Jika anda memilih perjalanan ke Cameron Highlands melalui laluan Tapah, saya ucapkan selamat menikmati 45 km yang penuh bersejarah.
Jalan ini siap dibina pada 14 November 1930 oleh syarikat dari Australia dengan kos 3 juta ringgit dan dinamakan Jalan Persekutuan 59.
Jalan ini memang penuh berliku dengan selekoh pendek yang sempit. Yang tak biasa dengan selekoh akan muntah.
Tiada pemandangan dan hentian yang istimewa kecuali Lata Iskandar di batu 12 kalau tak silap. Namun jika anda mencari tersirat, laluan ini amat istimewa kerana terdapat puluhan penempatan orang asli.
Yang istimewanya, jika anda datang ketika musim buah-buahan akan terdapat banyak gerai jualan di sepanjang jalan antaranya durian yang memang banyak. Begitu juga dengan petai yang berkualiti tinggi. Malah terdapat buah-buah hutan yang juga dijual mengikut musim. Unik untuk dicuba dan dirasai.
Cuma sedikit nasihat jika ingin membeli, usahlah tawar menawar hingga keterlaluan kerana mereka berniaga bukan untuk menyaingi kehebatan kereta anda gunakan itu serta bukan pula berniatkan untuk sama menyewa bilik hotel mahal sama seperti anda bila tiba di Cameron Highlands kelak. Mereka hanya mencari rezeki bermusim sahaja.
Namun saya lebih suka melihat melihat mereka keluar dari dusun dengan bakul buluh yang penuh dengan buah durian, berkumpul dan membersihkan buah durian sambil menunggu kedatangan peraih.
Jika bernasib baik saya suka melihat bagaimana gigihnya mereka memikul ikatan petai baik si lelaki atau perempuan . Cuma tak berkesempatan nak berhenti mengambil gambar detik tersebut sebab selalunya mengejar waktu.
Juga di hujung minggu kelihatan keluarga kecil berjalan menuju ke sungai membawa galah dan serkup untuk menangkap rama-rama untuk dijual.
Waktu malam pula kelibat lelaki dewasa bersama sumpit memburu haiwan sepanjang laluan.
Bagi anda jika melalui Jalan Tapah, usah menderu lajunya. Santaikan pemanduan anda demi penumpang yang lain. Buka tingkap dan nikmati angin segar hutan simpan yang dilalui.
Namun jangan pula terlalu perlahan sehingga menggangu trafik. Berikan laluan kenderaan dibelakang yang mempunyai urusan segera dan penting. Juga utamakan keselamatan jika mahu berhenti.
Jika singgah di perkampungan asli, usah hanya berikan senyuman tetapi gembirakan anak-anak kecil dengan hadiah jajan tanda meraikan mereka.
Jadikan perjalanan anda sesuatu yang terisi dengan kenangan yang tidak anda temui ditempat lain.
Selamat mendaki Jalan Tapah.....
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.