Laluan ke Cameron Highlands selain laluan Jalan Pahang (Tapah) dan JalanPos Betau yang pernah saya kongsikan dahulu adalah laluan Simpang Pulai ke Tanah Rata. Laluan yang kedua dibina selepas Jalan Pahang pada tahun 2000 ini amat popular kepada pelancong yang mahu ke tanah tinggi ini.
Laluan ini bermula di Simpang Pulai, Perak ataupun Ipoh ini merupakan jajaran baru yang bukan sahaja menghubungkan daerah ini tetapi kemudian dilengkapkan dengan laluan merentasi Daerah Kecil Lojing sehingga ke Daerah Gua Musang, Kelantan.
Pembukaan laluan ini juga merupakan ledakan bom pembangunan bagi mukim Kg Raja dan Blue Valley sehinggalah ke Daerah Lojing. Perkampungan dan pekan kecil yang dahulunya amat terpencil dan tiada siapa yang pernah mengetahuinya kini merupakan gerbang kepada daerah Cameron Highlands dari arah utara dan Selatan Kelantan.
Jajaran ini memudiki huluan Sungai Kinta yang dikatakan merupakan rentas denai bagi penemuan awal Cameron Highlands pada tahun 1885 oleh William Cameron. Namun fakta ini tidak dapat disahkan secara rekod.
Berbeza dengan laluan Jalan Pahang (Tapah) yang mempunyai 270 selekoh tajam dan pendek, laluan ini dibina dengan mengikuti lereng bukit dan mempunyai selekoh yang lebih besar dan tidak terlalu tajam. Lebar jalannya juga besar dan selesa untuk pemanduan.
Namun semenjak pembukaan jalan ini, masih terdapat banyak kerja-kerja pemuliharaan dan pembaikan jalan dilakukan khasnya melibatkan cerun-cerun bukit.
Perbelanjaannya melangkau puluhan juta ringgit dikhabarkan hanya untuk kerja-kerja ini.
Untuk melalui laluan ini anda perlu keluar di Tol Simpang Pulai sebelum ke persimpang Batu Gajah dan memasuki laluan ke Simpang Pulai. Anda akan melalui perjalanan sejauh 79.3 km sekitar 1 jam 18 minit. Di awal perjalanan, anda akan menemui kawasan kuari batu marmar dan kapur di sepanjang jalan.
Untuk mengisi minyak, anda harus mengisinya di awal laluan ini di mana terdapat Stesen Petronas di sini dan jika tidak stesen seterusnya hanya setelah melalui 75 km di pekan Binchang.
Selepas melalui kawasan kuari ini, anda akan menempuh perjalanan yang sebenar dan berhati hati dengan selekoh yang agak tajam di beberapa lokasi.
Sepanjang laluan ini juga anda akan menemui beberapa penempatan Orang Asli dan berpeluang membeli hasil kerja dan buruan mereka.
Melepasi sempadan Daerah dan Negeri terdapat papan tanda dan mercu tanda khas yang menunjukan anda telah melintasi sempadan negeri Pahang.
Pekan pertama yang anda akan temui adalah Kampung Raja dan berhati-hati dengan simpang ke sini yang sibuk dengan kenderaan berat pekebun sayur.
Pemandangan di waktu malam lebih mengasyikan dengan lampu-lampu dipasang untuk menerangi kebun bunga crisanthemum. Manakala ada masanya kawasan laluan ini akan berkabus tebal dan berhati-hati ketika memandu.
Jika berlaku kecemasan, terdapat beberapa bahagian di laluan ini yang mempunyai liputan talian telepon untuk mendapatkan kecemasan.
Terdapat juga 'penunda kereta' yang aktif di sekitar laluan ini tetapi kurang selepas melepasi sempadan negeri.
Pada awal tahun yang lalu, kami seringkali dinasihatkan untuk tidak memandu lewat malam kerana dikatakan terdapat samseng jalanan yang mengambil kesempatan tetapi ianya merupakan khabar angin yang tidak disahkan.
Apapun bagi pelancong dari Utara dan Selatan Kelatan atau kepada mereka yang tidak tahan mabuk di laluan Jalan Pahang, laluan Simpang Pulai ini merupakan pilihan yang terbaik.
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.