Saturday, November 27, 2021

Jalan Tapah-Ringlet ditutup? Apakah laluan alternatif ke Cameron Highlands?.

Rasanya semua sudah maklum akan status penutupan Jalan Tapah- Ringlet sejak 23 November 2021 atas faktor keselamatan akibat kejadian tanah runtuh di kebanyakkan kawasan sepanjang laluan ini. 

Dari sembang-sembang dengan beberapa indvidu yang tak perlu saya perkenalkan, terdapat puluhan cerun runtuh di sepanjang laluan ini. Malah ada 4 lokasi tanah runtuh berskala besar berlaku dengan kawasan yang terjejas teruk kebanyakan di Batu 22 ke atas atau lebih kurang selepas jambatan lurus. 

Tak apalah tanpa perlu perincian yang lebih kerana lebih penting untuk kita mengetahui apakah alternatif laluan masuk ke Cameron Highlands. 

Jadi untuk perkongsian maklumat yang rasmi, saya sekadar nak kongsikan sahaja poster cadangan laluan alterantif yangdikeluarkan oleh JKR Cameron Highlands seperti dibawah ini. 


Jadi terpulang kepada anda membuat carian google map untuk mengetahui jarak yang lebih tepat dari lokasi anda. 

Semoga ini membantu. 

Dah buka ke Belum Jalan Tapah-Ringlet?

Saya menerima beberapa pertanyaan dari kawan-kawan mengenai status Jalan Tapah-Ringlet samada telah dibuka ataupun tidak. 

Ini kerana ada sahaja video yang dikongsikan oleh pelancong yang mereka telah menggunakan laluan tersebut.

Saya sendiri dah 3 kali pergi ke Sempadan Negeri Pahang dan Perak di Ringlet dan tetap diberitahu oleh petugas di pos keselamatan jalan ini oleh konsesi penyelenggaraan iaitu Belati bahawa jalan tersebut masih ditutup. Namun ada pelanggaran arahan oleh pengguna yang masih melalui secara tidak rasmi. 

Mereka berkata pengguna tersebut degil dan tetap berkeras untuk melalui jalan tersebut terutamanya dari arah Tapah naik ke Cameron Highlands. 

Saya keliru. Mereka perlu lebih tegas di bahagian Tapah atau pengguna perlu lebih mematuhi arahan penutupan jalan ini. 

Jadi saya rujuk ke laman facebook JKR Cameron Highlands, di mana masih tetap dengan status laluan ini masih ditutup sejak 23 November 2021. 


Jadi itulah yang rasmi. Yang tak rasmi dan tidak sah saya tak mahu kongsi atau ulas apa-apa malah kalau anda mahukan cadangan dari saya sendiri pun tetap saya tidak mahu terlibat. Kita ikut yang rasmi sahajalah. 

Tuesday, November 23, 2021

Selamatkah bercuti di Cameron Highlands ?

Semalam, terdapat beberapa kejadian tanah runtuh sekitar Cameron Highlands dan yang paling menjadi tumpuan adalah kejadian pokok tumbang ke atas sebuah kenderaan SUV yang dinaiki 4 orang pelancong yang baru tiba dari Kuala Lumpur. Lokasinya adalah dihadapan Casa de Rosa dan bertentangan  dengan Smoke House di Tanah Rata. 


Kejadian ini menyebabkan kereta tersebut remuk teruk dihempap oleh pokok yang besar. 2 orang mangsa berada dalam keadaan parah. 

Juga terdapat beberapa lagi lokasi tanah runtuh sekitar Cameron Highlands dan kalau tak silap ada 9 kesemuanya. Ini tidak termasuk dengan keadaan laluan Jalan Tapah ke Ringlet yang kini ditutup sementara bagi kerja penilaian risiko keselamatan dan pemulihan kawasan yang terlibat.  

Saya menerima beberapa pertanyaan berkaitan adakah masih selamat bercuti di Cameron Highlands dalam masa terdekat ini. Maklumlah semuanya sudah ditempah baik penginapan dan juga sebagainya. 

Jawapan saya? Saya agak risau untuk memberikan saranan atau juga cadangan. Cuma bagi memberikan reaksi kepada soalan ini saya lebih meletakan kepentingan keselamatan bagi semua pelancong berbanding dengan sudut ekonomi. 

Anda boleh menilai apakah anda sanggup menanggung risiko jika bercuti dalam keadaan musim hujan dna baru sahaja kejadiaan tanah runtuh di beberapa lokasi boleh menyebabkan sedikit halangan kepada perjalanan percutian anda. 

Namun pada masa yang sama anda boleh juga merancang kembali dengan meneliti untuk mengelakan ke lokasi yang berisiko untuk dikunjungan kali ini dan hanya berkunjung ke beberapa lokasi yang selamat. Contohnya untuk dielak adalah melakuan aktiviti pendakian ke gunung seperti Mossy Forest, Ladang Teh Sungei Palas atau ke kawasan kebun-kebun sayur. 

Sesuaikan suasana semasa dengan lebih santai berehat di hotel atau penginapan dan hanya mengunjungi beberapa lokasi yang mudah, selamat dan hanya memerlukan persediaan ringkas untuk bercuti. 

Nikmati suasana dingin yang lebih terasa di waktu ini.  

Buat perancangan dengan teratur dan pastinya akan dapat memberikan pilihan yang lebih sesuai di waktu kunjungan kali ini. Simpan di masa akan datang lokasi yang berisiko. 

Santai-santai ajelah ya.. 

Elakan menggunakan laluan Tapah ke Ringlet yang sangat berisiko ketika ini. 

Penutupan Jalan Tapah untuk ke Cameron Highlands.

Pihak JKR Cameron Highlands dan JKR Tapah telah membuat keputusan untuk menutup laluan Jalan Tapah ke Cameron Highlands. 



Bagi anda yang menggunakan Lebuhraya Utara Selatan dari arah Kuala Lumpur, anda tidak akan melepasi sekatan laluan yang ditutup sebaik sahaja sampai di Kem Askar atau SM Sains Tapah. Malah di persimpangan keluar selepas Plaza Tol juga telah diletakkan papan tanda penutupan laluan ini. 



Sampai bila laluan ini akan ditutup tidak pula dinyatakan secara jelas sehingga dimaklumkan kelak. 

Jalan Ringlet Cameron Highlands ke Tapah ditutup sementara.

Hari ini, 23 November 2021, Jaabatan Kerja Raya Cameron Highlands telah mengeluarkan satu notis penutupan melibatkan keseluruhan laluan Jalan Tapah ke Ringlet Cameron Highlands ekoran terdapatnya tanah runtuh di beberapa kawasan.

Pemerhatian saya di Sempadan Pahang - Perak di Ringlet, pihak konsesi penyelengaraan jalan ini iatu Belati telah meletakan penghadang di laluan ini. Manakala terdapat pihak Polis yang datang memantau keadaan di sana.

Manakala di Tapah pula pihak JKR dan Polis telah membuat penghadang di laluan berhadapan dengan Sekolah Sains Tapah dan Kem Askar di sana. 

Sebagai pilihan lain, anda boleh memilih untuk menggunakan laluan Simpang Pulai ke Blue Valley untuk ke Cameron Highlands. 

Selain itu laluan Raub-Sungai Koyan - Ringlet boleh dijadikan pilihan bagi pengunjung dari Timur atau Lembah Klang juga.   

Friday, November 19, 2021

790,024 Pelancong datang ke Cameron Highlands pada tahun 2020

Seramai 790,024 pelancong telah datang melawat Cameron Highlands pada tahun 2020 yang lepas. 

Saya sejujurnya agak terkejut dengan jumlah ini kerana pada tahun 2020 agak suram sebenarnya kerana angkara COVID -19. Ia melibatkan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan pada 18 March 2020 selama 3 bulan dan kembali dibuka untuk beberapa bulan sebelum tahun 2021, bulan April kembali ditutup. 

Tapi untuk rekod saya kongsikan jugalah jumlah rasmi dari Kerajaan Negeri Pahang ini.


Sumber : Klik