Tips atau catatan percutian kali ini menjengah kembali Melaka. Untuk catatan kali ini saya sebenarnya ada membuat catatan mengenai makam Hang Jebat dan Kasturi terdahulu tetapi koleksi gambar yang saya muatnaikan adalah versi collage dan ada kawan yang mengesyorkan supaya saya mengekalkan saiz gambar secara individu untuk lebih mudah dilihat.
Jadi saya buatkan catatan yang berasingan untuk kedua-dua makam ini dengan gambar yang juga berasingan. Harap memuaskan hati kawan saya tersebut, Banyak cakap aku parang karang !!! kih kih ...
Saya mulakan dengan Hang Kasturi. Kisahnya kalau di cari di laman blog yang lain membawakan kisah yang berbeza-beza malah kalau ikut pemahaman kita dari kisah semasa kecil juga berbeza. Mujur di makam ini terdapat papan info yang berkongsikan kisahnya.
Hang Kasturi adalah salah seorang pahlawan lima bersaudara terdiri daripada Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Lekiu di zaman pemerintahan Melayu Melaka pada era Sultan Mansur Shah (1456-1477).
Mereka lima bersaudara merupakan hulubalang yang dilantik untuk menjaga keamanan negeri ini ketika itu. Hang Tuah mengetuai mereka dengan pangkat Laksamana.
Umum mengetahui bahawa Hang Jebat telah menderhaka kepada sultan apabila Hang Tuah dihukum bunuh akibat fitnah berselingkuh dengan dayang di istana. Dikatakan Sultan Mansur Syah telah dipengaruhi oleh pembesar dari Majapahit yang sememangnya amat iri hati dengan kasih sayang dan kepercayaan yang diberikan oleh Sultan kepada Hang Tuah.
Tanpa usul periksa, Sultan merasa murka dan segera menjatuhkan hukuman bunuh. Menurut catatan sejarah Melayu, dikatakan Hang Kasturi merupakan orang yang sebenarnya telah mengamuk dan menderhaka kepada sultan akibat tindakan yang tidak adil itu.
Terkenal dengan laungan ketika mengamuk ' Raja adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja disanggah", Hang Kasturi mengamuk sehinggakan Sultan dan kerabat serta pembesar terpaksa melarikan diri dan keluar dari Istana.
Bilamana Hang Tuah kembali setelah diampunkan tetapi sebelum itu telah disembunyikan oleh Bendahara di Ulu Melaka, Hang Tuah menjunjung perintah dan titah Sultan untuk menghapuskan penderhaka yang dimaksudkan.
Dengan berat hati, tugas perlu dilaksanakan. Akhirnya, Hang Kasturi tewas dan meninggal dunia di atas pangkuan Hang Tuah.
Anda boleh berjalan kaki melawat Jonker Walk di Bandar Hilir Melaka dan akan sampai di Makam Hang Kasturi.
Jika menaiki kenderaan, sekadar 5 minit perjalanan dari bangunan Stadthuys jika tiada kesesakan.
Makam ini mempunyai senibina India kerana mempunyai ruang meletak lilin di antara dinding makam tersebut. Tiada bayaran dikenakan untuk memasuki makan yang terletak di antara celahan bangunan lama ini.
Selamat melawat makam Hang Kasturi...
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.