Sunday, August 12, 2012

Peristiwa : Mencari Lailatul Qadar di Mekah

Seperti biasa, Kosmo senantiasa membawakan kisah yang begitu menarik untuk dikongsikan khasnya di bahagian Rencana Utama. Kali ini memanjangkan kisah mencari lailatul Qadar di Mekah .
PENGERUSI Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Daud Che Ngah tidak asing lagi dengan bumi Mekah, Arab Saudi.

Dia berpengalaman selama berpuluh tahun menguruskan ribuan jemaah umrah dan haji dari negara ini. Malah, beliau sempat menyambut Hari Raya Aidilfitri di sana pada tahun 2001.

Tutur Mohd. Daud, suasana menyambut 10 malam terakhir bulan Ramadan di Mekah lebih meriah berbanding sambutan Aidilfitri sendiri.

Ini kerana umat Islam dari seluruh dunia mengejar malam Lailatul Qadar yang ganjaran pahalanya lebih baik daripada 1,000 bulan. Lailatul Qadar merupakan satu malam daripada malam-malam bulan Ramadan.

Rasulullah S.A.W. pernah bersabda: "Sesiapa yang berdiri (solat) pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap pahala daripada Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu." Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

SELAIN musim haji, kota Mekah yang penuh berkat ini gemar
dikunjungi pada bulan Ramadan.MASJIDIL HARAM
akan dipenuhi umat Islam sepanjang malam
untuk bertarawih dan qiamulail.

Selain itu, baginda juga pernah menceritakan malam al-Qadar adalah malam yang indah, penuh kelembutan, cerah, tidak panas dan tidak juga dingin. Pada keesokan harinya pula sinar matahari kelihatan lemah kemerah-merahan.

Sambut raya:

"Biasanya 10 malam terakhir Ramadan sehingga 1 Syawal merupakan cuti umum di Arab Saudi bertujuan menggalakkan umat Islam beribadat dengan bersungguh-sungguh.

"Malah, ada orang Arab yang menyewa bilik hotel selama sebulan khusus untuk tujuan itu," katanya kepada Jurnal.

Mohd. Daud berkata, antara amalan yang dilakukan pada masa itu ialah solat wajib disertai ibadat solat sunat tarawih di Masjidil Haram atau masjid-masjid berhampiran.

"Solat tarawih dilakukan sebanyak 20 rakaat bermula pukul 9 malam dan berakhir dua jam kemudian. Tetapi kebiasaan ramai yang menunggu untuk melakukan solat sunat tahajud secara berjemaah.

"Mereka akan membaca al-Quran atau iktikaf di masjid. Keadaannya seperti solat Jumaat," jelasnya.

Mohd. Daud memberitahu, soal makanan untuk berbuka tidak menjadi satu masalah kerana ramai pihak yang mendermakan kurma, manisan serta air zamzam di sekitar masjid di Mekah dan Madinah.

"Makanan sentiasa mencukupi tetapi sebenarnya makanan tidak menjadi isu kerana semua jemaah menumpukan pada ibadat wajib dan sunat semata-mata," ujarnya.

LEBIH sejuta umat Islam menunaikan umrah pada bulan Ramadan bagi merebut ganjaran pahala berganda.

Bercerita mengenai sambutan hari raya di Kota Suci itu, solat sunat Aidilfitri bermula lebih kurang pukul 7 pagi. Waktu Subuh di Rumah Allah itu ialah sekitar pukul 5 pagi.

"Mereka mengadakan solat itu lebih awal bagi mengelakkan bahang panas matahari.

Secara praktikal tidak banyak bezanya kerana sebaik sahaja solat sunat selesai umat Islam akan bersalam-salam dan berpelukan antara satu sama lain.

"Kemudian terdapat sesi jamuan makanan dan minuman seperti manisan, karipap dan air zamzam," katanya.

Amalan menziarahi saudara-mara akan dilakukan selepas solat.

Keesokan harinya, sebahagian besar penduduk Arab Saudi akan berpuasa enam.

"Bagi rakyat negara ini yang berkesempatan menyambut Aidilfitri di Mekah, pihak Andalusia akan menyediakan nasi himpit dan sate yang diterbangkan khas dari Malaysia.

"Selain itu, kuih raya seperti tart nanas, semperit dan baulu turut disediakan bagi mengubat kerinduan terhadap makanan tradisi seperti rendang daging, ketupat dan lemang," katanya.

Jemaah Malaysia juga boleh menikmati sajian Arab seperti nasi mandy pada pagi Aidilfitri.
Bayar zakat

MASJIDIL HARAM akan dipenuhi umat Islam
sepanjang malam untuk bertarawih dan qiamulail.
Seorang lagi pengendali syarikat yang menawarkan pakej umrah dan haji, Abdul Halim Abdullah memberitahu, kebanyakan jemaah umrah mengambil kesempatan menunaikan zakat fitrah di Mekah.

"Mereka akan memberikan terus kepada orang miskin yang ada di sana berbentuk secupak beras. Soal itu tidak menjadi masalah kerana banyak pekedai yang menawarkan pembelian berbentuk sedemikian," katanya.
 
Malah, kesempatan bertemu dengan umat Islam seluruh dunia satu peluang yang baik untuk berkenal-kenalan dan bermesra antara satu sama lain.

"Pelbagai cerita yang kita dengar selain maklumat terkini umat Islam yang menderita di seluruh dunia seperti di Afghanistan, Syria dan Myanmar," ujarnya.

Bagi Mariam Abdul pula, kesempatan menunaikan umrah pada tahun 2010 lalu selain menyambut Aidilfitri pasti tidak akan dilupakan.

"Cukup selesa dengan tumpuan semata-mata untuk mengerjakan ibadat. Selain itu, peluang untuk memperoleh pahala dengan bersedekah cukup banyak.

"Kebiasaannya saya akan membeli sejadah untuk disedekahkan kepada jemaah yang bersolat di jalan raya," beritahu Mariam.

Ujarnya, selain itu ramai yang membeli al-Quran untuk diwakaf di beberapa buah masjid.

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.