Tuesday, December 26, 2017

Sesak ke Cameron Highlands ketika Cuti Krismas 2017?

Catatan ini sekadar nak mengarkibkan kejadian kesesakan jalan raya ketika hari cuti puncak baru-baru ini iaitu pada 23-25 Disember 2017 yakni cuti Hari Krismas.

Memang sangat sesak. Saya sendiri tak keluar rumah sepanjang dua hari puncak yakni Ahad dan Isnin kerana tak mahu nak tempuh kesesakan jalan raya. Hanya pada malam Sabtu saya sekeluarga berjalan ke sekitar Pekan Tanah Rata dengan berjalan kaki. Mujur rumah dalam pekan. 

Cuma saya membaca keluh kesah pelancong dan juga orang tempatan dalam facebook komuniti yang ada di sini. Nak kesian ada dan tak nak simpati pun ada kerana anda mempunyai pilihan untuk membuat keputusan bercuti ke sini semasa musim cuti puncak ini.

Bukan seorang dua yang telah berkongsikan nasihat supaya tidak datang bercuti ke sini pada mana-mana musim cuti puncak. Dan akhirnya anda yang membuat keputusan yang terbaik untuk anda. 

Jadi saya sekadar nak simpan koleksi kesesakan ini sahaja untuk rujukan di masa hadapan khasnya imej Google Maps yang nampak merah belaka sebagai tanda kesesakan di laluan yang ada di Cameron Highlands. 



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Friday, December 22, 2017

Tips Bercuti di Cameron Highlands Semasa Cuti Krismas 2017


Hari ini Jumaat, 22 Disember 2017 sehingga Isnin depan adalah hari cuti puncak di Cameron Highlands. Ianya amat jelas dan tak perlu dipersoalkan lagi kerana faktor berikut:
  • Musim Cuti sekolah malah ianya minggu terakhir cuti sekolah.
  • Cuti hujung minggu bersambung pada hari Isnin untuk Cuti Umum Krismas
  • Lepas gaji dan mungkin ada terima bonus...
Jadi bagi anda yang dah merancang percutian ke Cameron Highlands pada minggu ini, saya kongsikan beberapa tips syok sendiri kalau boleh diterima pakai:
  1. Buat tempahan awal penginapan anda. Jangan main serbu dan berharap akan dapat penginapan dengan mudah atau murah. Ini adalah musim cuti puncak.
  2. Elakan memilih penginapan di dua atau tiga lokasi berbeza dalam tempoh percutian anda. Contohnya anda memilih hotel a di hari pertama dan hotel b di hari kedua dan homestay C di hari ketiga. Anda hanya membuang masa untuk check in dan check out dan check in dan check out dan check in dan check out sahaja. Ada orang suka nak menikmati suasana penginapan yang berbeza dalam tempoh percutian namun ianya tidak berbaloi di sini. 
  3. Buat rancangan perjalanan anda sebaik mungkin. Rancang dan atur lokasi persinggahan anda mengikut laluan anda tempuhi. Jangan melompat lokasi ke sana sini kerana anda akan rugi dalam kesesakan trafik perjalanan sahaja. 
  4. Jangan buang masa awal pagi dengan bangun lewat jika ingin ke lokasi lawatan yang jauh. Contohnya anda nak ke ladang teh Sungei Palas tetapi anda keluar hotel atau homestay anda selepas pukul 11 pagi. Anda akan terperangkap dalam kesesakan jalan. Sebaiknya anda ke kawasan yang atas dahulu bagi menikmati kelancaran trafik awal pagi dan apabila pulang anda melawan arus kesesakan.  
  5. Rancang perjalanan anda dalam pakej yang serentak seperti makan dan minum dalam dalam lokasi lawatan yang sama. Contohnya untuk sarapan pagi pilih kedai atau gerai yang dalam perjalanan anda bukannya ke food court dahulu baru nak berjalan. Anda akan terperangkap dalam kesesakan sebaik sahaja anda kenyang tetapi kemudian lapar balik sebab dalam kereta sahaja. Sebaiknya jika ada cafe dalam lokasi lawatan anda, anda boleh makan dan minum di situ sahaja berbanding nak cari kedai makan, restoran ataupun cafe lain.
  6. Nak tahu status kesesakan jalan raya di sini. JANGAN TANYA MAK SENAH DI PAPUA NEW GUINEA... gunakan aplikasi WAZE atau GOOGLE MAP. Kalau dah ditandakan merah menyala tu jangan la nak redah jugak. Atur kembali perjalanan anda ke kawasan yang tidak sesak... itupun jika ada... Kadang-kala pertanyaan anda di laman faecbook akan dijadikan gurauan pembaca lain apabila menjawabnya. 
  7. Kalau nak makan minum, jangan berlagak diva tak mahu periksa dahulu harga makanan yang ditawarkan. Jangan dah perut membuntal nanti baru nak buat aksi terperanjat boboi pula masa nak membayarnya. Kemudian anda viralkan di facebook.... Pemilik kedai ramai juga yang tahu dan aktif berfacebook dan ada yang mengambil hati dengan komen tak membina anda yang jelas silapnya akibat tidak bertanya harga atau tidak mengambil tahu harga di dalam menu.  Kan nanti dah berbalas mesej dalam facebook anda pula. 
  8. Bab memandu jangan nak buat macam jalan tu jalan kampung anda. Anda mungkin seorang samseng di kawasan kampung anda tapi anda perlu sedar ada lebih ramai samseng kampung lain yang sedang bercuti di Cameron Highlands ketika ini yang anda tak tahu level kesamsengan mereka. Samseng tempatan selalunya malas nak kisah sangat tapi jangan pula dicucuk punggung samseng-samseng ini. Dalam bahasa yang lembut, jangan tidak bersopan di jalan raya di sini.
  9. Jangan cepat nak VIRAL itu ini mengenai sikap pemandu ataupun pengunjung yang lain tanpa ada bukti kukuh. Antaranya anda nampak ada kereta yang parkir tak betul atau mengambil dua tapak parkir dan kisah sebenarnya tidak pula anda ketahui tetapi lebih suka nak kongsikan di facebook dengan kata selamat 'saya berfikiran positif atau bersangka baik' walhal anda sebenarnya telah mencipta persepsi untuk orang membuat komen negatif semata-mata maklumat tak lengkap. Anda memburukkan orang tanpa menyelidiki dahulu biarpun anda kata tanpa niat tapi gambar yang anda letakan hampir 80 peratus dapat memberikan gambaran. Lihat komen orang-orang yang memberikan maklum balas di mana mereka mengutuk tanpa periksa juga. Mereka caci dan tulis kata nista kepada pemilik kereta tersebut setelah hanya membaca dan melihat post orang tanpa menyelidiki samada benar atau tidak. Silap hari bulan, orang yang anda fitnah itu mencari anda ketika bercuti di sini.Tenang kan.....
Sikit sahajalah sebab anda pasti dah mahir bercuti. Antara lain juga adalah pilihan beberapa catatan lama saya di blog ini yang mungkin juga berguna: 


Selamat bercuti di musim cuti puncak.... banyakan bersabar... bertabahlah ... 

Thursday, December 21, 2017

Pilihan Bersteamboat di Cameron Highlands?

Saya pernah kongsikan antara aktiviti malam di Cameron Highlands adalah menikmati steamboat.

Ianya makanan panas yang menjadi sesuai untuk dinikmati di dalam suasana dingin di sini.

Semalam saya menikmati steamboat di PDM Cafe di Kampung Taman Sedia. Saje nak mencuba di cafe baru. 

Selalunya saya sekeluarga akan ke De Bambo Grill  and Steamboat  juga di Kampung Taman sedia. 

Semalam kami mencuba set 4 orang dengan harga RM 59. Saya dan isteri ada mencongak harga steamboat di Cameron Highlands yang pernah kami nikmati. 

Tadi, Facebook Ijak Starang ada pula kongsikan senaraian harga steamboat di Cameron Highlands. 

Kena pula dengan niat saya semalam. Jadi saya kongsikan info dari Facebook Ijak Starang sebagai rujukan anda.


Selepas malam tadi, De Bambo Grill and Steamboat nampaknya masih kekal pilihan utama kami sekeluarga. Cuma tak salah nak rasa di cafe baru.

Sent from my S7edge smartphone

Thursday, December 14, 2017

RM 318 juta Industri Pelancongan Cameron Highlands 2016....????

Ketika saya meneliti cetakan Penyiasatan Pelancongan Domestik 2016 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia yang dikeluarkan pada 30 Jun 2016, saya dapati istilah 'Pelancongan Domestik' itu meliputi semua pelancong baik tempatan dan asing yang melakukan perjalanan dan pelancongan domestik iaitu setempat dalam negara.


Catatan terdahulu adalah untuk PERBELANJAAN PELANCONG DOMESTIK DI CAMERON HIGHLANDS 2015. 

Purata perbelanjaan yang direkodkan oleh seorang pelancong domestik pada tahun 2016 adalah RM 315 seorang yakni meningkat dari purata perbelanjaan pelancong domestik pada tahun 2015 sebanyak 9.4%. 

Jika ini diambil kira dengan jumlah pelancong ke Cameron Highlands pada tahun 2016, saya cuba buat analisa ringkas sekali lagi dan mungkin angka ini sedikit mengambarkan nilai perbelanjaan yang telah disumbangkan oleh pelancong di daerah ini. 

Namun harus diingat, purata perbelanjaan pelancongan domestik ini adalah 'purata nasional' bukannya khusus untuk Daerah Cameron Highlands tapi rasanya sudah cukup sebagai atau sekadar gambaran ringkas janaan ekonomi industri pelancongan tahunan:
  • Jumlah pelancong ke Cameron Highlands 2016 : 1,007,992 
  • Purata Perbelanjaan pelancong domestik  2016: RM 315 (meningkat 9.4 % dari tahun 2015)
  • Jumlah anggaran perbelanjaan pelancong domestik di Cameron Highlands 2016: RM 317,495,430
'TIGA RATUS TUJUH BELAS JUTA EMPAT RATUS SEMBILAN PULUH LIMA RIBU EMPAT RATUS TIGA PULUH RINGGIT'  

Bayangkan pada tahun 2016, Cameron Highlands telah menerima secara purata nasional perbelanjaan dan janaan ekonomi secara tidak langsung secara analisa ringkasnya seperti berikut:
  • Purata Perbelanjaan harian pelancong : RM 869,910.00
  • Purata Perbelanjaan mingguan pelancong : RM 6.089 juta
  • Purata Perbelanjaan bulanan pelancong: RM 24.36 juta
Kalau saya nak sedikit nakal sikit, jumlah penduduk Cameron Highlands adalah 36,000 dan jika jumlah  ini dibahagikan sama rata dengan maka, setiap penduduk Cameron Highlands akan menerima sebanyak RM 8,833 seorang. Malangnya bukan semua yang terlibat dan anda bayangkan berapa yang benar-benar terlibat mendapat faedah dari industri pelancongan ini.

Persoalan sama saya, berapakah perbelanjaan anda semasa bercuti di sini tahun 2016?

(Jumlah angka di atas adalah darab dan sifir mudah sahaja, bukan data stastik yang tepat menggunakan kaedah stastik yang khusus, jadi jangan digunakan sebagai data rasmi ya)

Sumber rujukan:

Wednesday, December 13, 2017

Papan Maklumat Pelancongan MDCH di Tanah Rata



Yang tertanya-tanya mana nak pergi untuk melawat sekitar Cameron Highlands, Majlis Daerah Cameron Highlands telah menyediakan papan maklumat pelancongan di Tanah Rata iaitu dihadapan Agro Bank dan di Terminal Fressia.


Ringkas sahaja peta perlancongan tersebut tetapi berguna sebagai panduan asas untuk merancang perjalanan anda  kelak.

Saya lihat ramai juga pelancong yang menggunakan maklumat yang terpapar di papan tanda ini untuk mengetahui apa yang menarik yang boleh  mereka lawati. Namun ada kekurangan kemaskinii kawasan lawatan maklumlah perkembangan di sini agak pantas.



Juga di bahagian belakangnya terdapat maklumat sejarah pembukaan Cameron Highland. Nak kenal Mr. Cameron sebenar? Boleh tengok gambarnya di situ. 


Untuk kawasan Brinchang, belum lagi nampak akan dibina papan tanda seumpamanya akan dibina untuk kemudahan pelancong setakat ini. Mungkin MDCH dah ada perancangan. 

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Monday, December 11, 2017

RM 260 Juta industri pelancongan di Cameron Highlands 2015...???

Semasa terperangkap dalam kesesakan jalan raya di Tanah Rata tadi, saya terfikirkan sesuatu di sebalik kesesakan tersebut.

Ini adalah petanda baiknya sumber dan hasil ekonomi yang sedang dijana dengan kehadiran pelancong ke Cameron Highlands.

Biarpun kesannya sedikit merimaskan seperti jalan yang sesak dan kepadatan orang ramai, namun harus kita akui ada sumbangan yang tidak kita sedari kepada ekonomi tempatan dan juga negara berbanding jika hanya pekan yang kosong dan tidak menjana apa-apa.

(Catatan ini telah dikemaskini mengikut sumber terbaru)


Cuma saya terfikir pula berapa pula hasil sumbangan dan janaan ekonomi dari industri perlancongan ini kepada Daerah Cameron Highlands setelah menerima kehadiran 904,899 pelancong pada tahun 2015.

Menarik untuk dikaji...  jom cari data.. anda ada sumbernya? Jika ada, kongsikan di ruangan komen sementara saya mencari sedikit data berkaitan..

Mengikut statistik dari Jabatan Perangkaan Malaysia melalui laporan Penyiasatan  Pelancongan Domestik 2015 bertarikh 30 Jun 2016, pelancong domestik atau tempatan membelanjakan  purata RM 288 seorang dengan purata penginapan 2.3 hari.

Jadi jika saya membuat darab dan sifir mudah dari perangkaan sumber di atas, Cameron Highlands menerima purata seperti berikut dari pelancong tempatan;
  • Jumlah Pelancong Domestic ke Cameron Highlands 2015: 904,899 orang 
  • Jumlah purata perbelanjaan pelancong domestik: RM 288 seorang 
  • Anggaran Jumlah perbelanjaan tahunan pelancong domestik ke Cameron Highlands : RM 260,610,912
"DUA RATUS ENAM PULUH JUTA ENAM RATUS SEPULUH RIBU SEMBILAN RATUS DUA BELAS RINGGIT"

Banyaknyaa..... Baru pelancong tempatan... pelancong asing belum lagi....

Jangkaan dan analisa di atas ikut syok sendiri sahaja ya. Jangan anda gunakan pula buat laporan dan tesis. Cuma sifir dan darab mudah sahaja buka sebarang formula statisik yang sebenar.

Persoalannya, berapa perbelanjaan anda semasa bercuti ke sini?

Untuk tahun 2016, analisa ringkas saya dalam CATATAN JUMLAH PERBELANJAAN PELANCONG DOMESTIK 2016. 

Sumber catatan :

Jalan sesak lagi ke di Cameron Highlands 11 Disember 2017?

Hari ini 11 Disember 2017, Hari Isnin dan keadaan jalan raya di Cameron Highlands masih sesak sepanjang laluan dari Tanah Rata ke Kea Farm. 


Kenapa masih sesak pada hari Isnin ? Sebab utama adalah Selangor sedang bercuti sempena Hari keputeraan DYMM Sultan Selangor.

Jadi tak pelik sangat kan. Kepada yang sedang mengalami kesesakan jalan raya, saya ucapkan bersabarlah ya. Tapi memandangkan majoriti dari Selangor dan pastinya Kuala Lumpur dan sekitarnya, terperangkap dalam kesesakan bukanlah sesuatu yang pelik dan luarbiasa. 

Alah bisa tegar biasa kan kalau bab sesak di jalan raya kan? Sabor ajelah ya...

Tanah Rata mengalami kesesakan teruk juga tengahari tadi sehinggakan tidak bergerak. Antara punca menyebabkan kesesakan adalah aliran trafik yang tidak lancar di persimpangan di hadapan Klinik Ibu dan Anak ke Persiaran Dayang Endah. 


Juga di kawasan persimpangan masuk ke Jalan Perdah di sebelah Planter Hotel ke Pasar Tanah Rata atau Brij Court atau kawasan di dalamnya  yang mana jika ada kereta yang hendak masuk, pasti akan memberhentikan laluan dibelakngnya kerana tiada susur tepi untuk menyuraikan trafik yang ingin terus di laluan utama. 

Jom bagi pendapat dan cadangan kepada Majlis Daerah Cameron Highlands untuk cadangan membina susur tepi di depan Hotel Planters. Kalau laluan tersebut di bawah JKR tak apa, sebab MDCH mempunyai hubungan yang baik di antara agensi kerajaan berbanding kita yang tidak akan dapat hadir dalam Mesyuarat Tindakan Daerah setiap bulan. Kita bagi pendapat sahaja. 

Jom layan suasana aliran trafik hari ini dari Google Maps. Layan sumber yang boleh dipercayai ini selain WAZE di telepon anda. Jangan tanya Mak Cik Senah di Papua New Guinea untuk keadaan trafik di sini ya.  Klik
Pukul 12 tengahari
Pukul 6 petang


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sunday, December 10, 2017

Karnival Usahawan Cameron Highlands 2017 @ Tanah Rata

Sedang berlangsung sekarang adalah Karnival Usahawan Cameron Highlands di Tanah Rata sebagai pengisian aktiviti musim cuti sekolah Disember 2017.


Apa yang menarik di karnival ini ? Bagi saya biasa-biasa sahaja. Antara gerai jualan adalah seperti beg, baju jersey, baju harian, akesori telepon. karpet, baju bundle dan  mainan kanak-kanak.

Dan seperti biasa juga Gerai Makan Sup Utara  yang lebih menjadi tumpuan kami penduduk tempatan untuk makan minum sebagai kelainan selera sedikit.


Lokasi kali ini di Tanah Rata iaitu di Tempat Meletak Kereta Majlis Daerah Cameron Highlands iaitu jalan  masuknya melalui Laluan masuk ke Pejabat MDCH berhadapan dengan Maybank atau anda boleh masuk dari arah Dataran Tanah Rata iaitu kawasan parking utama di Pekan Tanah Rata berhadapan dengan Starbuck. 

Saya setuju dengan tapak ini kerana tidak menyumbang kepada kesesakan lalulintas berbanding dengan lokasi dua tiga tahun yang lalu.


Saya ok aje dengan karnival ini sebab ada juga aktiviti di Tanah Rata kali ini berbanding tahun lepas dan sebenarnya tahun lepas telah diadakan di Brinchang sebelah dengan Tapak Pasar Malam Lama Brinchang atas nama Karnival Kesenian dan Kebudayaan Negeri Pahang.  Tapi tapak popular ini tidak boleh digunakan lagi akibat kerja-kerja pembangunan yang sedang berlangsung.

Istimewanya tahun ini, anda akan dihiburkan persembahan nyanyian oleh Cameron Busker setiap malam. Kipidap ..  



Gangguan Bekalan Elektrik di Cameron Highlands 13 Disember 2017


Saya menerima maklumat dari rakan facebook mengenai gangguan bekalan elektrik  pada 13 Disember 2017 bermula 12.01 pagi hingga 6 pagi

Kalau tak silap saya, ini adalah rutin tahunan mereka iaitu selenggaraan di PMU BINTANG yang berdekatan dengan Dewan MDCH Jalan Tengkolok.

Waktu gangguan tidak menjadi masalah kerana waktu tidur dan tak payah nak risau aircond tak ada lagipun suiz aircond pun tak jumpa kan....

Cuma buatlah apa persediaan yang patut. Hubungi TNB Cameron Highlands untuk pertanyaan lanjut. Saya kongsikan maklumat aje ni.. 

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Suasana seksa di jalan raya di Cameron Highlands

Hari ini 10 Disember 2017, Ahad dan seperti dijangka setiap Sabtu dan Ahad  di musim cuti sekolah panjang bulan disember ini, kesesakan teruk di jalan raya sekitar Cameron Highlands akan berlaku. 

Kalau tengok dari Google Map semuanya merah sahaja menandakan kesesakan teruk. Malah anggaran masa dari Tanah Rata ke Brinchang menunjukan 1 jam 45 minit perjalanan sejauh kurang 4 kilometer berbanding masa biasa sekitar 8 minit sahaja.


Dan tak usahlah tanya kenapa jalan sesak di hadapan anda kerana terang lagi bersuluh banyak kereta dan laluan tunggal ke seluruh kawasan tumpuan pelancong. 

Ramai sangat ke pelancong ke Cameron Highlands hujung minggu ini. Anda rasa? Saya cuba hadam sedikit data yang telah saya kongsikan dalam catatan awal saya mengenai jumlah kehadiran pelancong ke Cameron Highlands. Klik catatan dibawah:


Untuk mengambarkan kesesakan yang berlaku di Cameron Highlands, saya pinjam gambar-gambar yang dikongsikan oleh pelancong yang berada di atas jalan ketika ini.

Rasanya tak banyak beza dengan catatan lama saya mengenai LOKASI KESESAKAN JALAN RAYA DI CAMERON HIGHLANDS.   

Juga kalau nak tahu keadaan semasa lokasi yang terlibat dengan kesesakan, anda boleh tanya secara langsung di facebook komuniti di sini atau lebih mudah gunakan aplikasi di telepon pintar anda. Caranya anda dan ramai lagi dah tahu, cuma saya ada memandai syok sendiri sikit buat CATATAN SESAK DI CAMERON HIGHLANDS .

Selamat menjamu selera roti bersapukan jem strwaberry.... Sabooor ajelah ...












Sesak ke Jalan di Cameron Highlands hari ini?

gambar carian status trafik dari Google Maps. Anda memerlukan 1 jam 29 minit untuk perjalanan
dari Tanah Rata ke Kea Farm

Satu lagi soalan paling popular setiap hati ditanya oleh halal pelancong ke Cameron Highlands dalam mana-mana laman facebook komuniti di sini. 

Dan jawapan segera akan diberikan oleh rakan ahli yang lain. 

Cuma ada satu dua cara lain yang lebih mudah untuk anda mengetahui keadaan trafik semasa di mana-mana lokasi di dunia. 

1. WAZE
Aplikasi trafic yang paling popular rasanya. Anda akan dimaklumkan jarak perjalanan, masa yang akan ditempuhi dan situasi yang sedang berlaku di laluan anda nak tuju itu. Jika ada kemalangan pun akan dikemaskinikan dalam aplikasi anda malah akan dicadangkan laluan lain.

2.GOOGLE MAP
Sama seperti Waze fungsinya. Semua maklumat perjalanan dan arah laluan anda dimaklumkan dan diberikan cadangan laluan alternatf. 

Kedua-dua aplikasi di atas adalah percuma. Mudah dimuaturunkan ke telepon anda. 

Jadi anda boleh gunakan bila-bila masa untuk membantu membuat perancangan percutian anda. dengan sangat mudah. 

Namun kalau nak tanya di facebook pun boleh sahaja. Tak ada masalah. 


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Pasar Malam Cameron Highlands dibuka sepanjang cuti sekolah ?

Soalan di atas adalah antara soalan yang sering ditanya oleh bakal pelancong ke Cameron Highlands sepanjang sesi cuti sekolah bulan Disember 2017 ini.


Sebab utama, kalau minggu biasa, waktu dan hari operasi perniagaan pasar malam adalah hari Jumaat dan Sabtu sahaja.

Tetapi untuk sepanjang cuti sekolah Malaysia tidak kira bila, waktu operasi pasar malam adalah setiap hari bermula pukul 3 petang hingga 10.30 malam.

Lokasinya di GOLDEN HILLS, SUNGAI RUIL. Tak tahu nak ke sana, Klik sahaja catatan lama saya di bawah ini serta catatan informasi berkaitannya:

Semoga catatan ini membantu anda..

Saturday, December 9, 2017

Kea Garden @ Kea Farm

Saya kongsikan kunjungan kami sekeluarga sekitar Kea Garden di Kea Farm bulan lepas.

Sisi ini kurang terkenal atau diketahui oleh pengunjung Kea Farm kerana tumpuan utama adalah membeli sayur-sayuran di Kea Farm. Jadi ramai yang teruja nak membeli belah sahaja di sana tanpa sedar dipenghujungnya ada satu tarikan lagi untuk disinggahi. 

Untuk ke KEA GARDEN, anda hanya perlu terus masuk ke dalam laluan Kea Farm dan terdapat pintu masuk KEA GARDEN 5D dihadapannya. 

Terdapat ruang meletak kereta bertingkat yang mana anda boleh meletak kereta dengan harga RM 3 sahaja dan ini lebih baik dari anda letak kereta di sekitar luar Kea Farm. Lebih selesa di sini dan mudah.

Apa yang ada di sini?

5D ART MESEUM 
Muzium animasi seni 5D yang mana anda boleh melihat karya seni bercorak 5 dimensi  dan pastinya menarik. Cuma saya tak masuk pun. 

Tiket masuk RM 20 bagi dewasa dan RM 10 untuk kanak-kanak. Antara sebab saya tak masuk. 

Kalau tak masuk 5D Art Museum ini, sekadar nak bagi anak-anak seronok adalah taman tema bewarna sebelahnya. Saya tak pasti apa pula namanya sebab saya masuk ikut belakang dengan bayaran RM 1 seorang. Kalau masuk 5D art Museum tu dah termasuk dalam pakej mereka.

Gambar di bawah ya. Anda boleh naik ke sini dari pintu belakangnya dengan menggunakan tangga berputar di hadapan Cafe Sinar Hijjaz. 



BAZAR JUALAN
Sebelah laluan masuk ke sini ada Bazar Jualan sayuran dan bunga-bungaan untuk anda singgah. Namun dah sebab tarikan jualan sayuran di luar lebih kuat dan popular saya mendapati bazar ini agak suram pula sambutannya.  


Cuma dihujungnya ada Cafe Sinar Hijaz yang mana saya sangat cadangkan anda memilih cafe ini untuk menjamu selera selepas penat membeli belah di Kea Farm. 


Ianya selesa, luas, pemandangan menarik ke arah Hotel Copthorne  dan mempunyai kawasan makan yang luas dan menu yang ringkas. Paling penting ianya halal sebab diusahakan oleh pengusaha Muslim. 

Terdapat satu lagi cafe dibahagian bawah Kea Garden namun rasanya diusahakan oleh pengusaha bukan muslim namun saya tidak pula melarang untuk ke sana. Tepuk dada tanya selera ....


KEA GARDEN GUEST HOUSE
Nak menginap di kawasan Kea Farm, saya cadangkan anda memilih Kea Garden Guest House ini. Sebabnya ianya dekat dengan Kea Farm dan keduanya ianya nampak cantik juga dengan hiasan lanskapnya dalam kawasan tertutup ini. 


Cuma kawasan ini agak sunyi di waktu malam tapi tiada masalah sebab untuk keluar masuk ke kawasan lain di waktu malam memang agak lancar kerana trafik dah tidak sesak. 

Kadar harga semalam bermula dari RM 208 hingga RM 348 semalam. Anda perlu google untuk maklumat lanjut dan urusan selebihnya. Gambar-gambar pun banyak yang menarik berbanding gambar yang saya ada ini. 

Tak sempat nak ambil gambar kat sana. Tak perasan tak de gambar rupanya. 


Jadi, KEA GARDEN boleh anda masukan dalam lokasi persinggahan anda. Lagipun anda pasti ke Kea Farm kan.... TIPS UTAMA SAYA .. letak kereta di sini.. Lebih selamat, selesa dan mudah. Serta tak payah nak berlawan dengan undang-undang bila di saman sebab meletak kereta tepi jalan.

Yang ingin mencari penginapan anda kelak, kami ada menawarkan khidmat homestay & apartment percutian di ZAHRA HOMESTAY & APARTMENT ... klik di SINI

Rose Centre @ Kea Farm

Saya sekadar nak kongsikan sekitar kunjungan saya sekeluarga ke Rose Centre di Kea Farm bulan lepas.


Sebenarnya ini adalah kunjungan pertama keluarga saya ke sini walaupun dah 11 tahun menetap di Cameron Highlands dan untuk saya ini kali kedua setelah kali pertama memasuki Rose Centre pada tahun 2001 yang lalu. 


Rose Centre terletak di Kea Farm. Kalau anda nak ke sini anda kena melalui laluan  gerai-gerai di Kea Farm dan terus ke bahagian dalam di mana sepanjang laluan adalah kawasan kebun sayur tradisional dan rumah-rumah petani di sini. Unik kerana pemandangannya agak menarik dan lain dari yang lain.  


Tiket masuk RM 6 untuk dewasa dan RM 4 untuk kanak-kanak dan dibuka setiap hari. 

Apa yang menarik di sini? 


Dah namanya Rose Centre jadi, tarikan utama adalah koleksi bunga rose namun secara peribadi ketika kunjungan saya kurang menarik koleksi mereka kerana banyak bunga rose yang tidak terjaga. 


Keduanya di sini adalah penambah nilai seperti lanskap tambahan dan miniature yang dibina. 


Namun kunjungan untuk golongan warga emas atau OKU agak tidak sesuai kerana ianya bertingkat-tingkat dan berteres-teres yang memerlukan pendakian dari stau teres ke teres berikutnya. 


Pemandangan di puncak Rose Centre adalah sekitar Kea Farm dan memang berbeza sedikit pemandangannya. 


Malah jika anda perasan, ini lah kawasan atau lokasi filem The Journey dirakamkan dengan laluan ke pondok dan juga laluan pejalan kakinya. 

Selebihnya saya kongsikan sahaja koleksi gambar kami ke sana. Cuma saya tak kongsikan gambar dari segi kormesial ya. Anda boleh google untuk melihat gambar sebegitu. Bukan apa, dok mendokong si anak kecil naik ke atas dah tak larat nak ambil gambar.