Thursday, October 11, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: CH dari Udara

Cameron Highlands sememangnya dikenali sebagai kawasan tanah tinggi yang melebihi 1000 meter dari paras laut. Kedudukannya sememangnya berada di puncak gunung ganang yang mempunyai rantaian antara satu sama lain. 


Sejarah ringkas daerah ini bermula pada tahun 1885, apabila William Cameron yang merupakan juruukur kerajaan Bristish telah membuat ekspedisi sempadan antara negeri Pahang dan Perak melalui hulu Sungai Kinta. 

Ketika berada di suatu puncak gunung, beliau mendapati terdapat satu dataran rata atau plateu di bawahnya yang dikelilingi oleh gunung-ganang. 

Ini merupakan satu penemuan yang menarik kerana amat sesuai untuk membangunkan penempatan di tanah tinggi namun sehingga kematian beliau tiada keputusan diambil  oleh pihak Bristish ketika itu.

Sehinggalah pada awal 1900 an, George Maxwell telah membuat satu ekspedisi ke sini melalui laluan daerah Tapah dan akhirnya bersetuju untuk membangunkan kawasan yang ditemui ini sebagai stesen penyelidikan tanah tinggi. 

Sebagai mengenang jasa penemuan awal oleh Willian Cameron maka dataran ini dinamakan sebagai Cameron Highlands atau diterjemahkan sebagai Tanah-Tanah Tinggi Cameron.

Ini adalah antara fakta sejarah pembukaan daerah ini seawal 1920 an hingga kini. 

Beberapa siri catatan mengenai sejarah dan juga ikon pembukaan awal daerah ini telah saya kongsikan dalam catatan yang terdahulu. 

Antaranya pembukaan padang golf, hotel-hotel pertama di Cameron Highlands, sekolah-sekolah dan pelbagai lagi termasuklah ladang-ladang teh.


Untuk menerokai daerah yang berkeluasan 72 km persegi ini amatlah sukar kerana bentuk muka buminya malah jaringan jalanrayanya agak terhad dan sukar. 

Namun ini bukan penghalang kepada kebanyakan petani yang secara sendirinya membuat jaringan jalan raya seawal 1930 an khas untuk penanaman sayur-sayuran di sini. 

Pada mulanya Kerajaan British tidak berminat memajukan kawasan tanah tinggi ini sebagai kawasan pengeluaran sayuran utama Malaysia ketika itu kerana beranggapan tidak mempunyai daya saing untuk dimajukan. 

Namun ianya dibuktikan salah apabila pekebun-pekebun Cina membuktikan sebaliknya. Malah ketika zaman darurat, pihak Jepun turut menjadikan daerah ini sebagai sumber makanan mereka. 

Sehingga tahun ini, Cameron Highlands kian luas diterokai oleh pekebun sayur dan bunga malah keluasannya tidak akan berhenti biarpun Dearh Kecil Lojing, Kelantan juga diterokai untuk industri yang sama. 

Kebun-kebun dibangunkan secara tradisional dan juga moden. Malah daerah ini merupakan kawasan pengeluaran sayur-sayuran utama untuk pasaran tempatan malah menjangkau ke pasaran luar negara.

Daerah ini memiliki kesempurnaan persekitaran untuk tanaman secara kormesial. 

Suhunya, taburan hujannya, kelembapan, kesuburan tanah dan jumlah cahaya matahari menjadikanya amat sesuai. 

Namun seiring dengan zaman, sokongan teknologi moden telah banyak merancakkan industri ini sehingga menjadi lubuk emas kepada pekebun terbabit. 

Manakala bagi pembangunan bandarannya pula semakin berkembang. 

Kalau anda hadir ke sini sekitar 30 tahun yang lalu anda akan mendapati daerah ini adalah daerah hijau sepenuhnya. 

Cuacanya dikatakan amat sejuk dan kedamaian alamnya tidak terbanding di tempat lain. 

Kedinginan suhunya bukan bermusim ketika itu malah sepanjang hari dan tahun anda akan merasai kedinginan Cameron Highlands yang tiada tolok bandingnya. 

Ditambah dengan lanskap hijau yang unik seperti ladang-ladang teh sungguh menjadi kegilaan untuk ke sini. 

Jika anda datang sekitar 20 tahun yang lalu mendapati sedikit penambahan bilangan penempatan penduduk mula bergerak dengan pantas. 

Perumahan dan penempatan bertambah baik yang dibangunkan oleh kerajaan mahupun swasta. 

Kebun-kebun sayur mulai di buka secara kormesial tetapi masih terkawal kerana semuanya dilakukan secara kecil-kecilan dan melibatkan ahli keluarga sebagai tenaga kerja. 

Jika anda datang sekitar 10 tahun yang lalu akan mula mengeluh kerana mendapati Cameron Highlands seperti kehilangan seri.

Kawasan hutan mula dibuka sepenuhnya dan melata tumbuhnya samada sah ataupun tidak sah hanya untuk tanaman komersial. 

Isu-isu penerokaan haram ini ataupun yang sah tetapi tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan menjadi penyakit yang awalnya ringan tetapi kini merebak ke status parah yang sukar dirawat. 


Bukan sekali, dua kali ataupun tiga kali isu-isu panas kemusnahan alam sekitar ini dan boleh dianggap sebagai jenayah alam sekitar dibangkitkan oleh badan-badan ngo-ngo ataupun media tetapi sekadar panas seketika di tengahari tetapi diwaktu petang hujan dan ribut bersambungan tanpa henti sehingga dibangkitkan semula. 

Penguatkuasaan menjadi isu utama. Ada yang mengatakan tiada penguatkuasaan tegas dilaksanakan terhadap penjenayah-penjenayah alam sekitar ini namun kisah yang didendangkan bernada lain pula. 

Dikatakan,  penguatkuasaan dilakukan, ada unsur-unsur tangan dan suara ghaib menghulur dan berkumandang atas tiket politik.

Akhirnya penguatkuasaan berkubur sunyi dan penjenayah alam sekitar riang menyambung aktiviti mereka. 


Kebanjiran tenaga kerja asing samada sah ataupun tidak sebenarnya membantu perkembangan ini.Kini pemilik atau pekebun lebih  menumpukan sepenuhnya kepada urusan pemasaran dan pengurusan manakala urusan pengeluaran pula hanya diselia tenaga kerjanya.

Dari segi penempatan pula penduduk tempatan ada yang tersenyum dan ada yang mengeluh. 

Tersenyum kerana mereka terlibat dan merasai nikmat limpahan pelancong tempatan yang hadir menjana keuntungan ekonomi mereka seperti jualan, penginapan dan sebagainya. 

Pihak yang mengeluh pula kerana taraf hidup makin meningkat kerana persaingan antara penduduk dan juga pelancongan. Mereka adalah antara yang berkhidmat dengan kerajaan dan swasat dan tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti ekonomi perlancongan di sini.  

Harga makanan agak mahal malah barangan seperti makanan segar juga naik mendadak bairpun berada di kawah sayur-sayuran Malaysia. 

Peluang menyewa bulanan agak kecil kerana pilihan pemilik kediaman untuk menawarkan homestary ataupun apartment percutian. 

Ini semuanya berlaku dengan amat pantas apabila jaringan jalan raya baru yang menghubungkan daerah ini bertambah. 

Jika dahulu hanyalah Jalan Pahang melalui Tapah menjadi nadi utama biarpun cabaran liku-likunya menduga pemanduan. 

Kini pembukaan Jalan Simpang Pulai dari Ipoh dan utara benar-benar mengamit pelancong hadir ke sini. 

Bagi yang berada di Selatan Negeri Kelantan, pembukaan jalan baru Gua Musang Lojing ke Kampung Raja adalah kemudahan kepada mereka ke sini.  

Manakala buat pertama kalinya, penduduk negeri Pahang berpeluang datang ke daerah perlancongan ini melalui laman belakang mereka sendiri iaitu bilamana Jalan Pos Betau ke Ringlet turut dibuka seawal tahun ini tanpa melalui laman negeri lain.

Limpahan pelancong ke sini merupakan satu rahmat dari segi pembangunan dan ekonomi dan ada harga  yang perlu dibayar oleh penduduk di sini samada secara langsung ataupun tidak langsung, antara mahu ataupun tidak mahu atau suka ataupun sebaliknya. 

Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk melihat dan menerokai sepenuhnya daerah ini, saya kongsikan catatan in dengan gambar pemandangan dari udara samada yang saya rakamkan sendiri ataupun dipetik dan dipinjam dari sumber yang lain. 

Ada cerita dan kisah yang membanggakan, namun terpapar juga ada kisah yang tidak ingin atau tidak gemar untuk dilihat dari kaca mata yang lain. 


Saya percaya, dari 36 ribu penduduk pada tahun bancian 2010 di sini akan bertambah ke angka yang lain dimasa hadapan dan menuntut keperluan dan kemudahan disediakan oleh pemerintah yang secara impaknya meninggalkan ataupun menuntut pengorbanan yang tidak dapat dielakkan.

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.