Tuesday, June 19, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: KHM Strawberry Farm

Dalam berkongsi tip ke Cameron Highlands, jika anda perasan saya mencatatkan beberapa post mengenai Kampung Taman Sedia baik mengenai homestay, chalet,  kebun strawberry ataupun sejarahnya.

Dalam menulis catatan kisahnya saya sebenarnya amat menyokong dan mengikuti rapat mengenai perkembangan ekonomi di kawasan kampung ini yang merupakan pekampungan melayu utama di sini biarpun hanya seorang dua pemilik dan penghuninya yang saya kenal sehingga kini.

Namun dalam seronok menulis catatan mengenainya saya tersedar rupanya terlepas pandang untuk menulis catatan mengenai KHM Strawbery Farm yang sebenarnya merupakan destinasi pertama saya mengenali buah strawberry dan juga produknya.

Jika diimbas 6 tahun yang lalu, di sinilah saya singgah dan menikmati strawberry baik tanamannya, sistem fertigasinya, produk hiliran dan sebagainya. 

Mungkin boleh saya katakan berdasarkan pengamatan saya, KHM ataupun Khairani Haji Mohamad merupakan antara pelopor tanaman strawberry bagi kalangan bumiputera di Kampung Taman Sedia.

Kebun strawberry beliau dipahamkan merata letaknya dikampung ini. Malah pusat pelancongan 'Agro'nya cukup mendapat sambutan hangat untuk disingahi sambil melihat tanaman strawberry dan membeli produk yang dihasilkan sendiri.

Tidak cukup dengan itu saya masih ingat bagaimana rakan-rakan saya dari bawah cukup mengemari aiskrim strawberry dan kalaulah tidak salah saya pada 6 tahun yang lalu harganya hanya sekitar RM 1.00 secawan dan kini sekitar RM 2.00 secawan beserta sirap top-up.

Kebun strawberry ini diberikan jolokan KEBUN CONTOH oleh Jabatan Pertanian dan mendapat pengiktirafan SLAM dan sering mendapat kunjungan ramai pelawat.

Perkembangan contoh sebegini akhirnya mendapat ikutan penduduk kampung yang lain yang kini juga mula mengiatkan aktiviti ekonomi mereka melalui konsep Taman Agro.

Apa yang anda boleh perolehi di sini? Pertama tentunya tanaman strawberrynya yang dibangunkan dengan teknologi fertigasi sepenuhnya.

Keduanya sambil melihat strawberry, anda boleh menikmati menu berasaskan tanaman ini seperti jus strawberry, aiskrim strawberry dan menikmati set scone dengan harga RM 14 bagi dua orang yang boleh saya katakan amat berbaloi.

Untuk dibawa pulang pastinya produk hiliran seperti kordial strawberry, buah strawberry segar yang baru dituai, strawbery kering, sirap 'topping' strawberry, jam strawberry serta acar strawberry yang sedap dimakan dengan nasi.

Juga tidak ketinggalan koleksi gambar bersama dengan tanaman strawberry untuk menjadi kenang-kenangan. Juga sebagai bonus anda boleh melihat sendiri pohon anggur yang sudah berusia lebih sedekad dengan buahnya. 

2 comments:

  1. saya ingin mengetahui sekiranya khm strawberry farm mengambil pelajar universiti untuk program praktikal

    ReplyDelete
  2. saya rasa terbaiknya anda menghubungi mereka untuk maklumat yang lebih lanjut...

    ReplyDelete

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.