Untuk bulan ini, tema percutian menjadi pilihan dan pastinya merancang percutian itu amat penting. Saya mencari beberapa maklumat di laman blog yang lain serta merumuskan mengikut pengalaman saya sendiri.
gambar hiasa semata.. tak tahu nak letak gambar mana... |
Saya suka membahagikan percutian kepada dua iaitu tempatan dan luar negara dan pastinya percutian keluarga menjadi keutamaan kerana musim cuti persekolahan. Rasanya ini untuk percutian tempatan dahulu.
1. Rancang masa percutian.
Untuk menyatukan satu keluarga dalam satu percutian mungkin tidak terlalu sukar bagi mereka yang mempunyai anak-anak yang bersekolah dan tinggal bersama berbanding dengan mereka yang sudah mempunyai anak-anak yang sudah bekeluarga dan bekerja.
Sebaiknya lantik seorang ketua untuk merancang percutian keluarga anda. Pilihan tarikh mestilah dimaklumkan awal dan pastikan ada 'kuasa' yang boleh menyuruh mereka memperuntukan tarikh tersebut untuk percutian.
Kadang-kala mengharap sahaja tidak cukup tetapi 'mother power' boleh membantu. Kepada anak-anak yang bekerja, 365 hari dalam setahun takkan tak boleh bagi 3 hari atau 4 hari untuk tujuan percutian keluarga ini.
Sebaiknya perancangan mesti awal. Jangan terlalu lewat dan 'last minute'. Nanti anda bersama pasangan anda sahaja yang akan bercuti tetapi anak-anak lain tak dapat bersama.
Lokasi percutian juga mesti tetap dan jangan terlalu banyak pilihan kerana bila undian dilakukan pastinya akan memecahbelahkan minat atau keghairahan untuk bercuti kelak kerana masing-masing mempunyai lokasi idaman.
Lokasi juga mesti bersesuaian dengan semua peringkat ahli keluarga. Maksudnya kalau ramai ahli keluarga masih kanak-kanak atau bayi, pilihan lokasi ke kawasan kembara seperti taman negara, pulau ataupun lasak bukanlah satu pilihan yang baik.
2. Rancang perbelanjaan
Dah dapat lokasi dan dah dapat tarikh , maka berusahalah untuk membuat sedikit kajian mengenai perbelanjaan yang terlibat seperti penginapan dan kos yang berkaitan seperti lawatan, makan dan minum serta pengangkutan.
Maklumkan kepada semua ahli keluarga yang terlibat untuk membuat persediaan kewangan dengan lebih awal.
Masukkan perbelanjaan luar jangka juga seperti kesihatan, kecemasan dan sedikit lebihan kos yang tidak membebankan. Contohnya kalau kos penginapan dan makanan jatuh kepada RM 90 seorang, tambahan RM 10 mungkin sesuai sebagai 'tabung perbelanjaan luar jangka'.
3. Rancang Penginapan dan Pengangkutan
Jika dan dapat tarikh, jumlah ahli yang terlibat dan lokasi yang akan dituju sebaiknya membuat tempahan awal baik dari segi penginapan dan juga pengangkutan.
Sesetengah tempat menawarkan kadar yang lebih murah jika membuat tempahan awal. Malah terdapat pakej yang ditawarkan jauh lebih rendah daripada 'walk in'.
Juga boleh melayari laman-laman online yang amat menarik untuk anda terokai kerana pakej yang ditawarkan kadang-kala diluar jangkaan anda.
Untuk penginapan, sesuai dengan percutian keluarga, anda boleh membuat tempahan apartmen percutian yang lebih menjimatkan. Jika memerlukan kenderaan, sewaan kereta seperti MPV dan van mungkin boleh menjimatkan kos serta memudahkan urusan kelak. Bayangkan kalau anda ke Langkawi dan menyewa 3 atau 5 buah kereta, saya percaya aturan perjalanan anda kerap terganggu kerana kadang-kala berlainan arah pandangan dan pemanduan.
4. Buat pengesahan akhir.
Ini selalu yang leka dilakukan kerana beranggapan semuanya sudah beres dan selesai. Saya selalunya membuat pengesahan akhir dengan menelepon sendiri ke hotel atau agen perlancongan yang saya pilih, Ini kerana kadang kala tempahan yang saya buat sejauh 6 bulan awal dan kalau kita sendiripun selalunya akan terleka atau terlepas pandang.
Hanya dengan satu panggilan. Pastinya berbaloi...
5. Nikmati percutian.
Yang selalu terjadi apabila hari yang dinantikan tiba adalah komitmen ataupun disiplin mematuhi masa. Seringkali terjadi akan ada pihak yang tidak dapat mematuhi masa. Kesannya bukan hanya anda akan lari dari perancangan asal tetapi akan menyebabkan rasa tidak senang hati dikalangan yang lain.
Akhirnya percutian berlangsung hambar kerana ada yang tawar hati.
Bukan itu sahaja, dah percutian yang besar akan ada silap dan salah ketika bercuti seperti termarah anak-anak saudara yang lain, terlepas kata, terkasar perbuatan dan pelbagai lagi yang boleh menawarkan percutian anda yang sepatutnya manis.
Pesan saya, untuk bercuti, lebihkan santai dan mesra kerana dalam 365 hari setahun anda ada3-5 hari yang istimewa ini untuk bersama-sama.
Selalunya ahli keluarga ketiga yakni ipar duai, biras dan bukan dari jalur keluarga yang utama akan merasai sedikit kekok dan janggal yang mendatangkan tidak selesa.
Ikut segala aktiviti dengan seronok dan berlapang dada...
Tips yang boleh diikuti mungkin;
1. Mematuhi aturan percutian yang ditetapkan.
2. Sentiasa berhubung antara kumpulan yang lain maksudnya jika berkonvoi kereta maklumkan jika anda berhenti untuk kecemasan seperti ke tandas.
3. Bersikap terbuka dan berlapang dada mengikuti percutian keluarga, Buangkan rasa ego, status dan apa jua sebelum bercuti.
4. Jangan terlalu mudah mencemuh dan mengata apa jua kekurangan yang timbul sebaliknya bersama-sama menambahbaik sesuatu yang kurang.
5. Jangan terlalu menghadkan diri anda dan keluarga anda dengan aktiviti. Apa salahnya jika anak-anak anda ingin bersama sepupu mereka bersembang sampai larut malam di bawah pengawasan anda semua.
6. Berbelanja mengikut kemampuan diri.
7. Utamakan keselamatan semua ahli keluarga anda ketika bercuti
8. Utamakan kesihatan semua ahli keluarga anda ketika bercuti.
Sekadar pandangan semata..
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.