Yang bertanya mengenai gelinciran tanah di Kampung Orang Asli Pawong Pos Raya yang viral semalam sampai hari ini, saya jawab begini:
Saya tak pasti. Nak suruh saya pergi tengok saya kena memandu 70 km ke Simpang Pulai. Kalau dari Bertam Valley tenpat kerja saya kena tambah 16 km. Ni bukan mengulor kalau ke sana, membiawak waktu kerja dah tu...
Nak tanya siapa? Kampung tu dalam Daerah Batu Gajah, Perak.
Jadi and telepon sahaja Pejabat Daerah sana atau JKR Perak untuk pengesahan. Kalau anda telepon JKR Cameron Highlands memang tak dapat sebab hari ni kami Negeri Pahang cuti.. Keputeraan Sultan Pahang.
Jadi tanya kat yang berkenaan. Tapi kan itu Jalan ke Cameron Highlands? nak buat macamana... Dah nama Jalan Simpang Pulai- Cameron Highlands. saya tak boleh ubah.... 94 km jaraknya...
saya kongsikan maklumat sahih Kat bawah ni:
TERKINI: Tanah beranjak di atas garis sesar purba di Pos Raya, berhampiran Simpang Pulai pada hari Selasa 23.10.2018.
IPOH: Beberapa rumah di Kampung Pawong, Pos Raya di Jalan Simpang Pulai-Jalan Cameron Highlands di sini mengalami keretakan selepas dipercayai berlakunya pergerakan tanah di kampung berkenaan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian kira-kira jam 3.03 petang sebelum sepasukan anggota diarahkan ke lokasi kejadian bagi memantau keadaan di kampung berkenaan.
Katanya, bomba mendapati memang benar berlaku pergerakan tanah sehingga menyebabkan beberapa rumah mengalami keretakan kecil dan pemantauan lanjut sedang dijalankan.
Menurutnya, tiada mangsa terbabit dalam kejadian itu dan pihaknya akan memaklumkan perkembangan kes itu selepas pemantauan dijalankan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Perak dan Kedah, Hairulnizam Abd Rahman, ketika dihubungi berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu petang tadi dan mengarahkan semua penduduk yang kediaman mereka terjejas akibat pergerakan tanah itu supaya berpindah ke lokasi yang lebih selamat.
"Setakat yang saya dimaklumkan, semua penghuni yang terbabit kini menumpang di kediaman sanak saudara di kampung berkenaan buat sementara waktu sehingga mendapat arahan yang selanjutnya daripada pihak berkuasa.
"Saya masih berhubung dengan pihak Ibu Pejabat JAKOA Putrajaya bagi mendapatkan arahan selanjutnya berhubung kejadian ini terutama dari aspek bantuan serta keperluan mangsa yang terjejas.
"Ia termasuk memikirkan kaedah menempatkan atau membina semula kediaman mangsa yang terjejas berpandukan laporan yang akan diterima daripada pihak berwajib terutama bomba.
"Jika tanah tidak lagi sesuai untuk diduduki atau kejadian itu dikategorikan sebagai bencana, kita kena cari tapak yang baharu dan bersesuaian untuk pembinaan kediaman baharu," katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.
Hairulnizam berkata, setakat ini pihaknya masih belum mendapat maklumat penuh berhubung kejadian dan pegawainya akan berhubung dengan Tok Batin Kampung Pawong, Pos Raya bagi mendapatkan maklumat penuh dan seterusnya membolehkan bantuan susulan dihulurkan secepat mungkin.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, Datuk Ahmad Zukni Ahmad Khalil, berkata JMG Perak menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 3 petang dan sudah menghantar pegawai untuk menjalankan siasatan di lapangan bagi mencari punca kejadian.
"Saya masih menunggu laporan daripada pegawai di lapangan dan akan memaklumkan hasil dapatan sebaik ia diperoleh," katanya.
Credit : Facebook sapa ntah...
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.