Sejak dua menjak ini, aku diam aje bila melihat telatah bangsa sendiri. Nak kata atau mengumpat atau mengkeji atau memuji sekalipun , pasti terkena kanan dan kiri. Melihat bukan hanya pada satu hala pandangan dan sudut pemikiran, tetapi cuba merungkai secara keseluruhan dimana punca dan dimana silap tetapi tidaklah sampai tahap mendakwa lalu menghakimi apa yang telah ada.
Aku nak kata sedih ada, nak kata marah pun ada , nak kata malu pun sangat ada. Sedih melihat sesuatu yang dah tegak berdiri samada sedikit condong dikatakan perlu dirobohkan untuk membina yang lebih tegap, marah bilamana kelihatan seolah-olah diantara sesama bangsa cuba menegakkan yang lebih tegap ini digula-gulakan pula oleh pihak yang suatu ketika sekadar memerhati dan tidak berani menyentuh dan menegur tetapi kini siap masuk dan bersila malah kaki diatas meja, Malu bila mana berlaku pertelingkahan ini, pekung dan rahsia 'rumah tangga' terbuka luas dan mengundang pula sinisan kata-kata dan juihan kejian.
Untungnya nanti adalah bukan yang bertelingkah tetapi yang sedap menonton mungkin dengan segelas bir ditangan dengan kacang menglembu dikunyah....
Racis???? Biarlah ... adik menegur abang , ayah menegur anak , ibu mendidik anak dikatakan rasis...
Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap bersantun
Bila mengampu bijak beralas tangan
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak
Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu,
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Aceh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani semua Melayu,
Mamak dan Malbari serap ke Melayu,
Malah Mualaf bertakrif Melayu.
Dalam sejarahnya,
Melayu itu pengembara lautan,
Melorongkan jalur sejarah zaman,
Begitu luas daerah sempadan,
Sayangnya kini segala kehilangan.
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara
Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal Universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu, menikam dengan pantun,
Menyanggah dengan senyum,
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.
Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silatulrrahim hati yang murni
Madah diungkap sentiasa disahut
Tangan dihulur sentiasa bersambut
Luka pun tidaklah lagi berparut
Baiknya hati Melayu itu tiada terbandingan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan
"Dagang lalu nasi ditanakkan,
Suami pulang lapar tak makan,
Kera di hutan disusukan,
Anak di pangkuan mati kebuluran."
Bagaimanakah Melayu
Di abad dua puluh Satu
Masihkah tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara merdeka.
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.