Wednesday, June 1, 2011

Orang Asli ...

Sedang aku membelek laporan kajian sosialogi Kajian Terperinci Kesan Alam sekitar projek terdahulu ni, tiba-tiba rasanya nak berkongsi cerita mengenai Orang Asli berdasarkan pengalaman menjadi 'Majikan Terbesar' pekerja orang asli sejak tahun 2008 dari catatan pengalaman aku bersama mereka. 

Namun sedang aku mencari mood dan bahan untuk kisah mereka ini, terbaca satu rencana yang amant menarik mengenai masyarakat istimewa ini di Kosmo semalam. 

Jadi sebagai permulaan kisah ini, apa kata kita kongsi ceritanya hasil garapan Mazlina Abdul Majid.  
********************************************************************
Kosmologi masyarakat Orang Asli




SAMA seperti kebanyakan kaum lain, Orang Asli juga mempunyai kepercayaan sendiri terhadap kuasa-kuasa ghaib.



DI sebalik keghairahan negara meniti arus kemodenan, kaum pribumi iaitu Orang Asli di negara ini masih terus teguh memelihara warisan dan terus kental mempertahankan tradisi nenek moyang turun temurun.

Mengikut perangkaan, terdapat kira-kira 180,000 penduduk Orang Asli yang mewakili 0.01 peratus populasi rakyat Malaysia. Orang Asli secara umumnya terbahagi kepada tiga suku kaum terbesar iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Proto. Setiap suku kaum pula terdiri daripada enam suku kaum kecil.

Negrito dibarisi suku kaum seperti Mendriq, Kensiu, Bateq, Kintaq, Jahai dan Lanoh.

Senoi pula merangkumi suku kaum Temiar, Mah Meri, Semai, Che Wong, Semoq Beri dan Jahut.

Sementara Melayu Proto diwakili oleh Temuan, Semelai, Orang Laut (Kuala), Orang Kanaq, Orang Seletar termasuk Jakun.

Kebanyakannya mendiami beberapa kawasan mengikut demografi kumpulan kaum masing-masing. Suku kaum Negrito misalnya bertumpu di bahagian utara Semenanjung bersempadan dengan Thailand iaitu di Hulu Perak, Baling dan Jeli.

Orang Asli Senoi pula mudah ditemui di bahagian tengah Semenanjung terutama di kawasan kaki-kaki banjaran gunung di Perak, Kelantan, Pahang dan Selangor. Sementara Melayu Proto mendiami bahagian selatan Semenanjung terutama di kawasan persisiran pantai negeri Johor. Bagaimanapun, peredaran masa telah membawa anjakan perubahan apabila sebahagian daripada Orang Asli telah berasimilasi dengan penduduk kaum lain, khususnya orang Melayu di merata ceruk.

Kepercayaan dan tradisi
Justeru, bagi menghargai dan memberi pengetahuan kepada masyarakat umum tentang aspek kepercayaan dan tradisi Orang Asli yang masih kekal dipraktikkan sehingga hari ini, Jabatan Muzium Negara mengambil inisiatif mengadakan satu pameran khas mengenai Orang Asli.

INILAH keranda Orang Asli Mah Meri yang menyerupai bentuk bubu ikan.



Pameran yang bertemakan Orang Asli: Tradisi dan Kepercayaan itu berlangsung pada 20 April lalu dan akan berakhir pada 20 Jun ini.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Ibrahim Ismail, pameran itu menampilkan pelbagai khazanah berharga yang dapat memberikan gambaran menyeluruh mengenai kehidupan komuniti Orang Asli kepada orang ramai. “Penyelidikan mengenai Orang Asli telah lama dilaksanakan, jadi sudah tiba masanya kami berkongsi dan mengagihkan informasi ini dengan orang ramai,” katanya.

Melangkah masuk ke dewan pameran Muzium Negara, secara automatik pengunjung dapat merasakan aura dan semangat penduduk pribumi yang dikatakan telah wujud di tanah Semenanjung semenjak 5,000 tahun lalu. Khas untuk pameran itu, Ibrahim berkata, dewan muzium telah diubah suai mengikut kesesuaian.
“Kita berbuat demikian bagi menghidupkan suasana ruang kehidupan Orang Asli dan pada masa yang sama, kita mahu memberikan pengalaman perkampungan Orang Asli yang lebih nyata kepada para pengunjung,” ujarnya.  Audio visual bunyi-bunyian persis kepada fenomena alam semula jadi yang dipasang di setiap sudut dewan, menjadikan persekitaran lebih terkesan.

Secara keseluruhannya, terdapat tujuh segmen pameran Orang Asli iaitu pengenalan latar belakang komuniti itu, kosmologi iaitu hubungan mereka dengan alam semesta, inspirasi mimpi, mistik belantara, penyembuhan tradisi, amalan dan pantang larang serta peranan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Namun, yang paling mencuri tumpuan lensa jurufoto, jurufoto Kosmo!, Izham Jaafar adalah paparan replika hantu yang diukir berdasarkan imaginasi masyarakat Orang Asli. Replika hantu-hantu itu antaranya dinamakan bes herot mulut, bes bertanduk, bes makan orang, bes gila dan banyak lagi.

Mengikut keterangan, hantu bes herot mulut seperti yang dipercayai oleh komuniti itu ialah hantu itu boleh menyebabkan mulut manusia herot apabila ada pihak yang mencuri buah di ladang yang dilindungi bes itu.
Hantu bes makan orang pula dikatakan akan menyebabkan si penjahat sakit pada rahang sebelah bawah dan tidak boleh makan. Seperkara yang menarik perhatian penulis pula adalah penggunaan sumber-sumber alam yang dipercayai mempunyai keistimewaan dan kuasa ghaib yang luar biasa oleh Orang Asli.


Minyak cenuai
Misalnya, untuk memperoleh kuasa, pengaruh dan disayangi, mereka sangat yakin ‘kekuatan’ yang ada pada minyak cenuai. Menurut Pembantu Muzium Seni Kraf Orang Asli, Hartini a/p Anjang, minyak berkenaan dikatakan akan bertambah setiap kali bulan mengambang.

BAWAH: Minyak cenuai dipercayai boleh meningkatkan kuasa, pengaruh dan kasih sayang.



“Namun bergantung kepada si pemakai, jika dia tidak ikhlas, hal itu tidak akan berlaku,” katanya yang berasal dari suku kaum Semai dan menetap di Tronoh, Perak.Suku kaum Temiar, Semai, Jahai, Semai dan Temuan antara yang mahir menghasilkan minyak cenuai atau dipanggil minyak pengasih itu, ujar Hartini lagi.

Barangkali penduduk urban hanya melihat cendawan tumbuh hanya untuk dimakan. Namun, ia berbeza bagi Orang Asli apabila tumbuhan itu dikatakan mampu mengelak daripada berlakunya ribut atau taufan. Ia sering digunakan di kala menyambut sesuatu keraian.

Selain itu, pengunjung akan mempelajari keistimewaan di sebalik duri landak, kulit kayu senggut, kunyit hantu, kemenyan gunung, kemenyan biasa dan kemenyan madu.

Bagaimana urusan mengebumikan jenazah oleh suku kaum Jah Hut? Untuk upacara kematian orang dewasa, mereka akan membuat binaan kayu yang dibina secara bertingkat berbentuk piramid di atas kubur. Replika keranda itu turut dipertontonkan untuk orang ramai.

Begitu juga dengan penggunaan keranda buluh yang gunakan oleh suku kaum Mah Meri. Keterangan mengenainya antara lain menyatakan, mayat mereka akan dibalut dengan menggunakan kayu terap atau mabang sebelum dimasukkan ke dalam keranda yang berbentuk bubu ikan. Banyak lagi pengetahuan yang boleh diperoleh di pameran itu. Selain 102 bahan pameran ditampilkan, demonstrasi serta pelbagai maklumat bercetak turut disediakan.

Pengunjung juga berpeluang untuk mengambil bahagian dalam aktiviti menenun, kraftangan di samping mengambil bahagian dalam tarian tradisional Orang Asli, sewang.

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.