Monday, June 13, 2011

Jom skodeng ...

Istilah orang muda, skodeng bermaksud mengintai. Yang tak elok ini merupakan aktiviti yang tak sihat tapi bagi yang profesional ini adalah sumber rezeki .. Penyiasat persendirian... Detektif Conan...

Bongkar kecurangan dan penipuan
Oleh NIZHA PERIASWAMY di nizha.periswamy@kosmo.com.my

BERGAYA laksana perisik handalan, Raaj Deo yang berbadan tegap dan bermisai lebat itu bersiap sedia mengekori seorang lelaki seperti yang diarahkan oleh isteri lelaki berkenaan. Senang dengan panggilan RD, tugasnya sebagai penyiasat persendirian untuk kes tersebut tidak begitu sukar memandangkan lelaki yang diintipnya tidak menunjukkan pergerakan yang mencurigakan. Subjek intipannya hanya berulang-alik dari rumah ke pejabat. Selepas tiga hari, RD dan pasukannya yakin bahawa lelaki itu ‘bersih’ daripada perbuatan yang diragui. Hasil intipan itu dilaporkan kepada isteri lelaki berkenaan. 

Namun, wanita itu tidak berpuas hati. Dia seolah-olah mahu suaminya diintip lagi sehingga RD memberikan keputusan yang berbeza.
“Oleh kerana tempoh standard penyiasatan adalah lima hingga tujuh hari, saya teruskan lagi pada hari keempat. Tetapi, dalam diam saya menyiasat wanita itu pula.
“Memang itu bukan tugas saya, tetapi saya rasa seperti diperbodohkan. Saya minta anak buah saya terus mengekori suami pelanggan saya itu sementara saya pula mengintip wanita yang enggan menerima hakikat suaminya itu seorang yang baik,” terang RD. Jelas sekali intuisi RD benar. Bukan suami wanita itu yang bersalah, sebaliknya wanita itu yang menjalin hubungan sulit dengan seorang lelaki lain!
Baru RD tahu bahawa tujuan wanita itu mengupah pasukannya adalah untuk mengintip kalau-kalau suaminya menyedari pergerakan dan rahsianya. Ternyata, wanita itu terkejut apabila RD menunjukkan gambarnya bersama kekasih gelapnya serta bukti audio yang lain. Wanita itu amat marah. Tetapi, apabila RD menjelaskan rasional tindakannya itu, wanita tersebut hanya berdiam diri, membayar baki upah dan beredar tanpa sepatah kata.
“Tujuan saya bukan untuk memburukkan atau mengugutnya tetapi cuma mahu memberitahu wanita itu bahawa kami, penyiasat persendirian, mempunyai intuisi yang agak tepat,” tegas RD.
Golongan wanita juga menjadi PI
Demikian antara asam garam tugas seorang penyiasat persendirian. Itu hanyalah lembaran diari RD untuk satu minggu. Lebih lama bersembang dengan lelaki berkepala botak itu, lebih banyak drama kehidupan suami isteri yang dikongsinya.
Tugas lelaki Punjabi berusia 58 tahun itu sebenarnya lebih daripada sekadar menyiasat penipuan atau kecurangan suami isteri. Dia juga mengesan penipuan korporat, mengesan orang hilang, penipuan membabitkan kanak-kanak dan sebaginya. Semua kerja itu pastinya dengan bayaran tertentu.
Banyak kemahiran yang dikumpulnya ketika berkhidmat sebagai seorang anggota polis suatu ketika dahulu. Berbekalkan pengalaman kerja dalam bidang penguatkuasaan, antilanun, RD turut dibantu beberapa sumber kepercayaannya selain dilengkapi gajet-gajet yang terkini untuk mengendalikan siasatan.
“Saya mempunyai lapan penyiasat lelaki dan dua penyiasat wanita. Semuanya berusia dalam lingkungan 30-an. Untuk memilih ahli pasukan, saya memerlukan mereka yang mempunyai IQ lebih 60 poin. Kamu mahu sertai pasukan saya?” tanya RD kepada saya memandangkan dia kini mencari petugas wanita berkelayakan.
Menurut RD, wanita tidak mempunyai risiko yang tinggi dalam tugas itu. Amnya, RD akan hanya menghantar mereka untuk mengintip lelaki yang sedang berlaku curang atau berpotensi berlaku curang. Semuanya tertakluk kepada permintaan pelanggan wanita atau si isteri.
“Adakalanya petugas wanita sekadar menjadi pendamping ahli pasukan lelaki supaya tidak timbul kesangsian terhadap kami,” kata bapa kepada tiga orang anak itu. Walaupun profilnya seorang penyiasat persendirian yang berpengalaman, RD akhirnya mengakui bahawa ada perkara yang paling ditakutinya.
“Saya takut apabila terpaksa membawa wanita yang mengupah saya bersemuka dengan perempuan simpanan suami mereka!
RD menunjukkan antara contoh gajet dan item pengintipan yang digunakan dalam tugasnya.

“Itu satu situasi yang tidak dapat dikawal. Pernah seorang yang bergelar Datin dapat mengesan kerja kotor suaminya yang menyimpan teman wanita di sebuah apartmen di Subang Jaya.

“Apabila Datin itu beritahu yang dia mahu berjumpa wanita itu, saya dapat menjangka apa yang akan berlaku. Mahu tidak mahu, saya terpaksa menyaksikan pergaduhan di antara dua wanita itu,” katanya sambil ketawa terbahak-bahak. RD memberitahu, dalam kebanyakan kes, suami didapati lebih banyak bermain kayu tiga berbanding wanita. Jumlah itu agak tinggi dalam kalangan penduduk bandar atau urban.
“Dalam pengalaman saya, bandar-bandar di Lembah Klang dan Pulau Pinang mempunyai banyak kes seperti ini. Ia tidak terhad kepada pasangan baharu kahwin. Ada kes yang membabitkan pasangan yang sudah 30 tahun berkahwin,” katanya.
Walaupun tujuan pendedahan yang dilakukan adalah atas kehendak pelanggan yang mengupahnya, RD berharap agar hubungan mereka tidak berakhir dengan perceraian. Katanya, dia mahu pasangan ini insaf dan mulakan semula hidup baharu.
“Kebanyakan pasangan yang sudah lama mendirikan rumah tangga, mempunyai bilangan anak ramai dan mempunyai status dalam komuniti tidak memilih untuk bercerai. Cuma mereka yang berdarah muda yang enggan menerima situasi akan menamatkan perjanjian hidup yang dibina atas dasar cinta,” katanya.  

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.