Cameron Highlands adalah daerah Teh. Ini sesuatu yang tidak perlu disangkal lagi oleh mana-mana pihak.
Bermula dengan 1924 dengan pembukaan ladang teh oleh Keluarga A.J Russel yang mengasaskan Ladang BOH dengan pengeluaran teh yang popular dengan cap Harimau, kemudian diikuti pula ladang teh yang lain seperti Bharat Tea, Highland Golden Tea dan Blue Valley telah membuktikan daerah ini adalah teko besar pengeluaran teh dari dahulu.
Catatan mengenainya banyak saya kongsikan sebelum ini dan pastinya anda boleh membaca catatan terdahulu ini dengan membuat carian di laman ini.
Kisah yang ingin saya kongsikan ini pula saya petik dari Utusan Malaysia .
PENGUNJUNG yang datang ke ladang teh di Cameron Highlands berpeluang melihat sendiri proses pembuatan teh dengan lebih dekat . |
Perjalanan dari Kuala Lumpur mengambil masa sekitar lima jam. Setibanya di sana, kami memilih untuk menginap di sebuah pangsapuri yang terletak di Tanah Rata, tidak jauh dari pasar malam yang terkenal dengan kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara.
Setelah menyiapkan diri di bilik, kami memulakan perjalanan menerokai bumi Cameron Hinglands bermula dari Tanah Rata hingga ke Brinchang.
Di sana, kami melalui kebun-kebun sayuran yang terletak di tepi jalan besar dan kami juga singgah di kebun strawberi yang turut menyediakan kedai menjual barangan berasaskan buah tersebut serta bunga-bungaan segar.
Kunjungan ke Cameron Highlands tidak lengkap sekiranya kami tidak merasai sendiri pengalaman memetik buah strawberi yang masak ranum dari pokoknya.
Bukan sahaja buah strawberi yang terdapat di kebun itu, bahkan pelbagai jenis bunga dan juga tumbuhan tanah tinggi yang jarang ditemui boleh dilihat di sana.
Setelah penat menjelajah seluruh kebun, kami pun singgah di kafe yang terletak di kebun itu untuk menikmati jus dan kek strawberi yang segar dan enak.
Perjalanan kami diteruskan ke Ringlet untuk pergi ke Ladang Teh Boh yang terkenal di Cameron Highlands.
Mengikut cerita, ladang ini merupakan tempat di mana pokok teh mula ditanam secara besar-besaran di negara ini dan seterusnya menjadi ladang teh tertua negara dengan jenama teh terkenal iaitu BOH.
Di sini juga, pengunjung berpeluang melihat lebih dekat pokok-pokok teh yang renek dan melihat bagaimana pekerja memproses daun teh sehingga boleh dipasarkan.
Kami sempat mengunjungi kilang memproses teh dan alatan yang digunakan oleh mereka dalam menyediakan teh yang bermutu tinggi.
Uniknya, pengunjung yang datang dapat menikmati teh di restoran yang terletak di atas bukit dengan pemandangan ladang teh yang menghijau.
Sebut sahaja apa jenis minuman berasaskan teh, sudah pasti kamu boleh mendapatkannya dengan pelbagai jenis perasa yang enak.
Setelah penat seharian berjalan, kami pulang ke hotel dan menikmati makan malam di kawasan pasar malam berhampiran sambil membeli sedikit cendera hati untuk dibawa pulang.
Pada keesokan harinya, kami bersiap untuk mendaftar keluar agar tidak perlu kembali ke hotel selepas melawat beberapa tempat yang telah dirancang.
Kami menuju ke kebun sayuran yang terletak di Brinchang, dan membeli sedikit sayuran untuk dibawa pulang seperti kobis, brokoli, kobis bunga dan pelbagai lagi sayuran yang segar dengan harga murah.
Setelah itu, kami melawat taman rama-rama dan juga taman kaktus yang ternyata memberi sedikit kelainan pada lawatan kami kali ini.
Saya juga membeli beberapa pokok kaktus mini untuk menghiasi bilik bacaan di rumah nanti.
Ternyata walaupun percutian ini sekejap, namun kami dapat menghabiskan masa berharga bersama rakan-rakan dengan aktiviti berfaedah.
Mungkin pada percutian akan datang, kami akan datang lagi ke sini untuk menikmati aktiviti lasak yang tidak sempat dilakukan pada percutian ini di Cameron Highlands. - AZRIN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20130105/pl_01/Misi-mencar/i-/teh-di-Cameron-Highland#ixzz2PeuxdEyh
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.