Pemerintahan Beraja di Pahang
1. Merafak sembah dan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang yang akan ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke-XVI pada 30 Julai 2019 yang akan datang.
2. Pemerintahan beraja Melayu di Negeri Pahang sebenarnya telah lama wujud jika dirujuk kepada beberapa sumber.
3. Antaranya adalah Munro-Hay (2001) yang menyatakan pada tahun 1366, anak kepada Raja Petchaburi yang telah menguasai Ligor kemudian menghantar pemerintah-pemerintah Melayu dengan gelaran Raja untuk memerintah Chaiya dan 10 buah negeri lagi yang secara tradisinya di bawah naungan Ligor. Salah satu negeri berkenaan adalah Pahang. Menurut Wyatt (1975) yang telah menterjemah 'The Chronicles of Nagara Sri Dharmaraja', pemerintah Melayu yang dihantar ke Pahang adalah Ce Suma dengan gelaran Raja Parameswara.
4. Manakala menurut W. Linehan (1973), berdasarkan catatan sejarah Dinasti Ming, pada tahun 1378, pemerintah Pahang yang bernama Maharaja Tajau telah menghantar utusan ke China. 'Tajau' ini berkemungkinan adalah 'tanjung', iaitu merujuk kepada bahagian utara muara Sungai Pahang yang dikenali oleh para pelaut sebagai Tanjung Pahang.
5. Pada tahun 1411 pula, raja Pahang yang bernama Pa-La-Mi-So-La Ta-Lo Si-Ni telah menghantar utusan ke China. Nama 'Pa-La-Mi-So-La-Ta-Lo-Si-Ni' ini berkemungkinan adalah sebutan China bagi 'Parameswara Teluk Chini'.
6. Kesultanan Melaka kemudian telah menawan Pahang pada tahun 1454 yang ketika itu diperintah oleh Maharaja Dewa Sura bagi tujuan mengekang perluasan kuasa Siam. Sultan Melaka, Sultan Mansur Syah kemudian telah berkahwin dengan puteri kepada Maharaja Dewa Sura yang bernama Puteri Wanang Seri / Puteri Lela Wangsa.
7. Perkahwinan antara Sultan Mansur Syah dengan Puteri Wanang Sari kemudian telah dikurniakan dengan zuriat bernama Raja Muhammad yang kemudiannya telah dirajakan semula di negeri datuk sebelah ibunya iaitu Pahang pada tahun 1470 dengan gelaran Sultan Muhammad Syah.
8. Namun begitu, Kesultanan Pahang Tua berakhir seketika pada 1615 ketika diperintah oleh sultannya yang ke-13 iaitu Sultan Alauddin Riayat Shah akibat serangan pihak Acheh. Pahang dan Johor kemudian disatukan di bawah pemerintahan Sultan Abdul Jalil Shah III yang kemudiannya turut menguasai kepulauan Riau-Lingga.
9. Anglo-Dutch Treaty yang dimeterai antara penjajah Inggeris dan Belanda pada tahun 1824 kemudian menyaksikan perpecahan Kesultanan Johor-Pahang-Riau-Lingga kepada dua bahagian. Sultan Hussein Syah, putera tertua sebagai Sultan yang berpusat di Singapura di bawah pengaruh British, manakala Sultan Abdul Rahman Muazzam Syah sebagai Sultan yang berpusat di kepulauan Riau-Lingga di bawah pengaruh Belanda (kedua-duanya merupakan waris Sultan Mahmud Syah III tetapi berlainan ibu).
10. Namun begitu, Sultan Hussein Syah kemudian kehilangan kuasanya di Singapura kepada British lalu menyebabkan baginda berpindah ke Melaka dan mangkat di sana. Johor kemudian diperintah oleh Temenggong Johor manakala Pahang pula diperintah oleh Raja Bendahara yang melahirkan monarki Pahang moden yang memerintah pada hari ini.
DAULAT TUANKU!
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.