PERISTIWA mengejut di Lahad Datu bagai telah mengajar kita semua betapa besarnya nilai kedaulatan sesebuah negara yang sudah merdeka. Wilayah perlu dipertahankan dengan segenap jiwa raga. Nyawa merupakan pertaruhannya dan telah dibuktikan.
Semasa generasi lama hidup di zaman darurat tahun 1948, mereka pernah dicengkam oleh kejahatan pengganas komunis, dahulunya dipanggil bandit. Kemudian kita diberi pengajaran pahit lagi ketika era konfrantasi kerana pembentukan Malaysia tahun 1963 disambut dengan pendaratan tentera-tentera asing diketuai Leftenan Sutikno dan diikuti oleh Majer Titaley di Johor.
Kini kerakusan lama berulang lagi di Lahad Datu, Sabah. Pencerobohan kumpulan pengganas luar yang lebih kejam cuba menguasai sebahagian ataupun keseluruhan bumi Sabah dengan kekuatan senjata dan kononnya ilmu kebal songsang.
Sebahagian daripada gerombolan ini pernah bersenang-senang di Malaysia sebelum ini, mendakwa bahawa Sabah adalah pusaka tinggalan moyang mereka dan perlu diambil semula. Malangnya mereka tidak menyalak semasa British masih berkuasa dan menguasai mereka. Mereka cuba menimpakan kesilapan sendiri kepada Malaysia konon menjajah Sabah.
Pendaratan pengganas Kiram di Sabah menggugat kedaulatan Malaysia. Dengan mudah mereka terus menghalalkan kehadiran bersenjata bersandar kepada alasan usang atas faktor sejarah lapuk sudah hancur berkecai menjadi debu berterbangan.
Demi menjaga kedaulatan serta keutuhan pejuang-pejuang Malaysia dalam tiupan semangat menyala, pasukan keselamatan Malaysia telah dibangkitkan dengan bara-bara panas menyingsing senjata dengan getaran sebuah lagu patriotik daripada Jamaludin Alias, bekas seorang petugas di Radio Malaysia (RTM). Inilah dia lagu pertempuran Kalabakan, Sabah.
Lagu ini pernah dibuat filem pendek dan ditayangkan saban masa di kaca TV sehingga boleh dikatakan setiap rakyat Malaysia mengenali dan menghafalnya lama dahulu. Tetapi hari ini ia sudah hampir dilupakan dan ada yang tidak tahu menahu pun kewujudan lagu ini jika tidaklah disiar melaui radio atau pun pancaran TV.
Lagu itu bukannya berjudul Inilah Barisan Kita tetapi Perajurit Tanah Air yang telah dirakamkan oleh Jamaludin Alias dalam piring hitam LP RMT. 26 dengan durasinya selama 03 minit 36 saat rentak March pada tahun 1964.
Ia ciptaan Surya Buana dan tidak dicatat sebagai Saiful Bahri walaupun orangnya sama atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dijelaskan di sini.
Ia ciptaan Surya Buana dan tidak dicatat sebagai Saiful Bahri walaupun orangnya sama atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dijelaskan di sini.
Lagu yang sudah pun menjangkau tempoh masanya hampir 50 tahun ini telah dihidupkan semula oleh peristiwa Lahad Datu. Piring hitam ini masih tersimpan di khazanah Rakam Khanah P. Ramlee, Wisma Radio, Kuala Lumpur.
Saya telah meneliti keseluruhan lagu-lagu tersebut, atas kapasiti sebagai penyelidik dan ahli panel lagu di Rakam Khanah P. Ramlee. Begitu juga dengan pengumpulan maklumat tentang Jamaludin Alias, juga sebagai rakan semasa kami bertugas di Wisma Radio selama puluhan tahun termasuklah penciptanya Saiful Bahri yang sengaja menggunakan nama samaran Surya Buana.
Lagu-lagu patriotik ini juga telah disemak dan dikenalpasti pencaragam yang mengiringinya dan pemimpinnya.
Pada pandangan khusus tentang Jamaludin Alias, beliau wajarlah diingati, dihargai kerana sumbangan terbesarnya telah banyak mewarnai perjalanan kempen-kempen negara dengan lagu-lagu patriotiknya tidak ternilai, termasuklah rakaman lagu-lagu keroncong yang pernah dirakam di RTM sendiri. Beliau juga seorang pengulas sukan tanah air sezaman dengan Rahmat Jais dan Daud Meah dari Radio Malaya Pulau Pinang.
Kita juga pernah dididik dengan lagu-lagu berkonsepkan kenegaraan seperti Negaraku, Berjaya, tata susila, kebersihan, mengundi, keselamatan jalan raya, bahasa kebangsaan, makan buah-buahan tempatan, senaman dan sebagainya oleh Jamaludin Alias.
Rusuhan pada 13 Mei 1969 melanda Malaysia, maka sekali lagi Jamaludin Alias bangkit memberikan getaran vokal tinggi dan telus menghamburkan lagu Muhibbah. Rakyat jelata disaji dengan jamuan muhibbah semua kaum dalam majlis-majlis tersebut di seluruh negara kerana mahu memupuk kemesraan dan keharmonian. Jamaludin Alias adalah orangnya dan Surya Buana merupakan pencipta paling berwibawa.
Mengikut sejarah yang diketahui, Surya Buana sendiri yang telah memilih Jamaludin Alias untuk merakamkan keseluruhan lagu-lagu patriotik ini. Suara Jamaludin Alias ini bagai satu kegemparan besar di Asia pada tanggapan sesetengah pihak ketika itu. Sebahagian daripada lagu-lagu patriotiknya dirakamkan di Malayan Film Unit (kini Filem Negara Malaysia) bertempat berhampiran tapak Syarikat Lever Brothers, Jalan Bangsar, Kuala Lumpur.
P. Ramlee mendapat penghormatan sesudah ketiadaannya. Wajarkah Jamaludin Alias menjadi sseperti Seniman Agung itu? Biarlah Jamaludin Alias tahu menerima di tangannya sendiri dan bukan melalui tangan wakilnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20130410/fo_02/Lahad-Datu-Jamaludin-Alias-dan-Inilah-Barisan-Kita#ixzz2Q3Sa8BVb
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.