syarikat penerbangan MAS diberi hak mendarat tambahan di lapangan terbang Heathrow. Tetapi pada masa yang sama, Inggeris mencabar kewibawaan kerajaan Malaysia apabila sebuah pesawat supersonic Concorde miliknya menceroboh ruang antarabangsa Subang dalam perjalanannya ke Singapura.
 
Mahathir melihat ini sebagai sikap angkuh British yang masih memperlakukan Malaysia seperti tanah jajahannya.
 
Dato Ismail Ali Sebagai Pemimpin Serangan
Tandatangan Ismail atas wang kertas 50 ringgit Malaysia sewaktu menjadi gabenor bank negara.
 
Keangkuhan British bukan sahaja disedari oleh Mahathir dan ahli-ahli politik Melayu, tetapi turut dirasai oleh penjawat awam seperti pengerusi PNB, Dato Ismail Ali.
 
Secara kebetulan, adik ipar Mahathir ini juga adalah bekas Gabenor Bank Negara yang terlibat menggesa Guthrie menubuhkan Guthrie-Ropel.
 
Beliau juga adalah antara tokoh utama yang menubuhkan PNB — satu agensi yang ditugaskan khas bagi menjayakan DEB.
 
Sewaktu menjawat jawatan gabenor Bank Negara lagi, beliau menunjukkan sikap tidak mesra kepada Inggeris. Mark Gent, iaitu pengerusi Guthrie ketika itu berkata, beliau dan pengarah urusan Guthrie, Eric Griffith-Jones hampir pasti akan diarah oleh Ismail Ali untuk “menunggu diluar pejabatnya selama ½ jam” setiap kali mesyuarat diadakan.
 
Sewaktu Ismail menjadi gabenor juga, wang negara yang disimpan di bank Inggeris seperti HSBC dan Chartered dipindahkan ke bank tempatan. Bank-bank asing pula tidak lagi diberi peluang membuka cawangan di Malaysia.
 
Seperti Mahathir, beliau juga tidak berpuashati dengan orang Inggeris kerana sungguhpun PNB memiliki 25% saham Guthrie, tiada wakil PNB yang dirujuk dalam mesyuarat untuk menentukan halatuju syarikat.
 
Ini termasuk keputusan Guthrie menjual beberapa kepentingannya kepada MPH, sebuah syarikat koperasi milik hartawan-hartawan Cina di Malaysia pada awal 1981.
 
Syarikat MPH yang memiliki aset yang banyak ini pernah cuba membeli bank UMBC (iaitu antara bank terbesar negara ketika itu) sehingga menyebabkan Mahathir campurtangan.
 
Agar ia tidak didominasi bangsa Cina, Mahathir memastikan PERNAS dan Petronas juga mempunyai kepentingan dalam UMBC. Kedua-dua tokoh ini melihat bahawa jika pengambilalihan demi pengambilalihan MPH diteruskan, bangsa Cina semakin hampir mengganti orang Inggeris menguasai ekonomi negara ini.
 
Atas sebab ini, Ismail membuat keputusan nekad. Guthrie mesti diambilalih secepat mungkin.
 
Kerjasama Pelbagai Pihak
 
Setahun sebelum menjadi Perdana Menteri, Mahathir yang merupakan Menteri Perdagangan dan Tengku Razaleigh Hamzah selaku Menteri Kewangan telah di maklumkan oleh Ismail Ali bahawa beliau merancang untuk mengejutkan Inggeris dengan pengambilalihan syarikat mereka.
 
4 bulan sebelum serangan, pasukan di PNB yang diterajui oleh pengurus pelaburan bernama Khalid Ibrahim diberi tugas khas untuk meneliti dan merangka strategi bagi memastikan semua berjalan lancar.
 
Khalid yang pernah bekerja di Barings London (iaitu syarikat yang menjadi penasihat kewangan Guthrie), pakar-pakar pelaburan PNB dan penasihat dari bank saudagar N. M. Rothschild & Sons Ltd diarahkan untuk mengkaji secara rahsia samada Guthrie boleh diambilalih.
 
Jika positif, mereka diarahkan merangka strategi terperinci bagaimana ianya boleh dibuat.
 
Hasil dari penelitian mereka, kumpulan ini menjumpai satu kelemahan dalam akta bursa saham London yang boleh dieksploitasi. Dengan kelemahan ini, satu serang hendap ekonomi untuk mengambilalih Guthrie boleh dibuat.
 
Syaratnya ianya dibuat sepantas dan serahsia mungkin hingga Inggeris tidak sempat melakukan pertahanan.
 
Dengan persetujuan Mahathir, modal pengambilalihan (sebanyak 282 juta pound) diambil dari tiga punca – Petronas, PERNAS dan menerusi satu skim amanah saham baru yang ditawarkan kepada orang Melayu 4 bulan sebelum serangan. Skim ini dinamakan Amanah Saham Nasional (ASN).
 
Untuk memastikan Inggeris tidak menyedari bahawa kerajaan Malaysia berada di belakang pengambilalihan ini, Khalid diarahkan oleh Rothschilds untuk membuka bank akaun di Switzerland untuk tujuan pembayaran saham.
 
Mengapa Guthrie ?
 
Guthrie menjadi sasaran kerana selain dimiliki pelabur Ingeris, saham-saham Guthrie pada waktu itu juga dipegang oleh beberapa syarikat bukan Inggeris yang mesra kepada PNB. Antara syarikat tersebut antaranya adalah Genting, Bank Simpanan Nasional, Kuwait Investment Office dan OCBC.
 
Dengan pegangan sedia ada sebanyak 25%, PNB memerlukan 15% saham sahaja lagi bagi menjadikan keseluruhan pegangannya ke 40% , sekaligus menjadikannya sebagai pemegang saham utama Guthrie.
 
Untuk ini, N. M. Rothschild & Sons Ltd dilantik bagi membeli saham Guthrie dari pelabur besar bagi pihak PNB, manakala Rowe & Pittman pula dilantik menjadi broker bagi membeli saham Guthrie dari pelabur-pelabur kecil.
 
Ideanya di sini ialah agar sebahagian besar saham Guthrie di Malaysia dan di London dibeli serentak sebelum bursa dibuka, dan ia mesti dibeli tanpa disedari oleh pihak pengurusan Guthrie sendiri.
 
Untuk memastikan kejayaan serangan rahsia ini, hanya sekumpulan kecil perancang sahaja yang terlibat secara langsung. Mohammad Desa Pachi, yang juga Ketua Eksekutif PNB ketika itu juga tidak diberitahu secara terperinci bagaimana operasi ini akan dilaksanakan.
 
Operasi Serangan Subuh atau “Dawn Raid”
Hari serangan akhirnya diputuskan — 7 September, pukul 9 pagi waktu London (4 petang waktu Malaysia).
 
Mengikut rancangan, kesemua yang terlibat akan mendapatkan persetujuan penjual-penjual sebelum bursa dibuka. Apabila ia dibuka, PNB akan mengisytiharkan berita menggemparkan ini dan menguruskan dokumentasinya sahaja — sekaligus memberi kejutan kepada Guthrie dan pemegang saham lain.
 
Yang rumitnya ialah memastikan pembelian ini dilakukan secara rahsia. Kerana jika ia terbongkar awal, harga saham Guthrie bakal melambung tinggi dan pengurusan Guthrie akan bertindakbalas untuk menggagalkan serangan hendap ini.
 
Di Malaysia Khalid yang diberi tugas menguruskan pembelian di sini optimis bahawa Bank Simpanan, Genting dan Kuwait Investment Group akan menerima tawaran PNB kerana ketiga-tiganya dianggap “mesra” dengan PNB.
 
Dato Ismail pula bergegas ke Singapura pada hari itu untuk berjumpa dengan pengerusi OCBC. Rancangannya ialah untuk meyakinkan pihak OCBC untuk menerima tawaran membeli saham Guthrie yang dipegang bank itu pada pukul 3:30 ptg, dan menghantar notis penerimaan pada pukul 3:45 petang.
 
Di London, Rowe & Pittman serta Rothschilds hanya menunggu lampu hijau dari Malaysia untuk membeli saham-saham Guthrie dari pelabur Inggeris pada pagi tersebut.
 
Sewaktu di Singapura, Ismail dan pengerusi OCBC, Tan Chin Tuan berbincang mengenai pembelian saham Guthrie sewaktu makan tengahari.
 
Perbincangan yang memakan masa lama itu akhirnya berakhir dengan satu berita kurang enak. OCBC menolak tawaran PNB.
 
Ismail menelefon Khalid dan memberitahu berita buruk tersebut. Tetapi oleh kerana Khalid telah berjaya membeli saham dari Kuwait, Bank Simpanan dan Genting, mereka tiada jalan lain kecuali meneruskan serangan.
 
Di London, sebaik menerima lampu hijau, kedua-dua firma yang diupah PNB memulakan proses pembelian sepantas mungkin. Bank saudagar Rothschilds berjaya memujuk M&G Investment Trust, sebuah syarikat amanah saham Inggeris (yang memegang 17% dari Guthrie) menjual 11% saham Guthrie miliknya.
 
Broker-broker Rowe & Pittman yang ditugaskan membeli saham dari pelabur kecil Britain pula berjaya mengumpulkan sasaran 5% saham dari orang Inggeris.
 
Walaupun tanpa saham OCBC, dalam masa 4 jam, PNB berjaya memiliki 8 juta saham, atau 50.41% dari keseluruhan syarikat, tanpa disedari atau keizinan pihak pengurusan Guthrie.
Lewat tengahari waktu London, Guthrie jatuh ke dalam genggaman Malaysia. 
 
Mahathir Terus Menekan British
Laporan akhbar Glasgow Herald di London pada 8 Sept 1981
 
Pengerusi Guthrie, Mark Gent hanya sedar bahawa bahawa syarikatnya jatuh ke tangan Malaysia setelah mendengar berita itu di radio.
 
Pengambilalihan secara tiba-tiba dengan mengeksploitasi kelemahan system bursa London oleh tanah jajahannya sendiri menyebabkan kerajaan British malu besar. Walaupun ada broker di London memujinya sebagai urusniaga “licik”, media London kebanyakannya menyelar serangan ini sebagai “nasionalisasi pintu belakang”.
 
Sebagai tindakbalas, London kemudiannya bertindak meminda peraturan di Bursa Saham London bagi memastikan syarikat-syarikat lain milik British seperti Dunlop tidak jatuh dengan cara sama.
 
Sebulan selepas itu, London dikejutkan lagi dengan pengumuman baru Mahathir.
Mahathir mengumumkan bahawa Malaysia akan memboikot barangan dan perkidmatan dengan British melalui kempen yang dinamakan Buy British Last. Mahathir yang marah kerana spekulasi timah dunia di London mengakibatkan harga eksport utama Malaysia jatuh mendadak, telah mengarahkan agar semua kontrak kerajaan kepada pihak British dibekukan.
 
Tindakan Mahathir ini memberi kesan besar kepada kontrak semasa dan akan datang British berjumlah 1.25 billion pound sterling yang sepatutnya diterima oleh British. Kontrak Dunlop untuk membekal tayar kepada kerajaan sejak 1963 lagi contohnya kini diberi kepada sebuah syarikat Amerika Syarikat sehingga menyebabkan Dunlop menjual kepentingan mereka kepada MPH.
 
Dalam masa 3 bulan, saham-saham Guthrie perlahan-lahan dijual kepada PNB. Pada akhir tahun 1981, 100% Guthrie berada di bawah pegangan anak tempatan. Ismail akhirnya mengambilalih pengurusan Guthrie dan memindahkan ibu pejabat operasi Guthrie dari London ke Kuala Lumpur sebagai tanda berakhirnya penguasaan Inggeris ke atas syarikat tersebut.
 
Tidak lama selepas Dawn Raid juga, Mahathir memboikot Persidangan Negara-Negara Komanwel (negara bekas jajahan British) yang diterajui oleh Britain. Menurutnya, mesyuarat itu hanya melebihkan kepentingan orang berkulit putih.
Beliau juga mengumumkan dasar baru kerajaan iaitu Dasar Pandang ke Timur. Dengan dasar ini , cara kerja Inggeris akan digantikan dengan cara pengurusan dan kerja orang Jepun, Taiwan dan Korea.
 
Hasil Besar dari Serangan
 
Operasi mengejut “serangan subuh” ke atas Guthrie dan dasar-dasar keras Mahathir memberi impak besar dalam masa yang cukup singkat.
 
Firma-firma British di Malaysia yang sebelum ini bersikap acuh tidak acuh kepada arahan kerajaan Malaysia kini akur membuka pintu rundingan.
 
Tidak lama selepas itu, tiga syarikat perladangan besar British di Malaysia — Highlands & Lowlands, Barlows dan Harrisons & Crosfield (H&C) akhirnya tunduk menjual kepentingan mereka di Malaysia kepada PNB. Hasilnya, tanah milik Guthrie dan tanah-tanah lain milik Inggeris di Malaysia kembali ke tangan rakyat Malaysia.
Oleh kerana H&C memiliki tanah ladang getah, kelapa sawit dan aset bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara lain seperti di India, New Zealand dan Taiwan, PNB juga menjadi tuan tanah baru kepada asset-aset Inggeris dari seluruh dunia.
 
Dengan pemilikan baru ini, PNB selaku wakil orang Melayu muncul sebagai pemilik tanah ladang terbesar di dunia.
 
 
Lebih manis lagi, dalam temuramah dengan wartawan tempatan, Khalid memberitahu bahawa setelah PNB menjual aset Guthrie di luar Malaysia, keuntungan yang didapati melebihi jumlah kos yang diguna sewaktu Dawn Raid.
 
Kata Khalid “..kita sebenarnya mendapat Guthrie secara percuma.”

Wednesday, May 29, 2013

Peristiwa: Pahang vs JDT

Perlawanan Pahang, Johor DT ditunda
 
Kuantan: Perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim (DT) malam tadi terpaksa dibatalkan selepas berlaku kekecohan penonton yang menyaksikan lebih 7,000 penyokong membanjiri trek Stadium Darul Makmur, dan beberapa orang tercedera akibat balingan objek keras.

Limpahan penonton berlaku selepas stadium berkapasiti 35,000 itu dibanjiri lebih 42,000 penyokong dari kedua-dua pasukan mengakibatkan pihak keselamatan terpaksa menangguhkan sepak mula bagi meleraikan penonton berhampiran padang.
Sultan Pahang yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah serta Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah turun mencemar duli untuk bertanyakan situasi sebenar kepada pegawai perlawanan selain turut bertemu beberapa penyokong Tok Gajah yang duduk di atas trek.

Terlalu hampir dengan padang

Berdasarkan peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), setiap perlawanan tidak boleh dilangsungkan andai ada penonton yang duduk terlalu hampir dengan padang kerana dibimbangi bakal mencetuskan keadaan tidak selesa pemain terutama membabitkan keselamatan masing-masing.

Penyokong Johor DT, Salehan Sakiran, 39, yang datang bersama rakannya dari Muar, Johor kesal dengan apa yang berlaku dan menyifatkan ia berpunca daripada kesilapan PBNP kerana menjual tiket melebihi kapasiti stadium.

“Kalau ditanya mengenai perasaan saya sekarang, memang takut kerana kami berada dalam kelompok kecil dan ia pasti mengundang masalah besar buat kami.
"Saya harap perkara sebegini tidak berlaku lagi pada masa depan dan memohon supaya kawalan keselamatan di stadium diperketatkan lagi. Saya lihat tadi sudah ada penyokong Pahang yang cedera dan jika keadaan sebegini berterusan, tidak mustahil lebih ramai lagi yang akan mengalami nasib malang," katanya.

Seorang lagi penyokong Johor DT, Rosli Shariff, 43, berkata, penganjur perlawanan perlu lebih peka soal keselamatan berbanding hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

"Keadaan ini akan membahayakan penyokong terutamanya wanita dan kanak-kanak. Kalau itu berlaku, bukankah ia sesuatu yang sangat merugikan. Memang sejak petang tadi, penyokong tuan rumah sudah ramai tetapi saya sama sekali tidak menjangka mereka akan memenuhi tempat duduk hingga ada di antara mereka yang terpaksa duduk di atas trek," katanya.

Tuesday, May 28, 2013

mrkumai.blogspot.com @ Facebook

mrkumai telah mewujudkan satu lama facebook untuk mrkumai.blogspot.com untuk anda layari dengan lebih mudah
 
 
Bahan-bahan yang sama dikongsikan di laman Facebook untuk memberi pilihan kepada pembaca mengikuti mrkumai.blogspot.com.
 
Ini sebenarnya serampang dua mata berikutan masalah kapasiti akaun percuma blogsopot mrkumai yang telah habis digunakan.

Sukar untuk menambah gambar terbaharu dan facebook menyelesaikan masalah ini..
 
ikuti mrkumai @ Facebook di sini ..KLIK

Monday, May 27, 2013

Tips Melawat Cameron Highlands: Jungle Walk ke Parit Fall

Saya sekadar nak menambah dan melengkapkan sedikit catatan mengenai Parit Falls iaitu sebagai satu latihan berjalan kaki ke sana.
 
Bagi yang inginkan senaman ringkas, mudah dan tidak membebankan, perjalanan denai kembara ringkas ini boleh dilakukan.
 
 
Bermula dari Hotel Century Pines ataupun dahulu merupakan hotel pertama di Cameron Highlands yang dibina dan beroperasi dibawah nama Eastern Hotel, anda boleh memulakan perjalan kembara denai ini disebelah tepinya.
 
Anda boleh meletak kenderaan anda di sekitar kawasan ini.
 
Melalui laluan khas yang dibina sepanjang Sungai Telom ini memberikan satu senanam ringkas dan mudah.
 
Cuma jika membawa kanak-kanak kecil jangan biarkan mereka berlari kerana tidak mempunyai penghalang di sisi kanannya.
 
 
Cuba dekatkan jarak anda bersama mereka.
 
Di laluan ini juga, anda akan kerap berselisih dengan pengunjung yang lain yang juga bersantai berjalan kaki ke sini menempuhi kawasan hutan.
 
Malah di hari persekolahan, pelajar-pelajar juga menjadikan denai ini sebagai laluan singkat untuk ke sekolah dari Taman Sedia dan Brinchang.
 
Permukaan laluan denai ini kadangkalanya tidak sempurna tetapi masih selesa untuk dilalui.
 
 
Anda akan sampai di tapak perkhemahan di Parit Fall dan ketika ini anda akan menemui Montaine Park yang dibina sebelahan.
 
Di kawasan ini, anda boleh berehat sebentar samada dengan bersenam atau membiarkan anak-anak bermain permainan dan melihat sendiri air terjun parit yang terletak di sini.
 
Hilang penat, anda bolehlah pulang semula menggunakan laluan denai yang sama untuk kembali ke kereta anda.
 
Masa dan jarak perjalanan yang selesa adalah sekitar 1 jam untuk perjalanan sejauh 800 meter.
 
Insyallah akan saya kongsikan kelak di catatan yang berasingan.
 
Apapun denai ini amat selesa untuk dicuba bersama keluarga.... gambar selebihnya di FB mrkumai.blogspot.com .. Klik

Tips Melawat Cameron Highlands: Kisah si penjual Madu..

Antara soalan yang selalu ditanya kepada saya, di mana untuk membeli madu?
 
 
Saya sukar untuk memberikan jawapannya kerana kurang pasti apakah madu yang dijual di sini benar-benar asli ataupun tidak.
 
Di musim cuti sekolah sebegini, terdapat beberapa kumpulan penjual madu akan bergerak dari kawasan ke kawasan tumpuan ramai untuk menjual madu yang dikatakan madu tualang.
Untuk rekod, mereka hanya akan berada di sini ketika musim cuti sekolah sahaja sebelum menghilangkan diri dan kembali semula ketika cuti sekolah tiba.  
 
Saya kurang pasti keaslian sumbernya. Saya kurang arif mengenai keaslian madu tersebut. Untuk mengatakan tidak asli dan palsu, saya mengambil sikap bersangka baik.
 
Yang boleh saya lakukan, jika ada kurang yakin dan was-was saya akan hindarinya.
 
Terpulang kepada anda untuk membeli ataupun tidak.
 
Di Cameron Highlands terdapat 3 pusat ternakan lebah untuk penjualan madu. Di Habu, di Kea Farm dan di Tringkap. Cuma samada mereka mengekalkan keaslian ataupun tidak, saya tidak pasti.
 
Di kedai-kedai jualan, baik di pasar malam dan gerai biasa akan kelihatan madu untuk dijual malah di Kea Farm akan terdapat penjual madu.
 
Terpulang kepada anda. Tepuk dada tanya selera.
 
Cuma untuk pembacaan dan pengetahuan anda, saya kongsikan laman web ini yang lengkap dan suka saya baca untuk mengetahui rahsia mengenai madu...
 

Tips Melawat Cameron Highlands: Keunikkan membaja pokok teh menggunakan kapal terbang

Antara keunikan di Ladang Teh BOH adalah aktiviti pembajaan melalui udara menggunakan Kapal terbang.
 
 
Aktiviti "Ariel Manuring" bukanlah teknik baharu digunakan tetapi merupakan teknik pembajaan yang telah lama digunakan dalam aktiviti perladangan dan pertanian.
 
Malah kalau melihat sejarah, syarikat perladangan seperti Guthrie, Sime Darby, Golden Hope dan Dunlop yang dimiliki oleh syarikat daripada British telah menggunakannya sebelum dihentikan kerana faktor agronomi dan kos.
 
Di Ladang Teh BOH, saya difahamkan aktiviti ini hanya dilakukan setahun sekali dan setiap kalinya melibatkan selama 10 hari termasuklah untuk kawasan Ladang Teh Sungei Palas.
 
Ramai yang tidak menyedari untuk melakukan aktiviti pembajaan dari udara ini, Boh memiliki sebuah lapangan terbang di puncak bukit ladang mereka dan saya percaya inilah Lapangan Terbang tertinggi di Malaysia.
 
 
Ketika saya ke sana minggu yang lalu, saya bertuah kerana dapat menyaksikan sendiri bagaimana pembajaan udara dilakukan.
 
Saya juga berkesempatan untuk ke lapangan terbang mereka namun mematuhi arahan keselamatan untuk tidak masuk ke landasan dan hanya sekadar berada di kawasan pengawal keselamatan mereka.
 
Patuhi sepenuhnya biarpun hanya pengawal keselamatan Bangladeshi yang bertugas.
 
 
Mereka memikul amanah dan tanggungjawab yang amat besar untuk memastikan tiada pencerobohan berlaku ketika pembajaan ini.
 
Jangan terlalu sombong dan angkuh untuk tidak mengikuti arahan mereka. Ingat .. anda berada di laman orang...
 
Saya mengatakan ini kerana mengikut kata pengawal keselamatan, ada pengunjung yang melanggar arahan dan tidak mahu mengikut larangan tersebut.
 
Mereka memandang rendah kepada pengawal keselamatan..
 
Saya mematuhi arahan yang diberikan. Keselamatan perlu diutamakan.
 
Kapal terbang akan terbang dan kembali mengisi muatan baja di hujung landasan dengan tempoh masa setiap selang 5-10 minit sahaja. Bayangkan betapa bahayanya jika anda berada di landasan.
 
 
Pemerhatian saya, kapal terbang akan hanya berada di landasan sekitar kurang 3 minit sebelum kembali terbang.
 
Deruman kapal terbang ini amat kuat. Saya memerhatikan dari jauh dan mendapati ianya mungkin jenis enjin tunggal atau single engine.
 
Kalaulah apa-apa berlaku pada enjin kapal terbang tersebut, risikonya amat tinggi.
 
Juruterbang akan menerbangkan kapal terbang dengan muatan baja melalui kawasan yang telah ditanda dengan penanda merah sebagai kawasan pembajaan.
 
 
Apabila melalui kawasan tersebut, baja akan dilepaskan. Baja yang dilepaskan akan jatuh ke atas daun teh dan ketika hujan, baja-baja ini akan sedirinya dibawa arus ke pangkal pokok yang lain.
 
Seronok saya melihat akan teknik pembajaan ini yang hanya saya baca sebelum ini ketika berada di universiti. Malah ketika kerja di ladang dahulu, ianya telah lama ditinggalkan.
 
Untuk ke sini, anda boleh sahaja melihatnya dari jauh.
 
Ianya memang unik...

Tips Melawat Cameron Highlands: Malaysia Nature Society Field Centre

Berada di Ladang Boh Habu ini mengembalikan kenangan saya pada tahun 2001 ketika kali pertama ke Cameron Highlands. Kali ini pengalaman berada dan menginap di MNS ingin saya kongsikan dengan anda.
 
 
Malah untuk kali pertamanya, saya memandu ke sini selepas mendapat lesen kereta sekitar sebulan. Bayangkan dengan kekurangan pengalaman, saya menempuh perjalanan 64 km dari Tapah ke sini pada pukul 5 petang sebelum tiba di sini sekitar 6 petang.
 
Ketika itu laluan Tapah adalah laluan tunggal bagi mereka yang hendak ke Cameron Highlands dan menjadikanya laluan ini amat sibuk.
 
Untungnya kami dari Malaysia Nature Society (MNS) Pahang berkonvoi untuk ke sini. Saya ketika itu masih tidak pasti ke manakah tujuan perjalanan kami kerana tidak pernah ke sini.
 
Dengan cuaca yang semakin gelap, kami mula masuk ke Ladang Boh di sini  dan pastinya memandu di laluan sempit dan berliku ini lebih mencabar.
 
Semakin lama memasuki kawasan ladang, dengan hujan menyambut kehadiran kami serta pemandang yang sudah gelap di kala senja benar-benar menutup persoalan saya mengenai persekitaran. Tumpuan saya hanyalah di laluan yang sempit dan berliku serta mula berkabus.
 
Melepas kawasan ladang teh dan rumah pekerja, kami mula mengambil selekoh ke MNS Chalet. Laluan semakin sempit. Di kanan jalan , kelihatan gaung yang tidak berdasar pada pandangan saya.
 
Ketika hampir senja berakhir kami tiba di kawasan meletak kereta yang amat sempit untuk menampung 20 buah kereta kami. Namun berkat bantuan dan kerjasama ahli yang lain, kereta berjaya diletakan dengan selamat sepanjang bahu jalan yang sempit.
 
Memasuki kawasan chalet yang sedikit mendaki, kelihatan sudah penuh dengan ahli MNS dari Perak. Kami hanya mendapat dorm sahaja manakala mereka mendapat bilik chalet.
 
 
Cuaca ketika itu amat sejuk malahan bagi kami yang baharu pertama kali ternyata pengalaman yang berbeza.
 
Kebanyakan dari kami berkumpul di ruang kawasan tamu di blok tengah dengan berdiang di bahagian hujungnya mencari panas.
 
Kad permainan mula di buka di kala menantikan makan malam yang juga disediakan secara bergotong royong. Cuma bagi saya yang muslim beserta beberapa kawan sekitar 3 orang , kami selesa untuk menyiapkan makanan sendiri yang dibawa bersama.
 
Penjaga chalet kalau tak silap saya bernama Mr. Murthi bersama isteri dan anak-anak mereka begitu ramah melayan tetamu yang ramai ini.
 
Kami tidur agak lewat dengan meminum air panas yang tidak hanya secawan tetapi bercawan-cawan untuk mendapatkan panas.
 
Dalam kesejukan kami tidur di asrama dan seawal pagi sesudah subuh kedengaran suara mesin dan pekerja di luar.
 
 
Dengan cahaya matahari pagi yang mula terbit saya melihat pemandangan di luar. Hamparan ladang teh yang berkabus cukup memukau. Subhanallah..
 
Lebih menariknya lagi sekumpulan pekerja ladang sedang menuai daun teh. Mereka menggunakan pemangkas khas dan ada yang menggukan mesin penuai daun teh.
 
Kerja-kerja mereka ini bukan sekadar mengamit dua atau tiga orang di kalangan kami malah hampir separuh daripada rombongan kami menghambat mereka dengan dekat untuk mengambil gambar dan sebagainya.
 
Dengan sarapan yang ringkas kami bergerak ke Pekan Brinchang untuk mendaki Gunung Irau seperti yang dirancangkan.  Saya singgah sebentar di Pekan Tanah Rata untuk membeli kasut pendakian yang lebih sesuai. Suasana ketika itu bukan seperti sekarang.
 
Kami memasuki satu lagi kawasan ladang teh yang kini saya ketahui namanya Ladang Sungei Palas. Ketika itu saya tidak mengetahui arah langsung sebaliknya hanya mengikuti konvoi dihadapan. Mendaki laluan yang curam dan tinggi untuk ke puncak gunung.
 
Akhirnya kami tiba di pintu masuk laluan pendakian. Kami bersiap dan mula memanaskan badan. Ketika mula mendaki, laluan pokok-pokok berlumut begitu memukau saya. Biarpun lembab dan basah, saya terpukau dengan keindahan laluan ini yang kini saya ketahui sebagai Mossey Forest.
 
Kami mendaki dan mendaki sehinggalah sampai di Anak Irau sebelum menamatkan ke Puncak Irau.
 
Kembali semula kami ke Chalet MNS untuk malam kedua dan ketika ini suaranya agak kurang berbanding malam sebelum ekoran kepenatan mendaki.
 
Selepas itu, saya pulang seperti yang lain. Ini adalah pengalaman saya ketika tahun 2001 dan minggu yang lalu, 2013, saya kembali singgah di Chalet MNS ini ketika berjalan-jalan ke Ladang Teh Habu.
 
 
Kelihatan seperti sama kecuali dahulu kita boleh memasak di setiap unit chalet tetapi kini hanya di dapur utama dengan bayaran RM 10.
 
Dahulu kalau tak silap saya, kami hanya membayar RM 20 semalam tetapi kini harganya telah meningkat RM 90 semalam dengan penambahbaikan seperti bilik dan katil yang amat selesa serta kemudahan tandas di setiap unit.
 
Chalet ini adalah kerjasama antara MNS dan Boh untuk kemudahan kajian lapanngan. Menariknya Chalet MNS ini adalah bangunan asal kediaman pekerja ladang dan dikelilingi rimbunan daun teh dan pemandangan balkoni yang amat menarik.
 
Jika anda mencari kelainan, menginaplah di sini. Bawa bersama dapur dan makanan basah anda.
 
Di awal pagi, berjalan kaki mendaki atau menuruni laluan di sekitarnya. Lebih bernasib baik, anda boleh bersama pekerja ladang teh untuk memetik daun teh.
 
 
 
Pengalaman di ladang teh tidak akan ada di tempat yang lain. Hanya di sini sahaja dan percayalah ... jika anda seorang yang santai dan ingin meninggalkan segala kekusutan di luar sana pilihan untuk menginap di sini adalah yang terbaik...
 
untuk koleksi gambar yang lain, Klik laman FB MRKUMAI di SINI ..
 
Nanti saya kongsikan nombor untuk dihubungi mereka... dah hilang ...
tapi saya kongsikan dari laman MNS sendiri .. klik...