Monday, June 13, 2011

Bahana E-Coli...

Dewasa ini , kepentingan pemakanan mula menular kepada kepentingan kesihatan yang juga merupakan ciri-ciri penting yang diutamakan di dunia. Malangnya, hanya negara-negara maju menitikberatkan soal 'food safety' dan 'food security' berbanding negara membangun yang lebih mementingkan harga yang murah dan mampu dimiliki.

Permintaan dunia selepas pasca serangan Trade World Centre di New York kini cukup mementingkan kedua-dua unsur ini. Ianya bukan sekadar penambah nilai dalam penghasilan produk makanan dan pertanian malah ianya menjadi unsur keselamatan dan kesihatan yang utama. Bekalan air, makanan, buah-buahan dan sayur-sayuran mula dikaji dan diperiksa secara teliti. Kebimbangan serangan penganas kini mula menular kepada pembekalan bahan makanan selain serangan senjata, rampasan ataupun perperangan.

Maka wujudlah pelbagai kod amalam samada GlobalGAP, WHO dan sebagainya diwujudkan atau mula dikemaskinikan.

Terbaru, serangan E-Coli dalam sayur-sayuran memungkinkan pandangan bahawa ianya mampu dihasilkan secara sengaja.


Bakteria punca maut dan pengangguran




PENGARAH Urusan ladang Gaertnerhof Bienenbuettel di Jerman, Klaus Verbeck sudah mengusahakan ladang organik selama lebih 30 tahun.
Dia begitu menitikberatkan soal kebersihan dan memastikan sayur-sayurannya ditanam secara organik. Lebih daripada itu, dia langsung tidak menggunakan baja najis haiwan.
Verbeck yang juga seorang pemakan sayur-sayuran atau vegetarian tidak membenarkan haiwan dibawa masuk ke ladang miliknya.
Namun, ekoran penyebaran epidemik E. coli yang menjadi krisis terburuk di Eropah sejak April lalu, dia berhadapan tuduhan bahawa tauge di ladangnya menjadi penyebab utama kepada penyebaran bakteria pembunuh tersebut.
Masih tidak berpuas hati dengan tuduhan itu, Verbeck berulang kali menegaskan bahawa dia tidak menggunakan baja untuk menyemai taugenya dan tiada haiwan berkeliaran di ladang organiknya itu.
“Sayuran di sini dibesarkan menggunakan biji benih dan air sahaja, dan ia tidak dibaja langsung. Baja haiwan juga tidak pernah digunakan di sini termasuk di kawasan lain di ladang ini,” katanya.
Seorang jiran Verbeck, Sibylle Lange berkata, dia mengenali Verbeck kerana dia telah mengusahakan ladang organik itu selama bertahun-tahun.
“Ini perkara serius, dia adalah seorang lelaki yang bekerja keras dan merupakan antara pengusaha ladang organik pertama,” kata ibu kepada dua anak itu.
Tambahnya, Verbeck sudah bekerja di ladang itu selama lebih 30 tahun dan menghasilkan produk berkualiti tinggi.
“Saya telah makan semua jenis sayuran dari ladang itu termasuk tauge dan rasanya sangat sedap. Saya tidak dapat membayangkan sumber E. coli berasal dari situ. Semua perkara ini telah menjejaskan kami di kejiranan ini termasuk rakan-rakan kami,” kesalnya.
Sumber penyebaran
Pihak berkuasa Jerman, di bawah tekanan untuk mengenal pasti sumber penyebaran E. coli. Mereka bertindak dengan memberi amaran kepada orang awam selama berminggu-minggu untuk tidak membeli dan memakan tomato, timun dan salad.
Pada satu tahap, pihak berkuasa menuding jari pada pengeluaran timun dari Sepanyol yang dikatakan menjadi sumber penyebaran itu.
Selain Verbeck, peladang-peladang di Sepanyol telah kehilangan pendapatan kira-kira 200 juta Euro (RM885 juta) seminggu. Tidak berpuas hati dengan nasib yang menimpa mereka akibat amaran itu, mereka dijangka akan mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut ganti rugi.
Krisis itu dikatakan bakal membuatkan 70,000 orang di Sepanyol kehilangan kerja dan negara berkenaan sudah pun mempunyai rekod pengangguran tertinggi di Eropah.
Di Jerman, pakar mikrobiologi memberitahu bahawa tauge merupakan suspek utama penyebaran epidemik itu sejak mula.
“Ia sepatutnya sudah dihentikan sejak awal,” kata Alexander Kekule dari Universiti Halle-Wittenberg.
Pihak berkuasa di banyak negara seluruh Eropah bertungkus-lumus menjejak punca sebaran bakteria pembawa maut itu. Sehingga kini, ia telah dikesan di 12 buah negara akibat kunjungan rakyatnya ke bahagian utara Jerman.

E. COLI dikatakan bersifat agresif dan kalis antibiotik.


Kebanyakan mereka yang dijangkiti telah mengalami sindrom haemolitik uraemik (HUS) yang merupakan serangan komplikasi ke atas buah pinggang yang menyebabkan potensi kematian.
E. coli yang merebak dalam sistem tubuh manusia melekat pada dinding usus dan mengeluarkan toksin lalu mengakibatkan cirit-birit berdarah dan masalah buah pinggang. Kebanyakan pesakit memerlukan rawatan rapi termasuk dialisis.
Sabtu lalu, pihak berkuasa mengenal pasti sebuah restoran di utara Luebeck sebagai tempat punca epidemik itu sampai kepada manusia. Hidangan di restoran itu dikatakan menyebabkan kira-kira 17 orang dijangkiti E. coli dan mengorbankan nyawa salah seorang daripadanya.
Namun, pemilik restoran daging dan kentang itu menegaskan bahawa dapurnya telah diuji negatif daripada E. coli dan tiada seorang pun pekerjanya yang jatuh sakit.
Dalam situasi panik yang semakin menjadi-jadi, kegawatan sosial akibat kegemparan tersebut sudahpun menular ke Britain, Perancis, Sepanyol, Sweden dan Amerika Syarikat (AS).
Sehubungan itu, Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) mencetus perasaan berjaga-jaga apabila pihaknya mengesahkan bahawa E. coli memang mempunyai kaitan dengan kes-kes keracunan makanan. Lebih menakutkan, E. coli dilaporkan begitu agresif dan kebal ke atas antibiotik.
Keputusan rasmi
Dalam pada itu, golongan pengguna masih ternanti-nanti akan pengumuman hasil ujian rasmi pada Isnin ini. Pengesahan tersebut amat kritikal demi memutuskan sama ada tauge daripada ladang organik di Utara Jerman menyebabkan penyebaran epidemik E. coli di Eropah hingga menyebabkan kematian seramai 22 orang dan menyebabkan lebih 2,000 rakyatnya jatuh sakit.
Sehubungan itu, Menteri Pertanian Jerman, Gert Lindemann, memberitahu, tauge yang dihasilkan di ladang yang lebih besar dari Uelzen iaitu wilayah di antara Hamburg dan Hannover turut disahkan sebagai sumber epidemik bakteria berkenaan.
Ia dikatakan berpunca apabila stok sayur-sayuran tercemar yang dihantar ke restoran dan kedai-kedai runcit di seluruh negara.
Bukan sekadar tauge, pegawai kesihatan turut memberi amaran kepada orang awam untuk tidak memakan tomato, timun dan salad hijau.
“Walaupun kami yakin bahawa ladang di Uelzen terbabit kami masih perlu menunggu keputusan rasmi dari makmal. Sehingga itu, kami tidak boleh menyatakan apa-apa dengan jelas,” kata Menteri Kesihatan Jerman, Daniel Bahr, Ahad lalu.
Tambah beliau, amaran itu termasuk salad campuran yang sudah siap dibungkus dan disejukkan. Sehingga kini, tiada pihak boleh menjamin bahawa bakteria seperti E. coli dan Salmonella tidak dapat membiak dalam suhu sejuk.
Kritikan pembangkang
Dalam pada itu, pihak pembangkang tidak melepaskan peluang untuk menonjolkan diri mereka. Mereka mahu menjuarai krisis penyebaran epidemik itu dengan mempersendakan tindakan kerajaan dalam menguruskan isu berkenaan.

SEORANG peladang di Almeria, tenggara Sepanyol, membuang timun yang sudah dipetik kerana bimbang ia tidak dapat dijual.


“Kerajaan langsung tidak mempunyai mekanisme pengurusan krisis bagi mengatasi masalah itu,” kata ketua Parti Green, Renate Kuenast.
“Saya ragu-ragu apakah yang dilakukan oleh kementerian kesihatan dan menteri perhubungan pengguna,” soalnya.
Krisis E. coli pernah dikenal pasti pada tahun 1996 di Jepun dan mengakibatkan 12 orang mati dan lebih 12,000 orang awam jatuh sakit.
Baru-baru ini, ketika pegawai kesihatan cuba mencari sumber penyebaran bakteria luar biasa itu, kesangsian timbul kepada salad, timun dan tomato yang mungkin berasal dari Sepanyol.
Para peladang yang mengusahakannya mengeluh kerana tuduhan itu telah mengakibatkan mereka mengalami kerugian besar.
Lindemann memberitahu, ladang di Uelzen telah ditutup Ahad lalu dan semua hasil pengeluarannya ditarik balik, termasuk herba-herba segar, buah-buahan, bunga-bungaan dan kentang. Dua pekerjanya turut dijangkiti E. coli.
“Sejumlah 18 jenis tunas berbeza dari ladang berkenaan kini di bawah pemeriksaan termasuk tunas brokoli, kekacang, bawang putih, kacang lentil dan sebagainya.
“Sumber berkenaan juga didapati tercemar kerana ditanam di bawah persekitaran yang menyebabkan bakteria mudah membiak iaitu pada suhu 38 darjah Celsius,” katanya.
Tambahnya, kemungkinan juga air yang digunakan ladang berkenaan dicemari E. coli atau biji benih tunas berkenaan yang dibeli di Jerman dan negara-negara lain tercemar dengan bakteria tersebut.
Sekatan import
Dalam perkembangan lain, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman baru-baru ini menerima laporan WHO mengenai sindrom HUS yang berpunca daripada pencemaran bakteria Enterohaemorrhagic Escherichia Coli (EHEC).
Satu kes wabak penyakit itu telah dilaporkan di negara Jerman, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Wabak tersebut mempunyai ciri-ciri pemecah darah merah dan menjadi penyebab anemia, kegagalan ginjal akut dan kekurangan sel darah pembeku.
“Tanda-tanda seseorang itu telah dijangkiti wabak ini adalah seperti sakit perut, muntah-muntah dan cirit-birit berdarah.
“Gejala-gejala ini juga boleh menyebabkan dehidrasi, keletihan, kelesuan, anemia, uraemia dan kecenderungan pendarahan,” katanya.
Beliau memberitahu, punca wabak penyakit tersebut menjangkiti mangsa melalui makanan yang dicemari dengan bakteria E. Coli.
“Gejala penyakit ini dapat dilihat dengan ketara dalam tempoh tiga hingga lapan hari. Bagaimanapun, mangsa akan sembuh dalam tempoh 10 hari tanpa sebarang komplikasi selepas dijangkiti wabak penyakit ini,” katanya sambil memberitahu, komplikasi yang lebih serius seperti penyakit buah pinggang pada tahap kronik mungkin menyerang warga tua dan kanak-kanak.
Sebagaimana dilaporkan, Hasan memberitahu, kajian mendapati pesakit yang terlibat dengan wabak ini didapati berkemungkinan memakan sayuran mentah iaitu tomato, timun dan daun salad.
“Kementerian sedang memantau pengimportan timun ke dalam negara ini tetapi maklumat daripada Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia menunjukkan tiada timun yang diimport dari Jerman atau Sepanyol,” ujar beliau.

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.