Friday, December 23, 2011

Dinasti Komunis Korea Utara...

Korea Utara memang sebuah negara yang unik dan tersendiri... Uniknya selepas perang saudara yang memisahkan antara Korea Selatan dan Korea Utara sehingga kini masih bertunjangkan dua cerita yang berbeza. Kadang kala sukar untuk mendekati dan menikmati kisah dari Korea Utara samada  cerita yangsebenar ataupun propaganda. 


Berbeza dengan Korea Selatan yang begitu dekat dengan diri kita melalui kisah dramanya, muzik K Pop dan juga gajet yang berteknologi tinggi. 


Hanya menjadi pertanyaan dalam diri aku, kemana arah Korea Utara selepas kematian Jong-IL ini . Adakah diteruskan oleh anakya ataupun berubah menjadi satu lagi Korea Selatan yang dekat dengan masyarakat dunia... 


Apapun , itu negara mereka..kita sekadar ambik tahu dan bukannya ambik alih !!!! 


Ini petikan dan lanjutan dari kerja yang bagus oleh wartawan Kosmo... aku beli dan baca hari-hari dan aku klik online jugak sebab nak simpan artikel mereka dalam rencana utama untuk simpanan dan berkongsi dengan pembaca selagi ada mrkumaiblospot ini.. bukan niat ciplak ... 







SUASANA sedih menyelubungi Korea Utara. Warga tempatan di Pyongyang tanpa mengira latar belakang dan peringkat umur menangis teresak-esak meratapi kematian pemimpin tertinggi negara mereka, Kim Jong-il.
Ratapan kesedihan itu turut terpancar pada wajah seorang pembaca berita di sebuah stesen televisyen Korea Utara. Sewaktu membaca berita mengenai kematian Jong-il, 69, suaranya bergetar dan tersekat-sekat kerana menahan sebak.
Media rasmi Korea Utara mengumumkan Jong-il meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke luar bandar Pyongyang dengan menaiki kereta api akibat serangan jantung.
Pemergian Jong-il merupakan satu kehilangan terbesar kepada warga Korea Utara. "Beliau seorang pemimpin yang sentiasa bertungkus-lumus dalam memastikan rakyatnya gembira.
"Saya menyifatkan Jong-il seorang pemimpin tegar dalam memastikan Korea Utara terus maju setaraf dengan negara-negara maju yang lain," jelas pensyarah Revolusi Sejarah Muzium Korea, Pyongyang, Ri Ho II mengenai sifat pemimpin kesayangannya itu.
Berita tentang tahap kesihatan Jong-il yang tidak memuaskan mula tersebar sejak tiga tahun lalu. Beliau bukan saja lemah akibat serangan angin ahmar malah turut didiagnosis menghidap kanser pankreas dan diabetes.
Tahap kesihatan Jong-il telah menimbulkan persoalan mengenai siapa yang bakal menggantikan kedudukannya sekali gus menguasai tentera dan program senjata negara itu. Pada bulan Oktober tahun lalu, Jong-il melakukan peralihan kuasa dengan melantik anak bongsunya, Kim Jong-un, 27, untuk menggantikan tempatnya.
Pemimpin yang mementingkan kesatuan rakyat melalui ideologi komunis dan fahaman Juche itu menyifatkan proses menamakan pewaris sementara dia masih hidup amat penting bagi mengelakkan krisis perebutan kuasa pada kemudian hari.
Kuasa diktator
Menyorot struktur pemerintahan di Korea Utara, Jong-il memikul tanggungjawab sebagai pemimpin pada tahun 1994, selepas bapanya, Kim ll-sung meninggal dunia pada usia 82 tahun. Sejak itu, Jong-il memerintah negara yang mempunyai 24 juta penduduk itu.
Pengarang Diplomatik agensi berita The Guardian, Julian Borger pernah menyatakan peralihan kuasa diktator menerusi tiga generasi merupakan yang pertama kali berlaku dalam sejarah moden.


GAMBAR fail pengasas Korea Utara, Kim Il-sung (tengah), isteri pertamanya, Kim Jong-suk dan anak lelaki mereka, Jong-il yang dipamerkan di Dewan Penyatuan, Sekolah Tinggi Sains Barat Seoul, Seoul.




Jong-il dilahirkan di sebuah kem tentera rahsia di Gunung Baekdu, Jepun Korea pada 16 Februari 1942.
Jong-il mendapat pendidikan di Sekolah Rendah No.4 dan Sekolah Tengah Tinggi No.1 di Pyongyang. Sepanjang sesi persekolahan, Jong-il aktif melibatkan diri dalam bidang politik. Antaranya Persatuan Kanak-kanak dan Liga Demokratik Belia (DYL).
Sebaik menamatkan persekolahan peringkat menengah, peminat sukan bola keranjang itu melanjutkan pengajian pendidikan bahasa Inggeris di Universiti Malta, Malta.
Sekitar tahun 1957, beliau dilantik menjadi Pengerusi DYL untuk peringkat sekolah menengah. Pada ketika itu, Jong-il menyarankan program antipuak dan menerapkan pendidikan ideologi dalam kalangan rakan-rakan sekelasnya.
Sering dikaitkan sebagai salah seorang pemimpin paling kuat menindas rakyatnya, Jong-il selalu menampilkan sosok yang ganjil. Bertubuh kecil tetapi sangat berkaliber dan karakternya dengan gaya rambut kembang telah dipersenda oleh sesetengah negara Barat.
"Dia seorang yang misteri, saya rasa kerana gayanya. Misteri adalah sumber pengaruh dan kuasa. Dia telah memastikan sesuatu perkara berada dalam ketidakpastian," kata pengarah Pusat Pengajian Isu-isu Global, Universiti Georgia dan kerap melawat Korea Utara, Han S. Park.
Namun, rakyat Republik Rakyat Demokratik Korea Utara sangat menghormati Jong-il. Bapanya, Kim Il-sung ialah pengasas Korea Utara yang mendapat sokongan Soviet selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua.
Jong-il masih seorang kanak-kanak apabila komunis Korea Utara menyerang Korea Selatan yang mendapat sokongan Amerika. Tindakan itu mencetuskan Perang Korea pada tahun 1950.


JONG-IL memakai gelaran Dear Leader menggunakan acuan yang sama dengan bapanya yang dikenali sebagai Great Leader.




Selepas perang tamat, Jong-il mengikut falsafah yang digunapakai oleh ayahnya iaitu Juche atau pergantungan pada diri sendiri, asas pada sifat bersederhana Korea Utara. Kedua-dua bahagian Korea tidak pernah menandatangani perjanjian damai dan kekal berperang secara teknikal dengan dipisahkan oleh zon bebas tentera.
Korea Utara mengangkat tempat lahir rasmi Jong-il adalah lokasi paling suci dan tertinggi, Gunung Paektu. Puncak gunung itu berada di bahagian utara bersempadan dengan Manchuria.
Melarikan diri
Legenda rakyat Korea mengatakan bangsa tersebut lahir di situ lebih 5,000 tahun lalu. Bagaimanapun, para pengkaji lebih bersifat objektif mengenai tempat kelahiran pemimpin itu iaitu di wilayah Timur Jauh atau Soviet Union.
Bapa Jong-il pernah melarikan diri ke sana apabila Jepun memburu Kim Il-sung yang banyak terlibat dengan aktiviti-aktiviti gerila di wilayah jajahan Jepun, Korea.
Keluarga Jong-il pulang ke bahagian utara Semenanjung selepas Jepun menyerah kalah pada Perang Dunia Kedua dan diktator Soviet, Josef Stalin melantik Kim Il-sung menjadi Ketua Republik Rakyat Demokratik Korea.
Adik lelaki Jong-il mati lemas ketika kanak-kanak lagi manakala ibunya meninggal dunia ketika dia berusia 7 tahun. Sebaik Perang Korea meletus, dia dihantar ke Manchuria dan kembali semula selepas tiga tahun apabila perang tamat.
Biarpun berdepan dengan segala kesusahan, Jong-il hidup mewah dan mendapat pendidikan sebagai anak lelaki pertama diktator.
"Pintu-pintu peluang terbuka luas untuknya sejak dari usia muda lagi," kata profesor sains politik, Universiti Hawaii yang pakar dalam kerajaan Pyongyang, Dae-ook Suh.
Sedikit demi sedikit, Jong-il dididik untuk menjadi pihak atasan dan membuat kemunculan di tempat awam yang dipenuhi dengan sorakan orang ramai.
Pada tahun 1980, Kim Il-sung secara rasmi melantik anaknya sebagai pewaris yang sah. Dia diberi posisi paling kanan di Sekretariat Parti dan Suruhanjaya Tentera, Politburo.


BERATUS-RATUS rakyat Korea berhimpun di hadapan arca gergasi Kim Il-sung di Pyongyang kerana meratapi kematian pemimpin mereka, Jong-il.




Jong-il memakai gelaran Dear Leader dan pihak pemerintah mula mencipta personaliti sucinya yang menggunakan acuan sama dengan bapanya yang dikenali sebagai Great Leader.
Atur negara
Tiga tahun selepas Kim Il-sung mati secara mengejut akibat serangan jantung pada usia 82 tahun, ramai pemerhati luar meramalkan Korea Utara akan tumbang kesan daripada kehilangan tersebut.
Para penganalisis merumuskan bahawa Jong-il tidak begitu pandai mengaturkan pemerintahan.
"Saya tidak mengambil serius terhadap khabar-khabar angin yang tidak rasional terutama mereka yang tiada kaitan dengan pemerintahan.
"Saya percaya dia seorang yang bijak, pragmatik dan boleh menjadi manusia yang tidak berhati perut. Dia akan memegang setiap orang di kelilingnya," kata Alexander Mansourov seorang sarjana Korea dan bekas diplomat Rusia yang pernah ditugaskan di Pyongyang lewat tahun 1980-an.

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.