Saturday, June 18, 2011

Tasik Chini...

Rasanya, aku nak menambah satu lagi label catatan aku iaitu mengenai tempat yang menarik yang pernah aku kunjungi dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan ini. Mungkin ada tempatnya yang sudahpun berubah dan berlainan sama sekali. Apa yang mungkin aku cuba kongsi adalah pengalaman sendiri dan juga catatan dari rencana majalah dan surat khabar yang lebih menarik dan terperinci. 

Cerita yang pertama sekitar Tasik Chini. Tasik Chini terletak di daerah Pekan 100 km dari Kuantan. Tasik Chini dianggarkan mempunayi keluasan 150 ha hingga 350 ha yang berubah-ubah mengikut musim diantara kemarau dan tengkujuh. Asalnya ia mempunyai 12 tasik bersebelahan atau popular dengan gelaran laut oleh masyarakat setempat  dikenali dengan Laut Gumum, Laut Pulau Balai, Laut Kenawar, Laut Chenhan, Laut Jeranking, Laut Gerham Buaya, Laut Mempitih, Laut Kenawar, Laut Serodong, Laut Melai, Laut Batu Busuk , Laut Labuh dan Laut Jemberai.

Di dasarnya mengikut lagenda Orang Asli yang mendiami kawasan Tasik Chini ini terdapat seekor naga yang menjaga iaitu dikenali dengan nama Naga Seri Gumum, manakala kajian sejarah dan peradapan yang dilakukan dikalangan Masyarakat Orang Asli mendapati terdapat susur galur dan persamaan bahasa yang diwarisi daripada bahasa Khmer yang menjadi asa kepada teori mengatakan perpindahan penduduk asal dari utara ke selatan dan didasar tasik dikatakan wujud Bandar purba Khmer yang pernah wujud suatu ketika dahulu.

Pada awal tahun 1995, Kerajaan Negeri Pahang telah memutuskan membina empangan mini atau baraj di Kuala Sungai Chini yang menghubungkan dengan Sungai Pahang bagi tujuan meninggikan paras air di tasik ini bagi tujuan perlancongan. Hasilnya bukanlah seperti yang diinginkan kerana kenaikan paras air telah menyebabkan perubahan ekosistem tasik dan rupa bentuknya termasuklah perubahan kepada sistem ekosistem malah kajian yang dijalan oleh sekumpulan pakar UKM pada 2006 mendapati kemerosotan kualiti air dan peningkatan Koliform and E-Coli. Kalau dahulu terutama musim kemarau anda perlu menolak perahu melalui alur sempit untuk ke antara satu tasik ke tasik yang lain , dan kini semuanya bercantum.


Perubahan ini juga menjejaskan pergerakkan ikan di dalam tasik kerana tiada lagi sumber ikan dari Sungai Pahang tidak dapat memasuki tasik. Akhirnya selepas lawatan Perdana Menteri ketika itu, Dato Seri Mahathir Mohamad yang cukup kecewa malah marah dengan kejadian telah mengarahkan empangan mini direndahkan dan akhirnya ianya dipotong sekitar dua kaki untuk merendahkan paras air.

Aku mula ke Tasik Chini sekitar 1997 dan beberapa kali telah ke sana selepas itu, malah satu perjalanan yang cukup mengujakan bilamana sempat juga berkayak sejauh 120 km dari Tasik Bera ke Tasik Chini sekitar 1999 selama 3 hari. Itu akan aku ceritakan dalam catatan yang lain iaitu Perjalanan Lagenda Tasik Bera ke Tasik Chini.

Tasik Chini merupakan kawasan lembah dan takungan air yang mempunyai pelbagai lagenda dan yang paling popular adalah Naga Tasik Chini dan ini aku tidak dapat pastikan kesahihan tetapi sisipan Kosmo ada ceritanya dan aku ada sertakan dibawah ini. 

Sekitar Tasik Chini pada tahun 1997, kami mengelilingi tasik ini dengan laluan denai yang melalui kawasan paya, bukit dan menempuhi kawasan penempatan Orang Asli yang ketika itu masih original yang ketika itu masih buluh dan kayu menjadi bahan utama, di atas bukit dan tiada bekalan air, elektrik dan seperti asal. Terdapat penempatan di beberapa laluan kami dan akhirnya kami berkesempatan melihat bagaimana pertukangan dan kraftangan masyarakat Orang Asli dibuat dan menjadi pilihan kami adalah untuk mempelajari ilmu menyumpit.

Kami kemudian mengelilingi tasik dengan kayak, melalui celahan pokok teratai yang merupakan koloni baru tasik ini selepas projek yang mendukacitakan. Dari satu 'lautan' ke 'lautan' kami berkayak dan tidaklah terlalu sukar kerana airnya tidak beralun dan mengalir. 

Keindahan Tasik Chini terletak pada tasiknya dan kini tumbuhan teratai menjadi penarik baru walaupun kewujudannya sebenarnya satu ancaman kepada ekosistem terdahulu dan asal. Pertumbuhan teratai ayang terlalu pantas menyebakan permukaan tasik menjadi semakin sempit dan menghalang perkembangan ikan di tasik ini.
Ikuti catatan kosmo.online mengenai Lagenda Tasik Chini dan jika anda menginginkan maklumat perkhidmatan penginapan mungkin link ini dapat membantu ; http://www.travelific.my/travelstry_full.php?sid=605 

Naga Chini belum mati

Kisah naga terlalu sinonim dengan tasik air tawar kedua terbesar di Malaysia selepas Tasik Bera, Tasik Chini. Beratus tahun berlalu, ia masih melingkari mereka, tetapi tanpa kesan pengaruhnya.


BERATUS tahun lamanya legenda naga mengisi pemikiran dan kepercayaan Orang Asli yang berumah di sekitar Tasik Chini, Pekan, Pahang.
Namun bagi Tok Batin Kampung Tanjong Puput, Bahrain Sunta, 54, dia tidak pernah melihat dengan matanya sendiri kelibat sang naga yang disebut-sebut itu. Yang dia tahu, ada yang memanggil haiwan itu Seri Gumum, Seri Pahang, Seri Pekan atau Seri Daik.
Bagaimanapun, katanya, tidak menyaksikannya sendiri bukan bermakna dia tidak mempercayai legenda itu.
"Saya memang tak pernah jumpa (naga). Tetapi saya percaya ia wujud. Kalau disebut naga, itu betul, harus percaya walaupun tidak melihatnya dengan mata sendiri.
"Anak saya pernah ternampak seekor naga pada tahun 2000. Katanya dia tengok badan dan kepalanya.
"Empat tahun kemudian, seorang anak kecil nampak naga itu meluru dengan muncungnya menghala ke arahnya. Apabila anak itu menjerit, kelibat makhluk itu terus hilang.
"Budak itu ceritakan kepada kami tentang mukanya yang sebesar kepala lembu. Menakutkan! Anak itu trauma sampai demam," kenang Bahrain.

Cerita penemuan terbaru, katanya, datang daripada seorang lelaki Eropah bernama Christos yang memancing di Tasik Chini, bulan lalu. "Dia juga jumpa naga itu. Dia gambarkan naga itu seperti ular sebesar tayar motosikal," tambah Tok Batin ini.
Malah sebelum itu, ketua keluarga di Tanjong Puput ini sudah banyak kali menyaksikan penduduk kampung lari lintang-pukang kononnya ternampak makhluk misteri itu.
Mengakui mendengar kisah itu daripada nenek moyangnya melalui penceritaan dari mulut ke mulut, Bahrain turut menggunakan pendekatan yang sama terhadap anak-anaknya.
"Ia diperturunkan sebagai satu sejarah. Tujuannya ialah supaya anak-anak berhati-hati ketika menghampiri air," ujar bapa kepada 12 orang anak yang berumur antara 10 hingga 30 tahun ini.
Bahrain tidak pula menganggap mereka yang mendakwa pernah melihat naga itu sebagai memiliki kelebihan atau keistimewaan.

"Sudah nasib mereka untuk jumpa naga itu. Saya percaya ada orang tertentu saja yang boleh nampak, bukan semua orang. Tetapi mereka tidak ada kelebihan apa-apa berbanding orang lain," kata Bahrain.
Penduduk kampung juga tidak pernah risau memikirkan sang naga.
"Ia bukan ancaman untuk kami. Belum pernah lagi ia mengganggu kami. Hanya sekali-sekala dilihat di permukaan air," sambungnya.
Menurut Bahrain, tiada sebarang upacara dibuat untuk 'mententeramkan' haiwan itu, jauh sekali memujanya.
Yang pasti, penduduk Tanjung Puput hidup seperti biasa, jauh daripada ketakutan terhadap seekor naga yang entahkan ada entahkan tidak.
Bahrain berkata, sudah ada antara anak kampung yang berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat universiti.
"Seorang sudah habis belajar dan sekarang menjadi pengurus Risda di Sungai Terpai, Pahang.
"Ada juga yang sedang belajar di Universiti Putra Malaysia," jelas Bahrain. Namun dia juga mengakui ramai anak kampung yang tidak lagi menyambung pelajaran selepas tamat sekolah menengah.
Pandangan dilempar ke pondok terbuka bersebelahan. Sekumpulan wanita sedang asyik meraut batang kayu renyah, gedomba dan relung untuk menghasilkan sumpit.
Sima yang merupakan isteri Bahrain, cukup bersahaja melakukannya.
"Inilah aktiviti kami setiap hari. Yang perempuan buat kerja-kerja kraf atau masuk ke hutan mencari produk hutan.
"Yang lelaki masuk ke hutan untuk berburu atau ke laut mencari ikan," katanya yang menjelaskan perkataan laut sebenarnya merujuk kepada bahagian-bahagian tasik di sini.
Kemas dan halus saja buatannya. Mengukir motif daun bertangkai untuk menghiasi hasil kraf itu, Sima berkata setiap wanita boleh menyudahkan dua batang sumpit dalam sehari mengikut kemahiran masing-masing.
Alat yang suatu ketika dahulu dihasilkan sebagai senjata kini lebih cenderung dijadikan alat perhiasan. Jika dahulu ia terdiri daripada kayu sepenuhnya, kini bahagian dalamnya sudah berlapik besi.
"Dulu kami dapatkan sumber sepenuhnya dari hutan. Namun sekarang kami beli hampir separuh daripadanya dari pekan," ujarnya yang menambah, barangan yang dihasilkan dijual sehingga ke pasaran Indonesia manakala harganya ditentukan mengikut kepanjangnya.
Selain sumpit, mereka turut membuat bekas pensel dan perahu kecil untuk mainan kanak-kanak.
Langsung tidak membuat kami berasa jauh di pedalaman, Sima mudah saja berkongsi bahawa legenda naga tidak banyak mempengaruhi kehidupan seharian mereka.Saat ditanya tentang masakan Orang Asli, Sima pantas menjawab: "Sama saja apa yang kita makan. Masak lemak adalah kegemaran saya."
Lima keluarga yang dianggotai lebih lapan orang setiap satunya meneruskan hidup di kampung ini tanpa rasa terhimpit dengan legenda yang masih 'bernyawa' itu.
Di sebuah lagi pondok terbuka, tiga orang wanita muda sedang rancak bermain batu seremban atau selambut.
Membaling-baling bungkusan kecil pasir ke udara, kedengaran gelak tawa mengekek penuh keseronokan. Namun, tatkala kami menghampiri, masing-masing mendiamkan diri. Malu agaknya.

RESTORAN terapung adalah antara yang diusahakan penduduk setempat di Tasik Chini.
kredit gambar : http://www.pahangtourism.com.my/tropical/attractions/lakechini.html

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.