Wednesday, November 14, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Lokasi Kesesakan Jalan Raya ketika musim percutian

Musim percutian ibarat mimpi ngeri yang datang kembali kepada segelintir penduduk Cameron Highlands khasnya yang tidak kena mengenai dengan industri percutian dan perlancongan di sini. 

Kalau yang terlibat dengan industri ini, inilah mimpi indah yang dinanti-nantikan muncul kembali.

Mimpi ngeri yang dimaksudkan adalah kesesakan jalan raya di musim percutian. 

Tahukah anda, pekan dan penempatan di Cameron Highlands terbentuk di sepanjang laluan utamanya sahaja. Manakala kebun-kebunya pula bersilangan ke dalam dalam  setiap persimpangan laluan ini.

Kalau mengikut pelan dan peta jalan raya, Cameron Highlands berkembang di sempanjang laluan 50 hingga C7 yang sejauh sekitar 40 km dari Ringlet ke Kampung Raja.

Kawasan tarikan pelancong terletak di sepanjang jajaran ini dan malangnya tiada jalan alternatif yang khusus boleh digunakan sepenuhnya untuk mengelakan kesesakan kecuali ada tiga laluan pilihan yang tidak akan saya kongsikan di sini sebagai senjata rahsia penduduk di sini untuk menggunakannya.

Kalau ada yang tahu, senyap-senyap sudahlah ya..

Jom kita lihat pelan atau lokasi kesesakan utama yang seringkali berlaku :

Lokasi Kesesakan Pertama:
Pekan Tanah Rata bermula dari lepas Bharat Plantation Tea Centre yang kadang-kala akan mula perlahan ketika mendaki ke Tanah Rata. Namun memasuki pekan ini agak perlahan kerana hanya terdapat satu laluan utama untuk menerusikan perjalanan anda ke Pekan Brinchang.

Buat sementara ini, anda akan mengalami juga kesesakan yang agak teruk selepas Bharat Tea Centre di mana kerja-kerja memulihkan cerun bukit sedang dijalankan dan hanya satu lorong sahaja dibuka. Kesesakan kadangkala sampai ke Bharat Tea. Bersabar dan patuhi kawalan lalulintas yang disediakan. 

Anggaran kesesakan sekitar 15-30 minit mengikut situasi jumlah kenderaan.

Lokasi Kesesakan Kedua:
Memasuki Bandar Brinchang di mana di musim percutian, laluan utama akan dilencongkan ke laluan pekan lama Brinchang di hadapan Kompkes FAMA dan akan menembusi tapak pasar malam tanpa melalui pekan ini.

Kesesakan utama di sini boleh mengheret sehingga 2 km sehingga ke Padang Golf. Memerlukan sekitar 40-60 minit untuk melepasi kesesakan ini di waktu puncak.

Lokasi Kesesakan Ketiga:
Laluan utama ke Pasar Malam ke Arked Peladang, Sungai Burung. biasanya akan melibatkan kedua-dua arah bermula seawal pukul 3 petang lagi sehingga malam. 



Tapak pasar malam yang bersebelahan jalan raya ini benar-benar memperlahankan pergerakan kenderaan dan ketika atau bermula dari Arked Peladang ini akan memerlukan lebih 30 minit semata-mata untuk melepasi atau mengunjungi kedua hentian ini.

Lokasi Kesesakan keempat;
Frangance Nursery ke Cactus Valley. Lokasi ini selalunya berlaku kesesakan akibat limpahan kesesakan dari Kea Farm dan Cactus Valley yan sejauh 2 km di hadapan. 



Namun di masa hadapan saya percaya, akan berlaku kesesakan yang lebih teruk di kawasan ini kerana telah dibina beberapa deretan kedai baharu yang bersebelahan jalan dan jelas dari pandangan kasar, jumlah kawasan meletak kereta terlalu sedikit dan pastinya sepanjang jalan akan menjadi pilihan anda. 

Kadang-kala nak pertikaikan kelulusan pihak berkuasa dalam pembinaan gerai tetapi apakan daya, kita bercakap ibarat ikan bilis yang tiada bernada langsung. Tambahan lagi jerung politik pula yang mengetuainya.

Lokasi kesesakan kelima:
Cactus Valley ke Kea Farm. Lokasi kesesakan ini pastinya akibat dari Kea Farm yang mana penyumbang utama kesesakan jalan raya. Ruang meletak kenderaan amat terhad dan laluan yang sempit melengkapkan faktor kesesakan. 


Karam Singh Walia pernah menyatakan isu ini di Aduan Rakyat malah terdapat gerai yang terang-terangan dibina diatas bahu jalan yang mengabaikan keselamatan jalan raya. 

Apa yang boleh dilihat sekarang, beberapa gerai kekal juga telah dibina di atas bahu jalan yang dahulunya longkang tetapi ditutup untuk laluan pejalan kaki. Kini, gerai jualan mengambil alih kawasan ini.

Ini menyebabkan laluan pejalan kaki tiada dan orang ramai terpaksa berkongsi jalan dengan kenderaan yang akhirnya memperlahankan pergerakan kenderaan. 




Saya pasti, apa sahaja yang telah dan akan dibangkitkan mengenai penempatan gerai di sini, hanya ibarat kentut yang busuk seketika ... 

Penguatkuasaan tidak dapat dipastikan kenapa kelihatan tiada di sini ataupun jika ada sekalipun apakah ianya berhasil sepenuhnya atau sekadar untuk rekod 'kompaun telah dikeluarkan' tetapi masih engkar. 

Lokasi Kesesakan keenam:
Kea Farm ke Simpang Masuk Ladang Teh Sungai Palas. Kesesakan seterusnya ini melibatkan laluan masuk ke Ladang Teh Sungei Palas yang popular dengan hentian pelancongannya. 

Gerai-gerai jualan dibina di sepanjang laluan ini dan agak malang kerana persimpangan ke Ladang Teh ini tidak dibina sempurna dengan laluan bypass untuk pengguna yang ingin meneruskan perjalanan. Akhirnya pergerakan kenderaan akan terhenti untuk memasuki dan keluar dari persimpangan ini. 

Pembinaan apartment dan juga kedai pejabat yang baharu di sini bakal menyumbang kepada kesesakan kelak. Yang parah bertambah tenat. 

Lokasi Kesesakan ketujuh:
Pekan Tringkap. Di sini bukanlah kesesakan kronik atau kritikal tetapi berkala bergantung kepada pengunjung yang berhenti di sini. Masalah utamanya laluan utama semakin sempit kerana kereta dan landrover pekebun diletakkan di bahu jalan untuk mereka pulang ke rumah  masing-masing. 


tak sanggup, berpatah balik pilihan yan tepat.
Selalunya dari Tringkap ke Brinchang pada hari normal sekadar memerlukan 30-45 minit pemanduan tetapi jika musim percutian, kami biasanya akan memandu lebih dari 2 jam untuk sampai ke pekan Brinchang malah di waktu puncaknya boleh menjengah 3 jam semata-mata untuk menamatkan jarak 21 km. 

Minggu yang lalu, saya sekeluarga mengambil cabaran ini untuk merasai sendiri kesesakan yang dimaksudkan di atas. Sekadar menghabiskan 5 jam perjalanan sejauh 50 km dari Tanah Rata- Kea Farm- Sungei Palas- Gunung Brinchang -Tanah Rata dengan memilih kereta tranmisi auto isteri saya untuk keselesan tanpa bermain clutch. 

Fikirkan ... adakah berbaloi untuk anda bercuti dari dalam kereta....

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.