Wednesday, October 31, 2012

Catatan Perjalanan: Pirate Park...

Satu lagi tarikan di pinggir Sungai Melaka adalah Taman Lanun ataupun Melaka River Pirate Park. Lokasinya terletak bersebelahan dengan tebing sungai ini dan kalau dahulunya merupakan tapak stesen bas lama. 


Taman permainan berbayar ini dibina sebagai salah satu lagi tarikan di Sungai Melaka seawal tahun 2007 lagi. 

Namun ketika kunjungan saya seawal bulan September 2008, Taman permainan ini agak sunyi dari kunjungan pelancong biarpun antara tarikan utamanya adalah Eye of Melaka. 



Mungkin kerana kewujudan Eye of Malaysia di Muara Sungai Melaka telah menenggelamkan tarikan ke taman tema ini ketika waktu tersebut. 

Apapun kunjungan saya pertengahan tahun ini mendapati ianya masih kekurangan daya tarikan untuk pelancong. 


Mungkin kerana anggapan Bandar mati iaitu kawasan ini dahulunya amat sibuk kerana menjadi stesen bas utama bagi bandaraya Melaka ini. 


Namun segalanya berubah arah bilamana stesen bas dipindahkan ke Melaka Sentral. Turut menjadi kelam adalah Plaza Hang Tuah yang suatu ketika dahulu amat popular namun kini sekdar menjadi tempat tumpuan bagi pekerja asing bersantai di hujung minggu sambil membeli telepon dan juga barangan elektrik. 


Terdapat gondola berputar- Ferris Wheel, Pirate Ship dan Tramboline Bungee dengan bayaran tertentu dikenakan untuk pelancong tempatan dan asing. Masuk adalah percuma. 


Menaiki Ferris Wheel di waktu malam boleh melihat bandar lama Melaka yang terletak di seberang sungai . Manakala hiasan lampung dan bangunan di sepanjang sungai ini menambah ceria.  

Terima Kasih .. mari kita ucapkan ...

Iklan mengenai Terima Kasih ini dapat kita tonton di TV3 semasa Buletin Utama. Kali pertama menontonnya terasa sayu dan terdiam seketika antara saya dan isteri...

Makna liriknya sungguh ringkas tetapi mendalam.. gambaran yang dipaparkan menyatakan kita seharusnya mengucapkan terima kasih setiap masa biarpun yang dibantu itu mungkin kecil nilainya tetapi besar hati mereka.

Ingatkan kali pertama sahaja kami terdiam menghayati iklan ini tetapi rupanya setiap kali disiarkan kami masih lagi terdiam ...

Jom tonton dan hayati lirik dan senario yang dikongsikan ...

Jom kita ucapkan terima kasih ...

Kini ku nikmati kehidupan yang selesa
Dibentuk oleh mereka yang penyayang
Hari silih ganti kami maju ke hadapan
Tak kira apa jua halangan

Terima kasih ku ucapkan padamu,
Atas nikmat yang diberi padaku
Terima kasih ku ucapkan padamu
Kerna aman sentosa selalu

Kita dididik serta dipimpin
Agar kita semua tidak keciciran
Kita terus berusaha sedaya upaya
Agar menjadi insan yang berguna

Terima kasih ku ucapkan padamu
Atas nikmat yang diberi padaku
Terima kasih ku ucapkan padamu
Kerna aman sentosa selalu

Tips Melawat Cameron Highlands: Pokok Teh

Dalam membuat catatan mengenai bunga Camellia dalam catatan yang lalu, terlintas idea untuk menulis satu catatan khusus mengenai pokok teh dan berkongsi gambar-gambar yang berkaitan dengan tanaman ini. 

Maklumlah, teh merupakan antara tarikan utama di sini selain strawberry (insyaallah, dah terlintas pula untuk berkongsikan mengenai pokok strawberry pula nanti) dan sayur-sayuran. 

Jadi untuk catatan kali ini saya kongsikan sedikit info mengenai pokok teh dari segi sejarahnya dan sedikit info botani tanaman ini. Siri keduanya pula saya akan berkongsikan mengenai pemprosesan daun teh untuk menjadi serbuk minuman. 

Semuanya bukan dari pengetahuan saya tetapi Insyaallah akan merujuk kepada rakan yang bekerja di ladang teh. Mereka adalah pakar dalam tanaman teh.

Nama teh Camellia diambil dari nama latin , Georg  Kamel pada tahun 1753 sebagai penghormatan kepadanya atas sumbangan dalam ilmu botani oleh Carl Linnaeus. Namun pada 1818, Robert Sweet telah secara formal menukarkan species thea kepada genus Camellia  manakala nama sinesis bermaksud dari China dalam bahasa Latin. 

Teh dikatakan berasal dari Negara China dan mempunyai sejarah lebih daripada 4000 tahun yang lalu. Ianya menjadi bahan minuman utama bagi mereka dan juga ubatan tradisional.

Di Malaysia, sejarah teh bermula apabila pemilik Boh Plantation, A.J Russell membawa anak benih pokok teh ini ke Cameron Highlands untuk ditanam secara besar-besarn seawal 1924. 

Untuk menanamnya, beliau mendapatkan bantuan pakar teh British yang mengusahakan tanaman teh ini di Daerah Nuwara Eliya di Sri Lanka. 

Maka selepas itu, tanaman teh mula bertapak di Cameron Highlands sehingga mendorong beberapa syarikat yang lain membuka ladang teh mereka juga di sini. 

Daun teh tidak besar dan membujur sekitar 4-9 cm dengan batang pokok yang keras. 

Pokok teh jika dibiarkan boleh meninggi sebagaimana pokok tanaman yang lain namun bagi tujuan pengeluaran dan penuaian daun teh, maka ianya sentiasa dipangkas sekitar 90 cm hingga 110 cm ataupun paras pinggang purata manusia untuk memudahkan ianya dituai. 

Daun teh yang dipetik sebenarny bukan daun tua tetapi pucuk mudanya yang lebih mempunyai aroma dan rasa teh. 

Kalau tak silap saya untuk mendapatkan daun teh, kitaran 2 hingga 3 minggu diperlukan sebelum ianya kembali dituai. 

Cara tuaiannya melalui beberapa cara. Seawal tanaman teh ini diperkenalkan di Malaysia, kaedah memetik menggunakan tangan dan manual dilakukan setiap hari oleh pemetik daun teh yang biasanya adalah wanita. 

Setiap hari pemetik daun teh akan memulakan kerja seawal yang mungkin untuk memetik pucuk daun muda yang segar. 

Dengan mengendong raga rotan dibelakang mereka akan memetik pucuk daun teh dan terus meletakannya di dalam raga yang dikendong. 

Purata hasil setiap pemetik daun teh melalui kaedah ini sekitar 20 kg seorang dan ini menyebabkan ramai tenaga kerja diperlukan. Kebanyakan pemetik daun teh adalah berasal dari India yang dibawa masuk oleh British ketika itu. 

Menjelang tahun 1980an , kaedah tuaian menggunakan pemangkas diperkenalkan dengan kotak plastik dan pisau pemangkas direka untuk tujuan menuai daun teh. 

Cara ini dapat mempercepatkan proses penuaian sehingga 80-120 kg sehari tetapi hasilnya tidak sebaik petikan tangan kerana kadangkala daun tua akan turut dipotong. 

Namun kaedah tuaian ini masih mendapat sambutan kerana dapat mengurangkan jumlah tenaga buruh untuk tujuan penuian daun teh.

Sekitar tahun 1990an , pemotong daun teh berjentera mula diperkenalkan di mana dua orang pekerja diperlukan untuk memegang jentera penuai dan bergerak ke arah pucuk segar. 

Kaedah ini bukan sahaja mempercepatkan proses penuaian dan kadar produktiviti setiap penuai boleh mencecah sehingga 200 kg seorang sehari. 

Namun masih mempunyai hasil yang sama iaitu daun muda dituai dan kadang kala daun tua juga turut serta.

Teh memerlukan jumlah taburan yang tinggi iaitu melebihi 2000 mm setahun untuk memastikan pokoknya subur dan terus mengeluarkan pucuk dengan cepat. 

Namun untuk tujuan kawalan penyakit dan juga memastikan pokok ini menghasilkan pucuk yang berkualiti biasanya pokok teh akan dipangkas setiap dua tahun hingga tiga tahun sekali.   




 

Catatan Perjalanan: River Cruise Melaka

Menutup tiga catatan mengenai Sungai Melaka seperti yang saya janjikan adalah berkaitan dengan River Cruise.


Melaka River Cruise ini menyediakan perkhidmatan bot menyelusuri sepanjang Sungai Melaka samada dari Taman Rempah ke muaranya ataupun sebaliknya. Perjalanan ini sejauh 4.5 km sehala ataupun 9 km pergi balik. 

Jika anda menaiki dari Taman Rempah, anda boleh meletakkan kenderaan anda secara percuma di sini. Juga terdapat Monorail Sungai Melaka yang didirikan bersebelahan dengan Pusat Jualan dan Jeti Taman Rempah ini. 

Saya belum berkesempatan menaiki monorail ini jadi tidak dapat berkongsikan pengalamannya di sini. Insyallah suatu masa nanti. 

Dari sini anda perlu membeli tiket untuk menaiki bot. Saya masih teringat ketika kunjungan awal kami sekeluarga sekitar 2011, harga tiketnya adalah RM 10 seorang dewasa dan kanak-kanak berumur 4 tahun ke atas RM 5 seorang dan percuma bagi kanak-kanak dibawah umur tersebut. 

Namun ketika kunjungan saya dan keluarga pada pertengahan tahun ini , harga tiket dinaikkan kepada RM 20 seorang dewasa dan RM 10 bagi kanak-kanak semua peringkat umur malah anak saya yang berumur 2 tahun juga dikenakan harga tiket tersebut. 

Tetapi harga tiket ini sebenarnya dinaikkan bagi membezakan harga tiket pengunjung tempatan dan pelancong asing. Jika anda menunjukan kad pengenalan anda (atau memang orang tempatan) harga tiket yang ditawarkan adalah separuh dari harga tersebut.

Menaiki bot yang berkuasakan bateri bagi jaminan tiada pencemaran minyak di sungai ini memang menyeronokkan kerana di sepanjang tebing sungai ini terdapat pelbagai tarikan yang diwujudkan. Laluan tebingnya di naik taraf menjadikannya kemas. 

Perjalanan bot sekitar 45 minit hingga 1 jam lebih bagi perjalanan pergi dan balik. 

Bangunan lama yang kalau suatu masa dahulu terbiar usang kini dicat semula dan ada yang dilukis pelbagai mural yang berkisahkan negeri ini. 

Jambatan-jambatan yang dulunya usang juga dinaiktaraf dan hiasan senibinanya diperbaharui. 

Pemilik-pemilik bangunan juga nampaknya membuat pelaburan dengan membuka cafe yang menghadap sungai. 

Kampung Morten juga dipulihara dengan sebaiknya demi menjadikan warisan kampung ini mampu menarik minat pelancong ke sini. 

Suasana malamnya amat menarik. Sepanjang dua hala tebing sungai ini dipasang lampu hiasan yang pelbagai corak. Anda boleh membaca catatan mengenai Sungai Melak di waktu malam di sini.KLIK

Malah Taman Lanun yang dahulunya adalah Stesen Bas lama menarik minat anda untuk singgah dan bersantai di sini sambil bermain beberapa permainan ala Fun Fair.

Untuk pengunjung yang menaiki bot ini dari Jeti River Cruise di Bandar Hilir boleh meletakkan kenderaan anda di lembangan sungai bersebelahan dengan Muzium Kapal. Malah jika anda sudah mempunyai tiket anda boleh menaiki bot di Muzium Kastam. 

Ramai yang tidak tahu sebenarnya tiket bot anda itu berguna untuk sepanjang hari. 

Saya difahamkan semasa pemandu bot kami berhenti untuk mengambil penumpang dibeberapa lokasi seperti hotel dan cafe yang terletak di Sungai Melaka ini. 

Caranya begitu mudah, lambaikan sahaja tiket anda di jeti-jeti yang ditetapkan jika ternampak bot melaluinya. 

Tiket bot juga boleh dibeli di kaunter hotel tertentu dan anda boleh menaikinya dari jeti hotel tersebut. Malah pelancong dari Singapore yang berbual dengan saya mengatakan dia sudah menaiki bot ini beberapa kali dalam hari tersebut untuk ke beberapa destinasi yang diinginkan.

Pemandu bot kami juga memaklumkan bahawa pada tahun 2013, perjalanan river cruise ini akan dipanjangkan sehingga ke Melaka Sentral dengan tambahan 1.5 km lagi. Ini menjadikan konsep "teksi air' akan dilancarkan sepenuhnya kelak. 

Berbalik kepada kunjungan kami sekeluarga, koleksi gambar yang saya rakamkan ini adalah koleksi gambar ketika kami menaiki bot ini sekitar Mac 2012. 


Bagi anak saya ini merupakan kali keempat baginya. Sudah resam kanak-kanak, mula-mula amat seronok tetapi setelah separuh perjalanan mulai bosan. 

Cuma pastikan keselamatan dijaga sepanjang tempoh perjalanan anda kelak terutamanya kepada anak-anak kecil kerana bimbang seronok melihat air akan terjatuh pula kebawah. 

Pemerhatian saya, walaupun jaket keselamatan ada disediakan tetapi pematuhan pemaikaian tidak begitu ketara dikalangan pelancong baik tempatan mahupun luar negara.

Jika anda mendapati bot yang anda naiki akan berselisih dengan bot yang lain dari arah yang bertentangan, pastikan anak-anak anda jauh dari tepian bot kerana gelombang alur air akan mengoyangkan bot anda. 

Malah ketika menghilir pemerhatian saya percikan air sungai juga mudah melepasi tepian bot. 

Sebaiknya anak-anak anda duduk di kerusi tengah yang terdapat di dalam bot. Bot biasanya boleh membawa sekitar 20 orang penumpang dalam satu-satu masa. 

Jika anda mendapati bot yang anda akan naiki terlalu padat dan ramai, tunggu sahaja giliran bot berikutnya kerana anda lebih selesa kelak.

Apapun bagi yang pertama kali menaiki khidmat bot ini, pengalamannya pasti berbeza dan lebih berbeza jika anda merasai waktu perjalanan yang berbeza iaitu siang dan di waktu malam. 


Jangan lepaskannya.

Tuesday, October 30, 2012

Catatan Perjalanan: Sungai Melaka di kala malam...

Catatan pertama mengenai Sungai Melaka jika anda membaca terlebih dahulu adalah berkaitan dengan sedikit latar dan sejarah ringkasnya sahaja besertakan gambar-gambar di beberapa lokasi yang sempat saya rakamkan dalam beberapa siri kunjungan di sana.  Klik SINI untuk catatan siri 1 mengenainya.

Untuk catatan kedua ini juga masih mengenai sungai ini tetapi saya memilih untuk berkongsikan gambar beberapa lokasi sewaktu malam melabuh tirainya. 

Seperti yang saya janjikan sepanjang 4.5 km sungai ini sememangnya amat menarik untuk diabadikan di dalam gambar kerana hiasan lampunya yang menaikkan seri malamnya. 

Jika anda bermula dari Jeti Taman Rempah, anda akan dapat melihat bagaimana bangunan lama diserikan cahaya lampu dan pertengahan jalan anda akan dapat melihat Taman Lanun yang menempatkan beberapa permainan seperti Eye Of Melaka.  

Cahaya yang dihasilkan amat memukau dan bagi pengemar fotografi pastinya akan terkinja-kinja untuk memasang tripod dan bermain low shutter bagi menangkap gambar yang menarik.

Tidak jauh daripada taman ini , diseberangnya adalah Kampung Morten yang sekali lagi akan menjadi persinggahan anda di sini. 

Menangkap gambar rumah-rumah tradisional yang dilimpahi cahaya dari setiap sudut samada depan, atas dan tepi pasti tidak akan dilepaskan. 

Menghilir lagi sungai ini anda akan saksikan permainan cahaya dan air terjun berhampiran Hotel Riverside (kalau tak salah saya) berirama lagu rancak. 

Meneruskan perjalanan anda akan berterusan disajikan lampu-lampu hiasan yang dipasang di bahagian belakang bangunan tanpa ada jarak yang terhenti. 

Pastinya bila tiba di Jeti River Cruise berhampiran dengan Muzium Kapal anda akan juga mendapati lampu-lampu hiasan dipasang berseberangan dengan sungai di hotel baru.

Apapun jika anda berhajat ke sana sebagai nasihat saya yang jurugambar hobi  amatur ini pastikan anda membawa tripod dan memakai kasut yang sesuai untuk menapak di sepanjang tebing sungai ini. 

Saya sekadar berkongsikan gambar-gambar ini dahulu sementara mencari koleksi gambar yang lain sekitar 2011.






Catatan Perjalanan: Sungai Melaka.. siri 1

Saya ingin menyambung catatan mengenai Negeri Melaka dan jika anda membaca siri Melaka ini, sebenarnya terdapat beberapa catatan terdahulu mengenai tempat-tempat menarik di negeri yang penuh bersejarah ini seperti Jonker Walk, Makam Hang Kasturi dan Hang Jebat, Lorong Harmoni, Masjid Kampung Keling, Masjid Kampung Hulu  dan juga Kampung Morten. 

Anda boleh membuat carian dengan label Melaka untuk membaca siri catatan ini. 

Kenapa saya memilih Melaka? Jawapan mudah kerana dalam setahun mesti saya ke sana lebih dari 5 kali dan akan menikmati perjalanan ke sana sini lebih dari 3 hari setiap kunjungan.


Kenapa? Rumah keluarga mertua di sana sekitar 5-10 minit sahaja perjalanan, maka bolehlah saya mengeksplorasi sepenuhnya Bandaraya Bersejarah ini.

Cuma selalunya saya akan pergi berseorangan kerana dah kalau nak ajak keluarga mertua, ipar duai hatta isteri sendiri mereka akan menolaknya kerana dah terlalu biasa untuk melawat mana-mana tempat di sini. 

Bayangkan jika anda beria-ria untuk ke Muzium yang melata tumbuhnya, maka mereka akan mengatakan sejarahnya tetap sama dari dahulu.

Atau anda mahu pula ke Stadhuys, Jonker Walk ataupun lorong-lorong kecil yang mungkin bagi kita amat unik dan menarik tetapi sudah terbiasa kepada mereka.  

Jadi selalunya 'lone ranger' tetapi cukup seronok sebab saya sepenuhnya akan lebih lama di sesuatu tempat. Lebih berpeluang untuk santai ke sana sini.

Untuk siri ini, saya akan berkongsikan mengenai Sungai Melaka. Untuk siri catatan ini rasanya saya akan buat dalam 3 siri berkaitan iaitu pertama sejarah sungai ini, kemudian pemandangan di waktu malam dan akhir sekali mengenai Melaka River Cruise.


Sungai Melaka berukuran 40 km bermula dari Muara Selat Melaka hingga ke Kg. Gadek (persimpangan Sungai Batang Tampin dengan Sungai Batang Melaka. 

Terdapat beberapa anak sungai utama yang masuk ke Sungai Melaka iaitu Sungai Durian Tunggal dan Sungai Alor Gajah.

Terdapat 5 strukur pintu air di sepanjang Sungai Melaka. Struktur pertama di km1.0 iaitu barrage yang berfungsi mengawal air dengan kedalaman tertentu yang bertujuan membolehkan river cruise beroperasi dan kawalan banjir. 

Jika dahulu tiada strukur air utama ini terbina dan pasang surut sungai ini mengikut pasang surut laut dan ini menyebabkan ianya tidak sesuai untuk penggunaan bot dan sebagainya. 

Sungai Melaka mengikut sejarah merupakan perlabuhan yang terpenting seawal 1400 lagi.

Di sinilah letaknya pusat perdagangan utama bagi wilayah timur. Ianya turut menjadi kawasan perbandaran utama yang menarik minat bukan hanya orang tempatan tetapi menjangkau benua seperti Bristih, Belanda, Portugal, China, India dan dari Kepulauan Melayu untuk berdagang.

Ini menjadikan kawasan sekitarnya berkembang pesat bukan sekadar pertumbuhan penempatan tetapi juga pengembangan pelbagai budaya dan resam hidup serta agama. 

Melalui tebing sungai ini anda akan menemui peninggalan lama yang masih terjaga rapi seperti perkampungan Melayu di Kampung Morten yang turut mendapat sentuhan peninggalan bugis, minang dan melayu malah dikatakan pendagang arab juga telah berada di sini dengan penemuan syiling lama di dasar dan tebing kampung ini. 

Menyelusuri hilirnya pula akan menemukan anda dengan penempatan China dan India malah kawasan Jonker Walk dijaga rapi sejak berabab yang lalu sebagai bukti penempatan kaum China yang mewujudkan kaum peranakan baba dan nyonya hasil percampuran budaya tempatan. 

Begitu juga dengan penempatan India dengan masih teguh berdiri Litle India yang menjadi saksi kepada penempatan silam mereka sehingga kini serta kewujudan masjid lama yang sinonim dengan kaum mualaf India iaitu Masjid Kampung Keling berdekatan denganya. 

Lebih ke muara sungai ini anda akan mendapati bagaimana kuasa Eropah menapak dan mengungguli kawasan pusat perdagangan ini dengan peninggalan Kota A Famosa dari Portugal, Bangunan Stadhuy oleh Belanda dan Bristih masih kekal terjaga biarpun pembangunan pesat berlangsung di kawasan sekitarnya.  

Kerajaan Melaka mengambil langkah tepat biarpun berbelanja besar bagi membangunkan kawasan pinggir sungai ini yang dahulu teruk tercemar dan tiada aktiviti dan kini ianya berubah 180 darjah berbeza dan memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk tempatan tetapi juga kepada industri perlancongan.

Sepanjang 4.5 km panjang sungai ini dari muaranya dibangunkan semula dengan pelbagai kemudahan. 

Perkhidmatan bot menyelusuri sungai ini menghidup aktiviti sepanjang tebingnya samada bermula dari Taman Rempah ataupun dari Muara Sungai Melaka bersebelahan Muzium Kapal.

Persisir tebing sungai dibina laluan pejalan kaki yang mesra pengguna dan di kala malam suasananya amat menarik untuk dikunjungi dengan lampu-lampu hiasan dipasang. 

Bangunan lama yang usang ketika dahulu kini berubah wajah dengan wajah baru menghadap ke sungai. Ada bangunan yang dilukis mural besar bertemakan sejarah kegemilangan Melaka dari dahulu sehingga kini. 

Jika anda ingin ke sini, saya mencadangkan anda perkhidmatan bot untuk menyelusuri sungai ini ataupun menggunakan waktu petang untuk berjoging di tebingnya. 

Jika bosan dilaluan tebing kanan anda boleh melintas ke seberangnya kerana terdapat beberapa jambatan pejalan kaki yang disediakan. 

Jika sekadar ingin melancong, pastikan anda datang pada waktu siang dan malam kerana suasananya amat berbeza sama sekali untuk anda lepaskan. 

Terdapat beberapa persinggahan menarik yang dapat dikunjungI dengan percuma.

Saya akan berkongsikan pemandangan malam sekitar tebing sungai ini di catatan berikutnya. 

Catatan Perjalanan: Kampung Morten siri 2

Catatan saya yang pertama mengenai Kampung Morten adalah berkisar pemandangan di waktu malam dan dijanjikan jika ada peluang kelak, saya akan merakamkannya di waktu siang kelak. 

Alhamdulillah, peluang tersebut sampai juga pada minggu yang lalu ketika balik beraya Haji. 

Apa perbezaannya? Panas!!!! Sangat panas... 

Itu dari segi cuaca dan persekitaran tetapi jika dari segi suasana, diwaktu siang kampung ini tetap aman dan terasa tenang biarpun ketika kunjungan saya sedikit meriah dengan persiapan menyambut Hari Raya Korban. 

Kelihatan dibeberapa buah rumah, kaum ibu sibuk memasak juadah dan cubaan saya untuk merakamkan gambar mereka sedikit riuh kerana malu. 

Maklumlah bersantai sambil memasak dan tiba-tiba kita pula terjah dari tepi jalan. 

Kelihatan juga cucu-cucu yang kecil memilih untuk berada di ruang rehat samada di depan rumah ataupun dibahagian redup kerana amat panas cuacanya sementelahan lagi kunjungan saya tepat pada pukul 1.00 tengahari di kala azan berkumandang dari sebuah madrasah di kampung ini. 

Kelihatan juga beberapa pelancong asing yang sedikit hampa kerana tidak dapat memasuki Villa Sentosa yang merupakan muzium hidup Kampung ini kerana ditutup kerana ahli keluarga mereka sibuk menyiapkan juadah hari raya di dapur. 

Apapun, Kampung ini masih tetap menarik untuk anda kunjungi mungkin sebelah petang adalah waktu terbaik untuk ke sini bagi mengelakkan panas. 

Saya sempat bersembang dengan salah seorang pak cik di kaki tangganya tetapi terlupa sungguh hendak bertanya nama dan kisahnya sekitar pembukaan kampung ini. 

Beliau dilahirkan di Kampung ini sebelum berpindah ke Kampung Jawa yang berdekatan sebelum kembali berpindah ke sini semula ketika zaman kanak-kanaknya.

Katanya masyarakat di kampung ini terdiri dari sekitar 200 buah rumah dan kebanyakkan penduduk asal telah tiada dan masih didiami oleh waris masing-masing. 

Sebelum tahun 2000, kampung ini mengalami masalah banjir yang selalu terjadi kerana setara paras air Sungai Melaka dan kawasan kampung. Malah jika berlaku air pasang dan hujan serentak maka akan melimpahlah ke kawasan halaman rumah. 

Peristiwa banjir besar yang berlaku sekitar tahun penghujung 1990 an menjadi yang terburuk dan sempat ditunjukan paras air didinding rumahnya yang melimpah.

Mujur Kerajaan Melaka ketika itu sedang mengambilalih kawasan kampung ini dibawah Eknamen Pemuliharan dan Pemungarah 1988 di mana dibangunkan untuk tujuan warisan. 

Serentak dengan itu kawasan Sungai Melaka. Pam air dipasang untuk tujuan mengalirkan sisa kumbahan terawat sebelum ke Sungai Melaka.

Waktu malam, suasananya berubah dengan koleksi lampu hiasan yang menaikserikan kampung ini diwaktu malam.  
 

Berkunjunglah ke sana dan anda pasti tidak akan rugi melihat khazanah Perkampungan Melayu ini.. 

Monday, October 29, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Buah Pisang Kaki


Pisang Kaki jika dibaca dan disebut mungkin akan dibayangkan sejenis pisang yang bertandan sepertimana yang biasa dilihat dan dimakan seperti pisang emas, montel, awak dan sebagainya.


Namun jika anda ke Cameron Highlands dan dipelawa membeli pisang kaki, jangan terperanjat jika ianya berlawanan dengan apa yang anda bayangkan tadi. 

Berbentuk bulat buahnya dengan warna kuning ataupun oren. 

Pokoknya pula adalah seperti pokok buah-buahan yang biasa tanpa perdu, jantung dan berdaun lebar. Jadi apakah sebenarnya pisang kaki ini?

Dari laman wikipedia,pisang kaki dikenali juga sebagai kesmak atau kesemak yakni sejenis spesis tumbuhan dalam genus Diospyros dalam famili kayu hitam atau Ebenaceae. 

Perkataan Diospros dalam bahasa Yunani Kuno bererti buah dewa dan saya pernah terbaca mengatakan ianya dianggap sebagai buah tuhan oleh sebilangan manusia. Entahlah ...   

Seperti yang saya katakan tadi jika anda ditawarkan buah pisang kaki dan melihat ianya berwarna oren kemerahan berdiameter 1.5-9 cm, ianya memang buah pisang kaki. 

Tips mudah untuk anda yang ingin membeli buah pisang kaki, buahnya yang masak dan sedap dimakan adalah berwarna oren sepenuhnya. 

Jika anda membeli bewarna  kuning gambar yang saya rakamkan ini, pastinya berasa amat kelat. 

Buah yang masak berasa manis dengan terdapat 3 atau empat pangsa di dalamnya. Lebih sedap kalau anda meletakkan di dalam peti sejuk seperti buah ciku sebelum dimakan.  

Buahnya kaya dengan kandungan glukosa, dengan profil protein yang seimbang serta memiliki pelbagai kegunaan perubatan dan kimia. 

Buah pisang kaki tidak dianggap sebagai beri biasa namun sebenarnya ianya merupakan jenis beri sebenar. 

Di Cameron Highlands, dijual sekitar RM0.80 hingga 1.00 sebiji dan jika anda ke pasaraya di bawah sana, mudah untuk membeli buah pisang kaki yang telah diimport dan sedap dimakan walaupun berwarna kuning. 

Cuma pada dua tahun yang lalu, limpahan pisang kaki di sebuah pasaraya yang diimport dari Singapore sebenarnya adalah dari Israel asal usul pengeluarannya sebelum transit di Singapore. 

Selamat berpisang kaki... 

Tips Melawat Cameron Highlands; Bunga Dahlia siri 2

Saya ingin menyambung sedikit Bunga Dahlia untuk siri kedua. 

Dalam catatan siri  pertama saya berkongsikan sedikit info latar mengenai asal-usul bunga ini yang dipetik dari laman web yang lain. 

Untuk siri kedua ini pula rasanya sekadar nak berkongsikan gambarnya sahaja. 

Saya merakamkan gambar-gambar bunga dahlia ini di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah yang terletak di Tanah Rata. 

Menarik juga koleksi bunga dahlia mereka ini yang di tanam sebaris panjang dengan beberapa jenis bunga dahlia. 

Kelihatan bunga ini saja dibiarkan meninggi dan merimbun berbanding di tempat lain yang dipangkas rendah. Mungkin kerana mereka ingin membentuk pagar semulajadi menggunakan bunga ini bagi memisahkan pandangan antara tempat meletak kereta dan kelas di tingkat bawah. 

Terdapat bunga dahlia berwarna oren, kuning, putih, unggu dan merah. Jadi saya biarkan gambar-gambar ini menceritakan koleksi bunga dahlia di sekolah ini. 






Sambil-sambil melihat bunga dahlia ini, saya ingin berkongsikan pendapat sesetengah pihak dari sudut peribadi penggemarnya yakni ada mengatakan bunga dahlia ini melambangkan pengemarnya akan seringkali berubah-ubah pendirian dan sering memberikan jawapan yang tidak tetap dalam sesuatau perhubungan.

Manakala ada pendapat lain mengatakan dahlia melambangkan keanggunan, harga diri, sesuatu yang tidak dapat diramalkan , penolakan dan tidak stabil. 

Apapun ini hanya pendapat sesetengah orang sahaja tanpa bukti saintifik yang konkrit. 







Harapan saya koleksi dahlia ini boleh membantu anda untuk mencari koleksi tanaman ini di sini. Namun jika anda ingin membeli bunga ini, terdapat banyak pilihan kerana anak pokok bunga ini banyak dijual di sekitar daerah ini. 

Anda hanya perlu mengunjungi mana-mana nurseri jualan semaian dan bertanyakan anak pokok bunga ini. Harganya sekitar RM 5 ke atas setiap pasu mengikut saiz dan jenis. 

Selamat berdahlia....