Wednesday, October 10, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Taman Pertabalan...

Antara pertanyaan yang ditanya oleh pembaca mrkumai melalui email adalah lokasi yang sesuai untuk berkelah di Cameron Highlands. 

Saya tertanya pula apakah bentukdan maksud  perkelahan yang anda maksudkan.



Adakah anda ingin berkelah dan bermalam ? Jika ini maksudnya, saya mengesyorkan anda ke Kem Sungai Pauh yang pernah saya catatkan kisahnya di laman ini. Klik Sini atau Sini

Adakah anda ingin berkelah dan bermandi manda? Jika ini maksudnya, saya kurang untuk mengesyorkan tetapi jika anda inginkan juga anda boleh ke Parit WaterFall yang juga pernah saya kongsi catatannya di sini.Klik SINI. Tetapi ingat saya  kurang untuk mengesyorkan bermandi manda. 

Jika anda ingin berkelah sekadar menikmati jamuan makan tengahari yang dibawa dari rumah, lantaran seawal pagi telah bertolak ke sini dan lapar pula terasa apabila tiba di tengahari.

Makanan tengahari telah siap dibawa dari rumah. Maka jika ini maksud anda untuk mencari lokasi berkelah, saya ingin mencadangkan anda dan keluarga untuk ke Taman Pertabalan di Pekan Tanah Rata .

Taman ini dinamakan Taman Pertabalan bersempena Majlis Pertabalan KDYM Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah  yang mengantikan Almarhum Ayahandanya, Sultan Abu Bakar pada 8 Mei 1975. Sebelum itu, Baginda telah dimasyurkan sebagai Sultan Pemerintah bagi Negeri Pahang pada 7 Mei 1974 sebelum istiadat pemakaman ayahanda baginda. 

Ini bermaksud Taman Pertabalan ini telah menjangkau 37 tahun usianya. 

Istimewanya di sini untuk anda yang inginkan berkelah dan melepaskan penat selepas perjalanan jauh, taman ini dilengkapi kemudahan asas seperti tandas, gerai pakaian bundle dan juga permainan kanak-kanak. 

Manakala di seberang jalan taman ini terdapat gerai-gerai makanan untuk tengahari dan juga minum petang.

Juga terdapat kerusi, pondok dan meja rehat di bawah pokok untuk anda duduk bersama keluarga menikmati makanan. Manakala diwaktu petang, kawasan bersimen dihadapan menara jam seringkali digunakan oleh remaja untuk bermain skateboard. 

Jika tidak mencukupi, pilihlah duduk bersila dan bersantai di mana-mana sudut pilihan anda beralaskan tikar sambil bersantai.

Untungnya, cuaca di sini sentiasa dingin dan amat selesa untuk kita duduk berkelah biarpun matahari tegak di atas. 

Sambil-sambil makan dan minum serta rehat, kanak-kanak pastinya lebih gembira kerana dapat bermain seketika. 

Cuma kadangkala tidak sempat pula untuk makan lebih diutamakan bermain sahaja. 
Taman ini agak ramai pengunjungnya di waktu petang kerana inilah satu-satunya kemudahan taman permainan awam yang terdapat di sini jika adapaun yang lain adalah taman-taman permainan khusus untuk penghuni taman-taman perumahan. 

Lokasinya hanya bersebelahan dengan Stesen Bas Cameron Highlands dan di tengah bandar Tanah Rata berhadapan dengan Balai Polis Tanah Rata ataupun bertentangan dengan Hotel Century Pines. 

Sambil-sambil berkelah tu, jangan lupa bersama menjaga kebersihan... 

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.