Catatan perjalanan kali ini saya bawakan anda ke Perigi Hang Tuah yang terletak di Kampung Duyong, Melaka.
Perigi ini dikatakan digali oleh Laksamana Hang Tuah di zaman kecilnya untuk kegunaannya sendiri semasa beliau membesar di Kampung tersebut.
Mengikut petikan laman web Negeri Melaka, pada asalnya perigi ini kecil sahaja tetapi lama kelamaan menjadi besar dan semakin dalam. Perigi ini dikatakan tidak pernah kering walaupun di musim kemarau.
Metos dan dongeng yan tersebar mengatakan air diperigi ini sentiasa jernih dan mampu mengubati penyakit. Malah ada juga menceritakan perigi ini tempat tinggal roh Hang Tuah yang menjelma sebagai seekor buaya putih secara jelmaan dan hanya orang alim sahaja yang dapat melihat jelmaan ini.
Saya tidak mempercayai dongeng ini. Anda? terpulanglah untuk percaya ataupun tidak. Kadang-kala kita melawat tempat-tempat sebegini sukar untuk lari dari kisah dongeng dan juga kisah tersiratnya.
Untuk ke Kampung Duyong ini, anda boleh melalui Semabok Dalam di mana di persimpangan saya dapati satu projek yang mengikut papan tanda projek tersebut sebagai membangunkan Kompleks Perigi Hang Tuah.
Atau dari Lebuh AMJ, anda boleh memasuki kampung ini dan terus ke Kampung Duyong.
Terdapat gerai jualan di sekitar perigi Hang Tuah ini tetapi kemudahan seperti gelanggang silat (kalau tidak salah saya) agak terbiar dan menyakitkan mata.
Sebenarnya kali pertama saya ke sini adalah pada tahun 1989 ketika rombongan sekolah saya dahulu dan saya masih ingat ketika kunjungan tersebut, sedang dilakukan kerja-kerja men'tar'kan jalan di situ.
Saya juga masih ingat agak ramai juga pengunjung ketika itu dan masing-masing beratur untuk mengambil air telaga ini untuk dibawa pulang. Kami yang masih murid sekolah ketika itu sekadar melihatnya dari luar sebelum lebih banyak tertumpu di gerai jualan di sebelahnya.
Kunjungan saya kali ini sekadar menyesatkan diri ketika pulang bercuti di rumah mertua. Untuk ke lokasi perigi ini, saya melalui beberapa perkuburan lama yang sedang dibaik pulih. Ini membuktikan kawasan Kampung Duyong ini sememangnya perkampungan yang agak lama bagi negeri ini.
Maka mungkin benarlah sejarah yang berkaitan dengan Hang Tuah mempunyai susur galurnya di sini.
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.