Tuesday, December 4, 2012

Catatan Perjalanan: Melaka Sentral

Saya menaipkan catatan mengenai Melaka Sentral berdasarkan pengalaman saya hari ini balik ke Cameron Highlands menaiki bas. 

Lebih menariknya, saya menggunakan 4 stesen bas yang utama iaitu Melaka Sentral, Teminal Bersepadu  Selatan, Pudu Sentral dan tentunya Terminal Fressia di Tanah Rata. Akan saya taipkan catatan mengenai  setiap hentian ini memandangkan masih lagi dalam mood tema percutian. 

Untuk yang pertama ini mengenai Melaka Sentral. Namun, dalam sibuk membeli tiket ke Kuala Lumpur tadi dan mengejar waktu, tidak sempat pula saya merakamkan sendiri gambar mengenainya. 

Apapun insyaallah, akan saya pinjamkan dari laman web yang lain seperti di sebelah ini dari laman Bernama.

Melaka Sentral ini yang dibina dan dibuka pada sekitar MAY 2004 dengan kos pembinaan sejumlah RM 61 juta. Bagi mereka yang biasanya menaiki bas ke Melaka, pastinya anda akan menggunakan Stesen Bas di Jalan Tun Ali yang kini berubah menjadi Pirate Park. Catatanya pernah saya kongsikan di laman ini.

Mengikut pengalaman saya ketika masa bujang dahulu sanggup datang ke Melaka untuk bertemu kekasih hati yang kini telah menjadi suri hati saya biarpun keadaan stesen bas atau Terminal Tun Ali ini amat daif dan kotor. 

Daifnya kerana saiznya amat kecil untuk menampung bas-bas yang datang dan pergi. Kotornya pula akibat lokasinya yang terletak di sebelah tebing Sungai Melaka yang dahulu amat kotor dan dikatakan sungai mati sebelum kerajaan Negeri Melaka melakukan projek mengindahkan Sungai Melaka sehinggalah menjadi seperti hari ini. 

Malah kedudukannya di jalan belakang Plaza Hang Tuah menjadikannya agak jauh ke belakang dan susun atur Terminal lama ini juga cukup tidak menarik. Malamnya pula lorong-lorong di sekitarnya menjadi kawasan tumpuan  'pondan' dan pelacuran yang sukar dihentikan ketika itu dan menjadikan kita pula yang tidak selesa ketika itu.


Bilamana Kerajaan Negeri Melaka memindahkan Terminal Bas ini ke bangunan baru yakni Melaka Sentral, masih ramai yang ragu-ragu kerana kedudukannya yang terletak di luar pusat bandar dan pada awalnya ramai yang membantah. 

Namun kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Pandangan jauh dan tersirat dalam perancangan perlu dilakukan biarpun pahit diterima dan setelah 5 hingga 8 tahun ianya dibuka, Melaka Sentral meninggalkan jauh keraguan pihak-pihak yang terbabit. 

Terminal ini cukup selesa. Semunya dalam satu bumbung dengan penghawa dingin yang menyejukkan suasana. Kedai-kedai jualan dan makanan semuanya terletak di dalam bangunan terminal. Malah kedai-kedai makannya juga teratur kemas dan bersih dengan kemudahan tandas, surau dan ruang rehat menunggu bas yang selesa. 

Di bahagian belakangnya pula deretan kedai jualan seperti baju dan saloon dibuka sebagai kawasan perniagaan. Kawasan meletak kenderaanya amat luas dan murah dengan hanya RM 1 sekali masuk dan bagusnya dikendalikan oleh Persatuan Belia 4B sebagai salah satu penjana kewangan persatuan mereka. Maklumlah, ketika dibuka YB Ketua Menteri masih menjadi Pengerusi Persatuan Belia 4B Malaysia. 

Lokasinya amat mudah dihubungkan dengan lebuh AMJ yang menyuraikan trafik dengan cara sistematik sama ada ke Utara ataupun Selatan malah melalui kawasan Batu Berendam mampu mengelakkan kesesakan di laluan Ayer Keroh.

Lokasi tumpuan lain seperti Mydin, Giant dan Tesco hanya terletak bersebelahan dan kini Jusco AEON juga dibuka berdekatan dengannya. 


Menjelang 2014, pastinya suasana akan lebih meriah dengan pembukaan laluan tambahan Sungai Melaka River Cruise yang boleh menghubungkan Melaka Sentral dengan laluan sedia ada malah akan dilancarkan pula Teksi Air bagi melengkapkan sistem perhubungan 'perlancongan' di sini kelak. 

Berbalik kepada perjalanan saya tadi, saya membeli tiket bas ke Kuala Lumpur dengan pilihan bas yang begitu banyak. Saya boleh memilih Metro Bas, KBES, Trannasional, Mayang Sari, Mara Liner dan Jebat Ekpress untuk ke Kuala Lumpur setiap 1 jam berselang. 

Saya memilih Mayang Sari Ekpres biarpun dinasihatkan oleh keluarga mertua untuk menaiki Transnasional kerana saya melihat ramai pelanggan memilih transnasional. Strategi saya mengena kerana  dengan jumlah penumpang yang sedikit di Mayang Sari Ekpress, saya boleh menggunakan dua kerusi untuk meletakan bag kerana jumlah penumpang sekitar 10 orang sahaja berbanding di Transnasional yang hampir penuh dengan 41 penumpangnya. Tiketnya pula sekadar RM 10 sahaja berbanding di Transnasional RM 12 sehala. 

Jika anda ingin ke Cameron Highlands dari sini, nampaknya tiada perjalanan terus dan memerlukan anda ke Kuala Lumpur atau ke Ipoh sebelum menukar bas ke Cameron Highlands. Saya memilih ke Pudu Sentral kerana bas terakhir ke Camerobn Highlands adalah pada pukul 5.30 petang.

Cuma kalau dahulu perjalanan dari Melaka ke Cameron Highlands hanya memerlukan anda menukar bas sebanyak sekali di Hentian Pudu Raya, kini anda perlu menukar bas sebanyak dua kali iaitu di Terminal Bersepadu Selatan di mana semua bas dari arah selatan akan berhenti di sini dan perlu menaiki LRT untuk ke Pudu Sentral dengan hentian LRT di Plaza Rakyat.

Catatan seterusnya pula saya akan kongsikan mengenai Terminal Bersepadu Selatan...

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.