Thursday, February 8, 2018

Sejarah kewujudan 'Fort di Cameron Highlands"

Dalam membaca mengenai sejarah komunis melibatkan Cameron Highlands, saya mendapati ada beberapa perkara yang berkaitan dengan perancangan dan juga penglibatan serta pendekatan yang telah dilakukan oleh pihak British dalam mengekang idealogi dan ancaman pihak komunis,

Catatan awal saya mengenai Komunis di Cameron Highlands 1973 di SINI

(CATATAN INI DITULIS HASIL INGATAN MASA KELAS SEJARAH TINGKATAN 4 BEBERAPA PULUH TAHUN DULU DAN PEMBACAAN DARI RUJUKAN MENGIKUT PEMAHAMAN SAYA SEMATA. KALAU SALAH BETULKAN YA)


Saya tidak akan panjangkan bagaimana titik tolak pihak British mula mengambil tindakan amat berat ancaman komunis selepas pendudukan Jepun. Kalau saya nak ringkaskan mungkin  peristiwa pembunuhan Pesurujaya Tinggi British, Sir Henry Gurney ketika dalam perjalanan ke  Bukit Fraser pada 6 Oktober 1951 yang mana saya ada terbaca ianya disifatkan serangan tanpa tujuan oleh pihak komunis yang mana setelah kejadian baru diketahui bahawa mangsa serangan hendap mereka pada hari itu adalah Henry  Gurney. 

Pihak British mengantikan tempat Henry Gurney dengan orang baru iaitu Gerald Walter Robert Templer pada  1952. Semasa tingkatan 4 baru saya tahu rupanya Taman Lipur Templer di Rawang yang menjadi lokasi wajib untuk singgah berehat untuk makan dan mandi setiap kali keluarga saya dalam perjalanan balik kampung di Selama Perak dari Bera, Pahang rupanya sempena namanya. 

Semasa tingkatan 4 dalam Sejarah Malaysia, juga  diajarkan 'Rancangan Briggs' yang  mana kemudian Templer telah memperkasakan perlaksananya dengan lebih kuat dan intensif untuk menyekat pengaruh komunis di seluruh kawasan Malaysia. 

Masih saya ingat kisah cikgu Sejarah saya, Puan Haliza mengatakan kampung-kampung baru khasnya melibatkan penduduk berbangsa Cina diwujudkan dengan semua penduduk ditempatkan dalam kawasan yang dikawal sepenuhnya oleh tentera dengan pembahagian status seperti kawasan hitam atau kelabu. Rancangan ini melibatkan 440 buah kampung baru diwujudkan di seluruh negara. 

Kata Cikgu Haliza, kampung-kampung ini dipagar dengan kawad besi, dibina dengan kemudahaan asas dan disekat segala perhubungan dengan pihak luar sepenuhnya. Perintah berkurung dilaksanakan di mana semua penduduk perlu berada di dalam rumah masing-masing dari pukul 2 petang hingga keesokannya dan hanya dibenarkan keluar untuk ke ladang dan kebun sahaja. 

Catuan makanan dibuat dengan dapur secara berpusat dilaksanakan bagi mengelakan bekalan makanan tersalur kepada komunis yang berada di kawasan hutan. Bekalan ubat-ubatan juga mulai terputus kepada komunis. 

Rancangan tersebut berjaya mengurangkan perhubungan komunis dan ancaman komunis kepada komuniti. Malah ada yang menyatakan ramai komunis yang mati kebuluran dan mulai menyerah diri. 

Namun, terdapat satu masalah yang masih ada. Pihak komunis akhirnya tersepit dan mula mendekati dan menguasai kawasan kampung Orang Asli seluruh negara kerana terletak di dalam kawasan pendalaman. 

Komunis mendapatkan bekalan makanan dari kampung-kampung Orang Asli dan pihak British agak sukar mengawalnya kerana faktor jauh di pendalaman. Malah Orang Asli juga menjadi penyampai maklumat ibarat telinga dan mata pihak komunis jika ada pergerakan pihak British di kawasan mereka. 

Pesuruhjaya Tinggi British Templer mula menyedari pendekatan pihak komunis yang beralih arah akibat tekanan dan kejayaan Rancangan Briggs itu dan menyifatkan 'Orang Asli adalah kunci kemenangan untuk melawan komunis'.

Beberapa penempatan orang asli di kawasan pendalaman dan hutan yang menjadi lokasi komunis mendapatkan makanan dan pertolongan dikenalpasti dan mula dibina pos kawalan bagi memastikan tiada hubungan pihak komunis dengan orang asli. 

Templer melancarkan satu gerakan iaitu "MEMENANGI HATI ORANG ASLI' dengan hanya mewujudkan Fort  di kawasan Orang Asli sebaliknya kawasan kampung yang  dimasuki bukan hanya dibina kawasan pentadbiran dan keselamatan tetapi pihak British juga membina klinik, sekolah dan meningkatan kemudahan asas sebagai sumbangan kepada Orang Asli terbabit.

Banyak Fort telah dibina oleh pihak British tetapi untuk yang berkaitan dengan Cameron Highlands saya akan kongsikan beberapa fort sahaja iaitu Fort Telanok dan Pos Brooke dan Fort Betau. 

Kini semua fort ini dinamakan  atau dikenali sebagai POS TELANOK, POS BETAU DAN POS BROOKE

POS TELANOK di kawasan Ulu Jelai yakni berdekatan dengan Empangan Susu dan Stesen Hidroelekrik  di mana di laluan baru Sungai Koyan - Pos Betau - Cameron Highlands. Jaraknya sekitar 49 km dari Pekan Tanah Rata melalui Ringlet dan Lembah Bertam.

Di keliling Pos Telanok terdapat beberapa buah Kampung Orang Asli seperti Kampung Orang Asli Teji, Kampung Orang Asli Tiat, Kampung Orang Asli Susu, Kampung Orang Asli Telanok, Kampung Orang Asli Cheros. Jauh sedikit adalah Kampung Orang Asli Terisu manakala sebelumnya adalah Pos Mensun yang dikeliling Kampung Orang Asli Rantau, Kampung Orang Asli Renglas, Kampung Orang Asli Abu dan  Kampung Orang Asli Leryar.

Kini terdapat sebuah sekolah, klinik desa dan juga Empangan Susu yang menyebabkan beberapa buah kampung seperti Kampung Susu dan Tiat dipindahkan dari kawasan Cameron Highlands melepasi sempadan Kuala Lipis bersebelahannya. Lama juga saya tidak ke sana.

Catatan lama saya mengenai kampung orang asli ini di SINI dan SINI

POS BETAU pula berada di kawasan Kuala Lipis iaitu kalau dari Cameron Highlands akan menuju laluan yang sama ke Pos Telanok tetapi dipenghujungnya masuk ke kawasan Pos Betau, Kuala Lipis. Pos ini tidak pernah saya pergi. 

Manakala POS BROOKE adalah di kawasan Lojing namun beberapa sumber yang saya baca menyatakan ianya 'dianggap di dalam kawasan Cameron Highlands' ketika itu.  Jadi jangan marah saya ya. Bukan saya kata. 

POS BROOKE adalah salah satu pos yang digunakan untuk melatih pasukan keselamatan khas untuk membanteras ancaman komunis. Satu lagi fort yang digunakan untuk melatih pasukan keselamatan adalah Fort Kemar di Grik. 

Jadi catatan ini sekadar nak ceritakan bagaimana wujudnya FORT atau POS sekitar Cameron Highlands sahaja. 

Catatan akan datang saya akan kongsikan mengenai Pos Betau dan Brooke. Nak baca rujukan lagi.

Catatan berkaitan Komunis di Cameron Highlands : 
  1. Komunis di Cameron Highlands 1973
  2. Komunis di Cameron Highlands 1973 ..2
  3. Cameron Highlands diistiharkan sebagai kawasan putih 1959
  4. Sejarah wujudnya 'Fort' di Cameron Highlands
  5. Fort Brooke di 'Cameron Highlands' 

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.