Catatan kali ini saya ingin berkongsikan pula mengenai pembukaan tanah atau kawasan hutan untuk kawasan pertanian. Tajuk dan isi catatan ini mungkin agak biasa bagi sesetengah dari anda kerana apalah keperluan catatan ini sebagai tip ketika melancong ke Cameron Highlands. Tiada kaitan rasanya.
Saya pun rasa begitu. Kenapa saya ingin membuat catatan sebegini dan apa pula manfaatnya kepada pelancong ke Cameron Highlands. Cuma catatan ini menjangkau sedikit ke Daerah Kecil Lojing, Kelantan yang turut mengalami mimpi ngeri yang sama.
Tetapi bila saya meneliti kembali, sebenarnya saya sekadar ingin memberi sedikit info bagi anda yang datang ke Cameron Highlands dan bakal menyaksikan kisah yang mungkin anda tidak pernah gambarkan mengenai daerah pertanian dan perlancongan ini terutama bagi pencinta alam sekitar.
Malah saya merasakan anda yang datang melancong dan bercuti di sin boleh memainkan peranan yang amat penting....
Malah saya merasakan anda yang datang melancong dan bercuti di sin boleh memainkan peranan yang amat penting....
Mengapa pokok-pokok itu ditebang? Kenapa hutan-hutan dicerobohi? Lihat, disana... rakusnya manusia menarah bukit. Apa akan terjadi nanti kepada Cameron Highlands?
Ini mungkin adalah pertanyaan dan keluhan kepada pelancong yang memiliki rasa cinta kepada alam sekitar.
Tahukah anda, kawasan daerah ini sebenarnya dipenuhi dengan hutan belantara yang begitu tebal dan merupakan salah satu penjana hawa dingin semulajadi kepada alamnya yang tidak terdapat di tempat di Malaysia.
Daerah Kecil Lojing |
Adakah anda merasakan sepuluh tahun dari sekarang Cameron Highlands akan kekal dengan kesejukannya, kedinginan tidak kira pagi, petang apatah lagi malam atau tanpa mengira bulan dan musim?
Melalui rekod yang diperolehi dari Pejabat Pertanian sekitar tahun 2010 (semasa dibentangkan sempena Lawatan Kerja Timbalan Menteri Pertanian) merekodkan seluas 5705 ha telah dimajukan dengan kebun tanaman sayuran dan bunga.
Pecahan kebun-kebun tanaman didahului oleh sayur-sayuran seluas 4,404 ha, diikuti dengan Ladang Teh seluas 819 ha, bunga-bungaan pula seluas 450 ha dan tanaman strawberry dan limau seluas 32 ha.
Saya pernah mencatatkan satu catatan mengenai industri pertanian ini melalui Catatan lama ini. Klik.
Daerah Kecil Lojing |
Untuk membuka kawasan tanaman baru, mengikut pengalaman saya memerlukan beberapa kaedah dan langkah yang perlu dipatuhi.
Setiap pemohonan kebun baru perlu mendapatkan kelulusan Permit Kerja Tanah dari Pejabat Tanah dan Dearah Cameron Highlands.
Daerah Kecil Lojing |
Setiap permohonan yang diajukan akan diproses oleh pihak pejabat tanah dengan mendapatkan sokongan dan ulasan teknikal dari pihak yang berkaitan.
Antaranya Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan memberikan ulasan teknikal tindakan pengurusan alam sekitar dan kesannya berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada.
Ulasan teknikal ini penting untuk memastikan kesan kepada alam sekitar adalah minimal atau pengurusan alam sekitar dilakukan sepanjang tempoh pembukaan tanah ini.
Mereka juga boleh mencadangkan untuk pemaju melakukan tindakan lanjut seperti Penilaian Kesan Alam sekitar (EIA) atau Penilaian Kesan Alam Sekitar Terperinci (DEIA) seperti mana yang termaktub dalam peraturan mereka.
Cameron Highlands |
Jabatan Pertanian atau Pejabat Pertanian Daerah pula biasanya akan memberi ulasan berkaitan kesesuaian tanah dibangunkan sebagai kawasan pertanian.
Biasanya unit tanah mereka akan meninjau kesesuian lokasi samada tanah yang sesuai atau melibatkan cerun yang tidak dibenarkan.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula akan memainkan peranan dalam memberi ulasan teknikal samada tapak projek atau kebun melibatkan kawasan simpanan (reserve ) tadahan air, laluan air seperti sungai dan parit serta kesan kepada sistem pengairan sedia ada.
Mereka juga akan menyatakan ulasan teknikal bagi keperluan Plan Kawalan Hakisan & Kelodak (ESCP) yang diperlukan sepanjang kerja-kerja pembukaan kebun dilakukan.
Cameron Highlands |
Mereka akan bekerjasama dengan Majlis Daerah Cameron Highlands untuk ulasan teknikal status rancangan pembangunan tanah seperti yang digariskan dalam Pelan Rancangan Tempatan dan Bandar Daerah Cameron Highlands.
Juga terdapat ulasan teknikal dari badan-badan kerajaan yang lain seperti Kesihatan, Bomba dan Penyelamat serta sebagainya sebagai sokongan.
Lojing |
Kenapa ? Semuanya indah di atas kertas tetapi buruk dan hodoh diimplementasikan. Pematuhan kepada syarat-syarat kelulusan tidak sepenuhnya dan malah diabaikan kerana penjimatan kos dan rasa tidak bertanggungjawab oleh pengusaha.
Kelulusan permit kerja tanah digunakan sepenuhnya sebagai lesen untuk memulakan kerja dan kesanya diabaikan demi kepentingan sendiri.
Biasa terjadi keluasan tanah yang diluluskan sekadar 2 ekar tetapi kawasan yang dibuka melebihinya malah menjangkau sempadan hutan simpan.
Peraturan pematuhan Pengurusan Alam Sekitar dan juga Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak hanya sekadar coretan kertas tanpa diterjemahkan ke atas kerja sebenar.
Ini yang berlaku bagi mereka yang telah mendapat kelulusan kerja tanah tetapi ramai juga diluar sana yang langsung secara haram meneroka tanah.
Cameron Highlands |
Malah suara sumbang yang lain pula menyatakan pelbagai kritikan seperti rasuah dan budaya 'kaowteem' yang dikatakan bermaharajalela dikalangan penguatkuasa. Namun ini sekadar tuduhan semata yang tidak berasas.
Pihak penguatkuasaan seringkali menyita kenderaan, mengeluarkan kompaun dan sebagainya tetapi tahukah anda dalam peruntukan undang-undang sedia ada hukuman yang diberikan cukup ringan malah tidak setimpal dengan kesalahan yang sedia ada.
Apakah denda sebanyak RM 5 hingga 10 ribu mampu menghentikan kerja-kerja pembukaan kebun yang tidak mengikut peraturan jika keuntungan selepas pembukaan ladang melebihi puluhan ribu malah menjangkau jutaan ringgit di masa hadapan.
Lojing |
Saya teringat pula kisah pendakwaan oleh penguatkuasa kepada sebuah syarikat di Lojing yang menyaksikan pengurus sumber manusia syarikat tersebut dihukum penjara kerana kesalahan ke atas alam sekitar.
Persoalannya di mana kewajaran hukuman ini dikenakan kepada pengurus sumber manusia bukannya kepada pemilik syarikat tersebut.
Ini bermakna terdapat peluang yang jelas untuk si pemilik melakukan kesalahan ke atas jenayah alam sekitar kerana yang dihukum adalah pekerja bawahannya yang melakukan atas arahannya.
Cameron Highlands |
Saya kurang pasti tetapi saya rasa kita perlu menyatakan pendapat kita, kebimbangan kita, keprihatinan kita kepada pihak berwajib.
Mungkin sekadar sepucuk surat atau email beleh dihantar sebagai tanda kebimbangan kita kepada masa depan alam sekitar di Cameron Highlands.
Ingat, kita bukan mencuba mengusik periuk nasi sesiapa tetapi menyatakan hak memberi pendapat kepada pihak yang berwajib untuk melakukan sesuatu seperti kawalan, pemantauan dan tindakan yang lebih tegas dilaksanakan demi memastikan pinjaman kita keindahan alam sekitar dari generasi kita akan datang ini dapat dilunaskan.
(Gambar-gambar ini dirakamkan oleh En Azlan sekitar 2008-kredit untuk beliau)
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.