Wednesday, October 3, 2012

Kucing yang comel siri 2...

Catatan mengenai Gambar Kucing yang Comel saya yang terdahulu mendapat hit  bacaan tertinggi di mrkumai setiap hari malah jarak antara catatan ini dengan catatan kedua popular agak besar jurangnya. 

Ini bermaksud, ramai di luar sana yang amat meminati si kucing yang penuh keletah dan kemanjaan ini. 

Ramai yang teruja dengan kecomelan mereka dan menjadikan hobi ini bukan sekadar hobi semata tetapi lebih kepada akrabnya hubungan antara dua insan yang tidak boleh memahami melalui kata-kata. 

Untuk siri ke dua ini saya ingin buat sedikit kelainan tetapi masih seringkas yang mungkin. 

Kalau siri yang pertama saya meminjamkan dari banyak sumber gambar-gambar kucing yang comel pada pandangan saya, tetapi untuk catatan kedua dan mungkin akan ada catatan ketiga atau seterusnya ini saya ingin berkongsikan dengan koleksi rakaman sendiri kucing-kucing yang saya temui samada dipelihara ataupun sekadar kucing jalanan.

Mungkin tidak secomel versi  catatan pertama tetapi niat pun dah  sekadar berkongsi. Untuk catatan kedua ini saya mengambil gambar dua kucing yang agak comel pada pandangan mata saya. 

Saya temui pasangan anak-beranak ini di sebuah kawasan belukar di pinggir Tanah Rata  tengahari tadi dan kedua-duanya adalah betina. 

Biarpun mereka berada di tepian belukar, namun dari pemerhatian saya mereka mempunyai pemilik dari apartment yang berhampiran. Ini kerana bulu mereka yang sungguh terjaga rapi dan begitu lembut tanpa seekorpun kutu. 

Malah aksi mereka sungguh manja dan pandai pula berposing kerana tidak takut kepada manusia. Si ibu sekitar setahun dua manakala anaknya sekitar 6 hingga 9 bulan mengacah saya secara tiba-tiba dari belukar semasa saya sedang mencari orkid liar sebagai bahan untuk dirakam. 

Cuma si anak agak lama baru boleh saya pegang dan usapkan badannya manakala si ibu pula cepat mesra. Ini antara koleksi gambar yang sempat saya rakamkan tadi. 


Sambil-sambil kita melihat gambar-gambar kucing ini apa kata kalau saya selitkan sedikit mengenai info mengenai kucing supaya ada sedikit pengisian yang boleh dikongsi bersama. Malah saya sendiri memtik dari beberapa laman web yang lain untuk maklumat-maklumat yang ingin saya kongsikan ini. 


Pertamanya saya ingin berkongsian mengenai asal usul kucing dan kewujudannya. Untuk itu, saya meminjam maklumat dari maswafi.blogspot.com ini melalui catatannya yang menarik ini :
Mengikut sumber-sumber Israiliyyat ia bermula semasa 3000 s.m sewaktu nabi Nuh bersama 83 pengikut yang beriman belayar menggunakan bahtera yang diperbuat daripada 4,340 papan dan 50 buah layar.
Kapal tersebut mempunyai 7 tingkat di mana tingkat 1 untuk menyimpan barang pusaka nabi Adam, Hawa, nabi Syith dan nabi Idris. 
Tingkat ke 2 tempat nabi Nuh dan pengikutnya. tingkat ke 3 dikumpulkan segala jenis burung, tingkat ke 4 pelbagai jenis binatang jinak (berpasangan), tingkat ke 5 binatang liar (berpasangan), tingkat ke 6 ditempatkan segala jenis rumput-rumpai dan tingkat teratas (7) diletakkan benih-benih pokok dan biji-bijian.


Disebabkan pelayaran yang sangat lama iaitu selama 7 bulan akibat banjir besar, timbul masalah najis-najis yang tidak terkawal di dalam bahtera nabi Nuh.

Nabi Nuh meminta pertolongan malaikat Jibrail untuk menyelesaikan masalah tersebut, dengan itu nabi Nuh diarahkan untuk menggosok belalai gajah untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Apabila baginda melakukan perkara tersebut keluarlah beberapa ekor babi dari bebalai gajah yang akhirnya memakan segala najis di dalam bahtera tersebut.


Perbuatan itu dilihat oleh salah seorang pengikutnya (syaitan yang menyamar), lalu melakukan perkara yang serupa tetapi menggosok belakang babi maka dengan itu keluarlah beberapa ekor tikus yang memakan dan merosakkan dinding bahtera.

Sekali lagi malaikat Jibrail membantu baginda menyelesaikan masalah tersebut, kali ini baginda diarahkan untuk menggosok belakang harimau dengan serta merta keluarlah beberapa ekor kucing yang akhirnya memakan tikus-tikus tersebut.



Boleh tak macam ni? .... Sambil-sambil melihat gambar , kita berkongsi maklumat...

1 comment:

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.