Friday, December 7, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Teksi dan Kereta Sewa

Kereta Sewa mungkin membawa makna dan tafsiran yang berbeza. Pertama kereta sewa mungkin membawa tafsiran kereta yang boleh anda sewa dan pandu sendiri. Manakala tafsiran kedua adalah kereta yang anda gunakan perkhidmatanya untuk perjalanan singkat bersama pemandu atau pemiliknya. 


Untuk catatan seterusnya ini, tafsiran kereta sewa yang kedua adalah kisahnya. Atau lebih jelas kalau menggunakan perkataan 'Teksi'. 

Berkunjung di Cameron Highlands menggunakan perkhidmatan awam seperti bas dan kemudian teksi mungkin kurang popular di kalangan pelancong yang lebih suka membawa kenderaan sendiri kerana lebih mudah dan menjimatkan. 

Saya akui sepenuhnya pilihan tersebut. 

Namun masih ada pelancong yang lebih suka cara yang berbeza ini. 

Usah risau, Cameron Highlands juga mempunyai perkhidmatan kereta sewa atau teksi ini. 

Pusat perkhidmatannya adalah di Tanah Rata yang terletak di Terminal Freesia. Jika di Brinchang hentian teksi adalah terletak di tengah pekannya ataupun bersebelahan dengan CT Kraft. 

Pemerhatian saya, jumlah teksi yang ditawarkan melebihi permintaan pada hari biasa kerana kurang pelancong yang datang ketika itu. Namun masih mendapat sambutan bagi sesetengah pelancong dari luar khasnya pelancong Arab atau Timur Tengah. 


Manakala pelancong Eropah lebih suka berjalan dan mengamalkan 'backpacker' iaitu menumpang kenderaan secara percuma. 

Selebihnya adalah pekerja asing yang keluar ke pekan untuk mendapatkan barangan keperluan terutamanya di waktu petang dan malam apatah lagi jika terdapat pasar malam di kawasa-kawasan tertentu. 

Ini sekadar pemerhatian saya semata. Mungkin Persatuan Teksi dan Kereta Sewa Cameron Highlands mempunyai maklumat yang lebih lanjut. 

Mereka nampaknya cukup berdisiplin dengan pemakaian baju batik ketika beoperasi. Kadangkala berwarna hijau dan seperti hari ini saya melihat baju batik seragam mereka bewarna kuning. 


Untuk mendapatkan khidmat teksi dan kereta sewa ini, jika anda di Terminal Freesia, boleh terus mendapatkan khidmat mereka di pondok persatuan mereka. Jika di hotel penginapan, anda boleh meminta bantuan kaunter hotel anda atau menghubungi terus mereka untuk menjemput anda di hotel penginapan anda. 

Untuk lebih mudah, anda boleh mendapatkan nombor telepon pemandu teksi untuk menjemput dan menghantar anda pulang ke hotel selepas selesai tujuan anda keluar.


Ini lebih mudah dan terjamin kerana perkhidmatan teksi di sini tidak seperti dibandar besar yang beroperasi 24 jam dan hanya perlu menunggu di tepi jalan. 

Anda juga boleh menyewa kereta sewa dan teksi untuk trip perjalanan mengikut masa dan lokasi serta pakej yang ditawarkan.   Pakej lawatan merangkumi kunjungan ke tempat yang menarik dan anda tidak perlu bimbang untuk mendapatkan teksi bagi perjalanan seterusnya. 


Malah penerangan dan bantuan maklumat mengenai lawatan anda juga akan disampaikan oleh pemandu teksi tersebut kerana mereka juga arif dengan kawasan tersebut dan telah berpengalaman membawa pelancong.

Bagi perjalanan luar bandar samada untuk lawatan ke lokasi menarik ataupun pulang ke lapangan terbang juga boleh menggunakan khidmat kereta sewa ini. Sebaiknya berbincang dan berunding harga dahulu sebelum menggunakan khidmat mereka. 


Di Cameron Highlands saya dapati tiada (dibawah pengetahuan saya) kereta sapu. Pilihan yang terbaik tentunya menggunakan khidmat teksi dan kereta sewa ini.

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.