Wednesday, February 7, 2018

Komunis di Cameron Highlands 1973 Bahagian 2....

Sambungan kisah Komunis di Cameron Highlands bahagian dua. Cuma dalam bahagian dua ini tidak banyak pergerakan di sekitar daerah ini sebaliknya sudah ke Raub dan cubaan untuk masuk kembali ke Cameron Highlands selepas diserang pihak berkuasa. 

Bahagian 1 KOMUNIS DI CAMERON HIGHLANDS boleh anda baca di sini. Klik

***************************************

Ops Setia V - Memburu Chong Chor (2)

Kesemua 52 anggota pengganas komunis itu diturunkan oleh lori dipinggir hutan dekat Raub, Pahang. Disini, Unit Penggempur ke-6 PKM, dibawah pimpinan Chong Chor mendapat tambahan 4 lagi anggota baru. Atas faktor keselamatan, mereka dipecahkan kepada 2 kumpulan, 33 anggota dibawah Chong Chor dan lagi 21 anggota dibawah pimpinan Chong San. Mereka menuju ke Cheroh, dan setelah berjalan selama 20 hari mereka mendapati kesemua stok simpanan makanan mereka telah dimusnahkan oleh pasukan keselamatan. (Stok makanan mereka ditanam di dalam tanah - food dump).

Selepas dua hari meninggalkan Cheroh dan menuju ke Teras, mereka telah kehabisan bekalan makanan dan terpaksa memakan daging monyet. Beberapa hari kemudian mereka menemui kebun pisang dan memotong kira-kira 50 tandan pisang dalam masa sejam. Kerana kebuluran, sebahagian pisang dimakan disitu juga. Pekerja kebun pisang kemudian menjumpai banyak kesan kulit pisang yang ditinggalkan dan melaporkan kepada pasukan keselamatan. Disinilah menjadi permulaan pemburuan mereka oleh pasukan keselamatan.

Beberapa hari kemudian, pada 11 Jan 1974, berlaku pertempuran, pengganas komunis berundur setelah memasang jerangkap samar untuk melengahkan pergerakan pasukan keselamatan. Chong Chor bercadang menukar arah dari Teras menuju ke Tanjung Malim, tetapi Special Branch (SB) telah berfikir selangkah kehadapan, pasukan keselamatan dihantar ke Slim River dan Tanjung Malim.

Berlaku lagi pertempuran pada 13 Jan 1974 selama 20 minit, sebelum mereka melarikan diri. Keesokkannya mereka telah dihujani dengan tembakan artileri, peluru yang meletup pada semak samun kering telah membakar kawasan tersebut menjadikan musuh bertempiaran lari ke segenap arah. Pada waktu malam pula helikopter melepaskan flare, dan pada waktu siangnya pula menggugurkan risalah menawarkan pengampunan jika pengganas komunis menyerah diri.

Akhirnya pada 26 Jan 1974, Chong Chor dan pasukannya tiba di Tanjung Malim. Dalam usaha mencari makanan, pasukannya diserang hendap oleh pasukan keselamatan, membunuh seorang dan mencederakan lagi dua anggotanya.

Mereka kemudian melarikan diri ke Ulu Slim, disana dua anggota pasukannya yang mencari makanan telah tidak kembali. Pada malam yang sama, kedudukan mereka telah diserang dengan tembakan mortar. Pada ketika ini, mereka telah kebuluran dan hilang arah. Seorang anggota mereka mati kelaparan, mayatnya dibungkus dengan plastik dan ditanam dibawah pokok besar.

Mereka kemudiannya berpecah kepada 2 pasukan untuk mengelirukan pasukan keselamatan, 8 orang yang diketuai Yit Meow menuju ke utara (Cameron Highlands) dan Chong Chor bersama 13 orang menuju ke selatan, kembali ke Pahang. Pergerakan menjadi semakin sukar kerana muka bumi yang berbukit bukau, serta mereka dalam keadaan kebuluran. Mereka bergantung kepada tumbuhan dan daging monyet, adakalanya dimakan mentah-mentah kerana terlalu lapar.

Ketika ini, radio operator mereka mati kebuluran. Mereka tiada tenaga lagi untuk menggali kubur, sebaliknya mayat dibungkus dengan plastik dan ditinggalkan dibawah pokok, bersama-sama dengan radio dan senjata kerana tiada siapa lagi yang mampu untuk menggalas peralatan tersebut. Dua hari kemudian, seorang lagi tidak mampu untuk bergerak, dia diberi makan 4 butir pil tidur dan mati 15 minit setelah memakan pil-pil tersebut. Sehingga 19 Feb 1974, dua orang lagi telah mati kebuluran.

Sembilan hari kemudian, mereka menemui buah kelihatan seperti buah nangka. Mereka pun makan buah tersebut setelah melihat beberapa ekor monyet memakannya. Mereka memakan buah dan biji sekali, yang menyebabkan mereka keracunan. Mereka muntah-muntah dan bergulingan seolah-oleh diserang histeria tanpa dapat dikawal, sehingga ada yang koma.

Menjelang 28 Feb 1974, hanya 4 orang yang masih hidup. See Hong, yang koma selama 3 hari selepas memakan buah tersebut, terlalu lemah dan ditinggalkan. Dia kemudian mengagahkan diri bergerak menuju ke kawasan pembalakan, dimana dia diselamatkan dan diserahkan kepada pihak Polis di Raub.

Di dalam bukunya, "I Want to Live", dia menceritakan pengalamannya, dimana pada malam sebelum dia ditinggalkan, dia ternampak Chong Chor dan isterinya sedang memakan makanan di dalam tin. Dia sangat terkejut kerana Chong Chor sanggup membiarkan anggotanya mati kebuluran, sedangkan dia mempunyai bekalan makanan yang disimpan untuk isteri dan dirinya sendiri.

Ketika di soal siasat semasa penangkapannya, Chong Chor menceritakan yang dia terjumpa tin-tin makanan yang ditinggalkan oleh anggota pasukan keselamatan. Setiap kali mereka menemui bekas pangkalan sementara pasukan keselamatan, beliau akan menguis tanah dengan jari-jarinya di kawasan yang dijangka ada lebihan makanan yang telah dikambus oleh pasukan keselamatan, tanpa dilihat oleh pengganas komunis yang lain. Jika berjaya menemui tin makanan yang belum dibuka, dia akan menyorokkan dari pengetahuan anggota pasukannya.

Bersambung .....


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.