AL MARHUM SULTAN SIR ABU BAKAR RIAYATUDDIN AL MUADZAM SHAH ; PERMATA EMAS PAHANG
Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abu Bakar diputerakan pada 29 Mei 1904 di Istana Hinggap, Pekan Lama, Pahang. Baginda merupakan putera kedua kepada KDYMM Sultan Sir Abdullah Muhtashim Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Ahmad Muazzam Shah dan YTM Tengku Ampuan Besar Tengku Hajjah Kalsum Binti Tun Abdullah. Ayahanda baginda, Sultan Sir Abdullah menjadi Sultan Pahang pada 19 Jun 1917 sehingga kemangkatan baginda pada 22 Jun 1932 pada usia 58 tahun. Bonda baginda, Tengku Kalsum merupakan puteri kepada Y.Bhg. Tun Abdullah Bin Tun Abdul Rauf yang berasal dari Pulau Duyung, Terengganu. Tengku Kalsum mangkat pada 27 Ogos 1967 pada usia 81 tahun.
Sultan Abu Bakar mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pekan Pahang dan seterusnya mendapat pendidikan lebih tinggi di Malay College Kuala Kangsar (M.C.K.K.). Baginda menganggotai Perkhidmatan Awam negeri Pahang pada tahun 1923 ketika berusia 19 tahun. Kemudiannya baginda berkhidmat sebagai Pegawai Tanah di Kuala Kangsar dan Teluk Intan, Perak pada tahun 1928 hingga 1929. Seterusnya baginda menjadi Penolong Pengutip Cukai Tanah Temerloh tahun 1929 hingga 1930.
Pada 4 Jun 1930, ayahanda baginda berkenan melantik Sultan Abu Bakar sebagai Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang. Ketika itu baginda berusia 26 tahun dan mencipta sejarah sebagai individu pertama bergelar Tengku Mahkota Pahang. Ayahanda baginda, Sultan Sir Abdullah Muhtasim Billah Shah mangkat pada 23 Jun 1932. Maka, baginda dimashurkan sebagai Sultan Pahang Moden Yang Ke-4. Baginda ditabalkan pada hari Ahad, 28 Mei 1933 di Istana Pantai, Pekan. Baginda berusia 28 tahun ketika itu. Baginda menggunakan gelaran KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al Muazzam Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Abdullah Muhtasim Billah Shah.
Zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar merupakan zaman emas bagi negeri Pahang. Di bawah pemerintahan baginda, ekonomi berkambang pesat. Perlombongan bijih timah, emas dan perladangan getah giat dijalankan sejurus sahaja negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Ibu negeri Pahang yang ketika itu berpusat di Kuala Lipis telah berpindah ke Kuantan. Pada Mac 1950, baginda telah menubuhkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang. Baginda juga mewujudkan kembali jawatan Kadi Besar dan menubuhkan Sekolah Arab Tinggi yang diberi nama Al-Lughah Waddin Al Sultan Abu Bakar Pahang pada tahun 1941.
Sultan Abu Bakar minat kepada seni budaya Melayu seperti gamelan, zapin, inang, canggong dan cinta sayang. Pada tahun 1972, baginda telah membawa balik gamelan ke negeri Pahang yang baginda beli daripada bonda saudara baginda KDYMM Tengku Ampuan Besar Terengganu Tengku Ampuan Mariam. Baginda juga meminati sukan polo, tenis, lumba kuda, lumba perahu dan lain-lain sukan. Baginda banyak memegang jawatan dalam pelbagai pertubuhan dan persatuan. Antaranya baginda bertindak sebagai Penaung Pertubuhan Palang Merah British Cawangan Negeri Pahang, Persatuan Bola Sepak dan Kriket Pahang, Kelab Polo Diraja Pahang, Persatuan Polo Diraja Malaysia, Persatuan St John Ambulance Pahang, dan lain-lain lagi.
Sultan Abu Bakar telah mangkat di Istana Peninjau, Pekan pada 7 Mei 1974. Baginda berusia 70 tahun dan telah 42 tahun memerintah negeri Pahang. Jenazah baginda telah dimakamkan di Makam Diraja Masjid Sultan Abdullah. Baginda meninggalkan 18 putera dan 17 puteri melalui 8 perkahwinan baginda sebelum ini. Tengku Mahkota Pahang, Tengku Ahmad Shah menaiki takhta menggantikan Sultan Abu Bakar dengan bergelar KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mus'tain Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ria'yatuddin Al Muazzam Shah. Hari Hol Almarhum Sultan Abu Bakar disambut setiap 7 Mei dan hari ini merupakan cuti umum bagi negeri Pahang. Al Fatihah untuk Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Ri'ayatuddin Al Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Abdullah Al-Muhtassim Billah Shah.
Al Fatihah buat Roh Al Marhum serta Keluarga Diraja Pahang yang telah mangkat.
Sumber Rujukan : Warisan Pemaisuri Melayu
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.