Saturday, April 6, 2013

Tips Melawat Cameron Highlands: Kem Sungai Pauh 2

Catatan mengenai Tapak Perkhemahan Kem Sungai Pauh pernah saya kongsikan di sini dengan beberapa siri catatan termasuklah pengalaman sendiri berkhemah dengan keluarga kecil saya.
 
Tapak yang satu-satyunya disediakan dengan kemudahan perkhemahan di Cameron Highlands biasanya akan sibuk di awal tahun sehingga ke bulan Julai ataupun Ogos untuk pelbagai aktiviti perkhemahan khasnya melibatkan kem motovasi sebelum peperiksaan.
 
Tidak ketinggalan lokasi ini menjadi tumpuan warga IPT untuk turut sama menganjurkan aktiviti masing-masing. Antaranya aktiviti ini yang saya petik dari Utusan Malaysia sekali lagi .
SESI bergambar di tapak perkhemahan Sungai Pauh, Cameron Highlands, Pahang.

TAPAK perkhemahan Sungai Pauh di Cameron Highlands, Pahang baru-baru ini menerima kedatangan sekumpulan pelajar institusi pengajian tinggi tempatan (IPT).

Kehadiran mereka adalah untuk menjayakan program Delegasi Rekreasi IPT 2012 yang dikendalikan oleh Kelab Rekreasi UiTM Malaysia (Kresma).

Program tersebut dijayakan oleh 11 kelab rekreasi pelajar IPT, antaranya Kelab Rekreasi dan Sukan Ekstrem Universiti Teknikal Malaysia (KEREX), Merbau Adventure and Recreational Club UTM Skudai (MARC), Kelab Rekreasi Universiti Malaysia Pahang (T-REX), Adventure and Recreation Club Universiti Islam Malaysia (ARC) dan Kelab Kembara IPG Perlis.

Program kali ketiga ini bermula pada 15 November lalu. Setiap peserta menerima baju-T dan aktiviti pertama adalah Hello World yang bermula pada pukul 9 malam. Ia adalah sesi pengenalan antara kelab-kelab rekreasi yang terlibat.

Aktiviti itu memberi peluang kepada setiap kelab untuk berkongsi pengalaman dalam menjayakan sesuatu program. Selain itu, ia juga dapat meluaskan pengetahuan ahli-ahli kelab mengenai aktiviti rekreasi seperti mendaki gunung, berkayak, mendaki tembok (wall climbing), paintball, meneroka gua dan berakit di arus deras.

Pagi yang sejuk pada hari kedua di Sungai Pauh dihidupkan dengan aktiviti senaman yang dipimpin oleh Hasnizan Hasbi, 21, dari Kresma.

Suasana tapak perkhemahan yang tenang diriuhkan dengan sorakan dan gelak tawa ahli kumpulan.

Program kolaborasi diteruskan dengan satu diskusi bertajuk ‘Alam Milik Kita Bersama’.

Rata-rata ahli kumpulan mengetengahkan masalah yang kerap melanda alam sekitar iaitu pembuangan sampah dan pembalakan haram.

Bagi memerangi aktiviti negatif itu, setiap kelab disarankan memperkenalkan ‘Kempen 1 Orang 1 Sampah untuk setiap program melibatkan alam sekitar yang bakal mereka anjurkan.

Bagi merapatkan persahabatan yang terbina, pertandingan Amazing Race diadakan. Aktiviti dimulakan dengan teka silang kata mencari nama-nama gunung G7 (tujuh puncak gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia), sukaneka, mereka pakaian pengantin daripada kertas dan pelekat serta aktiviti Periuk Api yang mana ahli kumpulan perlu menutup mata dan berjalan menempuh halangan dengan hanya mendengar arahan pergerakan ahli kumpulan lain.

Pada hari berikutnya, selepas solat Subuh berjemaah, semua peserta bersemangat untuk menjayakan misi Konservasi Gunung Perdah, Jasar dan Berembun. Pendakian bermula pada pukul 9 pagi.

Perjalanan menawan puncak Gunung Perdah menarik kerana menempuh perkampungan Orang Asli.
Selepas sejam pendakian, tepat pukul 9.50 pagi, puncak Gunung Perdah berjaya ditawan. Pada pukul 10.40 pagi pula, semua peserta berjaya sampai ke puncak Gunung Jasar.

Cuaca yang baik memberi peluang kepada peserta untuk melihat pemandangan dan keindahan bumi Tuhan dari puncak gunung. Udara yang segar dan nyaman serta keindahan alam yang menghijau memperlihatkan indahnya ciptaan Allah SWT.

Pendakian diteruskan lagi ke Gunung Berembun selepas menikmati bekalan yang dibawa. Alhamdulillah tepat pukul 5.15 petang, kami tiba semula di Sungai Pauh.

Malam yang dingin diteruskan dengan program bicara bertajuk Journey To The Top of The World oleh pendaki Malaysia yang berjaya sampai ke gunung tertinggi dunia, Gunung Everest, Mohamad Shaheir Sabaruddin,30.

Pada hari terakhir iaitu 18 November 2012, program Delegasi Rekreasi IPT 2012 menemui penamatnya. Acara pembahagian plat dan cenderamata daripada pihak penganjur diadakan dalam majlis penutup program.

Pengarah program ini, Mohamad Izwan Kamaruddin, 23, mengumumkan bahawa Kelab Kembara Universiti Tun Hussein Onn Malaysia akan menjadi penganjur program Delegasi Rekreasi IPT 2013.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rekreasi/20130105/rk_01/Berkhemah-di-Sungai-Pauh#ixzz2PetW9RqQ
© Utusan Melayu (M) Bhd


No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.