Menutup tiga catatan mengenai Sungai Melaka seperti yang saya janjikan adalah berkaitan dengan River Cruise.
Melaka River Cruise ini menyediakan perkhidmatan bot menyelusuri sepanjang Sungai Melaka samada dari Taman Rempah ke muaranya ataupun sebaliknya. Perjalanan ini sejauh 4.5 km sehala ataupun 9 km pergi balik.
Jika anda menaiki dari Taman Rempah, anda boleh meletakkan kenderaan anda secara percuma di sini. Juga terdapat Monorail Sungai Melaka yang didirikan bersebelahan dengan Pusat Jualan dan Jeti Taman Rempah ini.
Saya belum berkesempatan menaiki monorail ini jadi tidak dapat berkongsikan pengalamannya di sini. Insyallah suatu masa nanti.
Dari sini anda perlu membeli tiket untuk menaiki bot. Saya masih teringat ketika kunjungan awal kami sekeluarga sekitar 2011, harga tiketnya adalah RM 10 seorang dewasa dan kanak-kanak berumur 4 tahun ke atas RM 5 seorang dan percuma bagi kanak-kanak dibawah umur tersebut.
Namun ketika kunjungan saya dan keluarga pada pertengahan tahun ini , harga tiket dinaikkan kepada RM 20 seorang dewasa dan RM 10 bagi kanak-kanak semua peringkat umur malah anak saya yang berumur 2 tahun juga dikenakan harga tiket tersebut.
Tetapi harga tiket ini sebenarnya dinaikkan bagi membezakan harga tiket pengunjung tempatan dan pelancong asing. Jika anda menunjukan kad pengenalan anda (atau memang orang tempatan) harga tiket yang ditawarkan adalah separuh dari harga tersebut.
Menaiki bot yang berkuasakan bateri bagi jaminan tiada pencemaran minyak di sungai ini memang menyeronokkan kerana di sepanjang tebing sungai ini terdapat pelbagai tarikan yang diwujudkan. Laluan tebingnya di naik taraf menjadikannya kemas.
Perjalanan bot sekitar 45 minit hingga 1 jam lebih bagi perjalanan pergi dan balik.
Bangunan lama yang kalau suatu masa dahulu terbiar usang kini dicat semula dan ada yang dilukis pelbagai mural yang berkisahkan negeri ini.
Jambatan-jambatan yang dulunya usang juga dinaiktaraf dan hiasan senibinanya diperbaharui.
Pemilik-pemilik bangunan juga nampaknya membuat pelaburan dengan membuka cafe yang menghadap sungai.
Kampung Morten juga dipulihara dengan sebaiknya demi menjadikan warisan kampung ini mampu menarik minat pelancong ke sini.
Suasana malamnya amat menarik. Sepanjang dua hala tebing sungai ini dipasang lampu hiasan yang pelbagai corak. Anda boleh membaca catatan mengenai Sungai Melak di waktu malam di sini.KLIK
Malah Taman Lanun yang dahulunya adalah Stesen Bas lama menarik minat anda untuk singgah dan bersantai di sini sambil bermain beberapa permainan ala Fun Fair.
Untuk pengunjung yang menaiki bot ini dari Jeti River Cruise di Bandar Hilir boleh meletakkan kenderaan anda di lembangan sungai bersebelahan dengan Muzium Kapal. Malah jika anda sudah mempunyai tiket anda boleh menaiki bot di Muzium Kastam.
Saya difahamkan semasa pemandu bot kami berhenti untuk mengambil penumpang dibeberapa lokasi seperti hotel dan cafe yang terletak di Sungai Melaka ini.
Caranya begitu mudah, lambaikan sahaja tiket anda di jeti-jeti yang ditetapkan jika ternampak bot melaluinya.
Tiket bot juga boleh dibeli di kaunter hotel tertentu dan anda boleh menaikinya dari jeti hotel tersebut. Malah pelancong dari Singapore yang berbual dengan saya mengatakan dia sudah menaiki bot ini beberapa kali dalam hari tersebut untuk ke beberapa destinasi yang diinginkan.
Pemandu bot kami juga memaklumkan bahawa pada tahun 2013, perjalanan river cruise ini akan dipanjangkan sehingga ke Melaka Sentral dengan tambahan 1.5 km lagi. Ini menjadikan konsep "teksi air' akan dilancarkan sepenuhnya kelak.
Berbalik kepada kunjungan kami sekeluarga, koleksi gambar yang saya rakamkan ini adalah koleksi gambar ketika kami menaiki bot ini sekitar Mac 2012.
Bagi anak saya ini merupakan kali keempat baginya. Sudah resam kanak-kanak, mula-mula amat seronok tetapi setelah separuh perjalanan mulai bosan.
Cuma pastikan keselamatan dijaga sepanjang tempoh perjalanan anda kelak terutamanya kepada anak-anak kecil kerana bimbang seronok melihat air akan terjatuh pula kebawah.
Pemerhatian saya, walaupun jaket keselamatan ada disediakan tetapi pematuhan pemaikaian tidak begitu ketara dikalangan pelancong baik tempatan mahupun luar negara.
Jika anda mendapati bot yang anda naiki akan berselisih dengan bot yang lain dari arah yang bertentangan, pastikan anak-anak anda jauh dari tepian bot kerana gelombang alur air akan mengoyangkan bot anda.
Malah ketika menghilir pemerhatian saya percikan air sungai juga mudah melepasi tepian bot.
Sebaiknya anak-anak anda duduk di kerusi tengah yang terdapat di dalam bot. Bot biasanya boleh membawa sekitar 20 orang penumpang dalam satu-satu masa.
Jika anda mendapati bot yang anda akan naiki terlalu padat dan ramai, tunggu sahaja giliran bot berikutnya kerana anda lebih selesa kelak.
Apapun bagi yang pertama kali menaiki khidmat bot ini, pengalamannya pasti berbeza dan lebih berbeza jika anda merasai waktu perjalanan yang berbeza iaitu siang dan di waktu malam.
Jangan lepaskannya.
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.