Tuesday, October 24, 2017

Ke Arah Malaysia Yang Lebih Kuat dan Berdaya Saing



Blog saya ini sebenarnya sebahagan cara saya membuat simpanan catatan ataupun bagaikan 'arkib' untuk saya simpan dan rujuk kemudian hari atau tak sempat nak hadam sepenuhnya apa juga isu 

Jadi saya temui catatan ini dan saya pilih untk simpan dulu. Banyak fakta nak hadam ni dan boleh dirujuk kemudian.

******

1. Semakin kita menghampiri Bajet 2018, saya ingin berkongsi cabaran yang telah Malaysia hadapi beberapa tahun kebelakangan ini, dan bagaimana usaha telah dilakukan untuk memacu negara ke arah masa depan yang makmur, mampan dan inklusif untuk semua.
2. Saya ingin ambil kesempatan ini untuk menerangkan pandangan saya sebelum pembentangan Bajet pada Jumaat ini serta perancangan yang bakal diumumkan, untuk manfaat rakyat Malaysia.
3. Penglibatan saya ke dunia politik adalah secara mengejut dan tidak dirancang selepas pemergian ayahanda saya, Tun Abdul Razak Hussein, ketika saya berusia 23 tahun.
4. Allahyarham merupakan idola saya, melihat pencapaian dan dedikasi berterusan beliau untuk melihat kemajuan negara serta rakyat Malaysia. Lantas, matlamat saya dalam hidup adalah melakukan yang terbaik untuk mengikuti jejak langkahnya dan berkhidmat demi negara.
5. Seperti Allahyarham Ayahanda, saya juga bercita-cita meletakkan Malaysia di pentas global; dan menjadi antara 20 negara teratas di dunia menjelang 2050. Tiada pencapaian yang lebih hebat daripada meletakkan Malaysia di landasan terbaik untuk masa depannya. Itulah visi saya untuk inisiatif Transformasi Nasional 2050 (TN50).
6. Dan kini kita telah berjaya mencapai pelbagai kemajuan. Itulah sebabnya Bank Dunia memberi sokongan terhadap apa yang dilakukan oleh Kerajaan, dan menyatakan dalam laporan negara terkini mereka bahawa: “Ekonomi Malaysia sedang berkembang dari kedudukan yang kukuh.”
7. Walau bagaimanapun, ketika saya menjadi Perdana Menteri pada tahun 2009, cabaran ekonomi yang kita hadapi adalah amat besar. Semasa saya mengambil alih jawatan tertinggi negara pada April tahun itu, kita sedang berada di tengah kemelesetan global yang paling teruk sejak tahun 1930-an. Dasar ekonomi terbuka dan kebergantungan kita kepada perdagangan antarabangsa menyebabkan Malaysia terjejas teruk. Eksport kita menurun 20% sementara ekonomi kita menguncup dengan ketara sebanyak 6.2% pada suku pertama tahun 2009.
8. Kita dibelenggu oleh isu-isu struktur dan legasi serius, dan ini antara lain mengakibatkan gaji rendah yang gagal menyaingi inflasi, harga kereta yang mahal, kadar kemiskinan yang tinggi, ketidaksamaan pendapatan, kenaikan kadar tol lebuh raya yang kerap, penurunan standard pendidikan, pengangkutan awam yang teruk, perjanjian Loji Kuasa Bebas (IPP) yang berat sebelah, serta kapitalisme kroni yang berleluasa. Kesemua ini memberi kesan buruk terhadap kebajikan rakyat.
9. Kita juga terlalu bergantung kepada minyak, gas dan komoditi, manakala pembangunan negara tidak sama rata, dengan Sabah, Sarawak dan Negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia ketinggalan. Situasi ini memerlukan tindakan tegas dan hala tuju yang jelas.
10. Oleh itu, tindakan pertama yang kita lakukan adalah untuk segera melaksanakan dua pakej rangsangan ekonomi besar bernilai RM67 bilion bagi menyalurkan wang ke dalam ekonomi kita, demi memulihkannya dan menyelamatkannya dari penguncupan yang lebih mendalam.
11. Melalui tindakan ini, kita berjaya menyelamatkan rakyat Malaysia daripada kesengsaraan melalui kemelesetan teruk, sepertimana yang berlaku pada 1997. Waktu itu, Bursa Saham Kuala Lumpur jatuh lebih daripada 50 peratus, beribu-ribu kehilangan pekerjaan, perniagaan bankrap, dan ramai menderita.
12. Kemelesetan Global 2008-2009 telah memberi kesan cukup mendalam kepada banyak negara, termasuk negara maju yang masih belum pulih hingga hari ini. Namun, atas tindakan pantas yang kita ambil, rakyat Malaysia secara amnya terlindung daripada mengalami kesannya. Ia sama sekali tidak seperti tahun 1997.
13. Walaupun pakej rangsangan yang diperkenalkan ketika itu menyebabkan kenaikan sebanyak 10% dalam nisbah Hutang-KDNK kita ke paras melebihi 50%, namun langkah-langkah ini berjaya, dan Malaysia telah pulih dengan cepat. Menjelang akhir tahun itu, ekonomi kita telah kembali berkembang. Ini adalah satu pemulihan yang cukup mengagumkan.
14. Nisbah itu seterusnya stabil di bawah 55%, yang jauh di bawah tahap negara-negara yang maju – misalnya tahun lepas nisbah di UK hampir 90%. Walau bagaimanapun, pihak pembangkang cuba menggunakan peningkatan hutang ini untuk mengelirukan rakyat Malaysia dan mendakwa kita akan bankrap. Ini langsung tidak masuk akal. Pada tahun 1986, nisbah Hutang-KDNK Malaysia mencapai 103%, dan kita tidak pula muflis pada waktu itu! Ini menunjukkan bahawa apabila pembangkang bercakap tentang ekonomi, mereka hanya menyebar propaganda dan pembohongan yang terang-terangan untuk kepentingan politik mereka yang mementingkan diri sendiri. Ini namanya – sabotaj ekonomi.
15. Kedua, kita sedar bahawa kita perlu melakukan pembaharuan yang luas. Kita juga sedar bahawa untuk keluar daripada perangkap pendapatan sederhana dan mencapai matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi, kita perlu mempunyai perancangan ekonomi yang menyeluruh dan berhemah- sebuah pelan tindakan, dengan petunjuk prestasi utama dan hasil yang boleh diukur supaya dapat menguji kemajuan dan memastikan kita terus berada di landasan yang tepat.
16. Pelan itu adalah Program Transformasi Negara, dengan komponen utamanya, Program Transformasi Ekonomi, atau ETP. Sesetengah orang menggelarnya “Najibnomics” – bukan saya yang berikan nama tersebut! Tetapi saya boleh terima penggunaan istilah ini oleh orang ramai, kerana selepas tujuh tahun, kita dapat melihat bahawa rancangan ini – yang meletakkan kepentingan rakyat Malaysia sebagai asas dan matlamat utamanya – telah berjaya dilaksanakan, dan akan terus dilaksana.
17. Pendapatan Negara Kasar telah meningkat hampir 50%. Kita juga telah mengurangkan jurang sasaran pendapatan tinggi, dari 33% kepada 19%.
18. 2.26 juta pekerjaan telah diwujudkan, di mana lebih satu juta daripadanya adalah pekerjaan berpendapatan tinggi.
19. Mac lalu, eksport kita mencecah RM82.63 bilion – angka bulanan tertinggi bagi eksport Malaysia yang pernah direkodkan.
20. Inflasi dan pengangguran kekal rendah. Oleh kerana dasar luar negara, kita telah berjaya menarik Pelaburan Langsung Asing pada tahap yang belum pernah terjadi sebelum ini, yang menunjukkan keyakinan dunia terhadap Malaysia.
21. Pada tahun 2017 sahaja kita telah melihat 14 MOU perniagaan antara Malaysia dan China bernilai RM144 bilion, 31 MOU perniagaan antara Malaysia dan India bernilai RM158.4 bilion, serta pelaburan USD7 bilion di Malaysia oleh Saudi Aramco. Ini membawa bersamanya beribu-ribu pekerjaan baru, pemindahan kemahiran, dan peningkatan taraf hidup untuk keluarga yang tidak terhitung jumlahnya.
22. Dan pada masa sama, meskipun terdapat kegawatan besar dalam ekonomi global, kejutan kejatuhan harga minyak, dan kemelesetan yang melanda kebanyakan negara Eropah yang hampir memusnahkan beberapa negara, kita telah mencatatkan pertumbuhan yang sihat, tahun demi tahun. Bank Dunia baru-baru ini menyemak semula ramalan mereka untuk pertumbuhan Malaysia kepada 5.2% untuk tahun 2017 – kali kedua mereka melakukannya tahun ini!
23. Ini sebahagian daripada kejayaan utama Kerajaan dan berjuta-juta rakyat Malaysia yang bekerja keras di bawah rancangan yang kita rencanakan pada tahun 2010.
24. Tetapi terdapat banyak lagi langkah-langkah yang lebih spesifik yang diambil oleh Kerajaan untuk memperbaiki standard dan membantu rakyat.
25. Kita telah memperkenalkan pelan pendidikan untuk sekolah dan universiti; dan sekarang kita dapat melihat kedudukan universiti-universiti kita di peringkat antarabangsa mula meningkat dengan mantap.
26. Malaysia adalah negara pengguna jalan raya, dan sebab itulah kita menggalakkan Khazanah Nasional dan KWSP membeli PLUS Expressway secara langsung pada tahun 2010 daripada pemegang swasta. Ini bermakna setiap ringgit yang dikutip kini kembali sama ada kepada Kerajaan atau kepada pemegang akaun KWSP.
27. Lebuhraya milik PLUS seperti Jambatan Pulau Pinang, Second Link dan Lebuhraya Utara-Selatan juga tidak mengenakan kenaikan tol sejak pembelian pada tahun 2010.
28. Pada masa sama, jalan raya juga telah dinaik taraf – contohnya, sebahagian besar Lebuhraya Utara-Selatan telah dinaik taraf menjadi tiga atau empat lorong berbanding dua lorong pada masa lalu.
29. Walaupun begitu, aspek lain pengangkutan awam telah diabaikan oleh salah seorang pemimpin dahulu. Beliau membazirkan berbilion-bilion ringgit dalam projek “vanity” dan bukannya membina infrastruktur kelas dunia yang diperlukan oleh Malaysia untuk menarik pelabur mahupun untuk kesejahteraan rakyat.
30. Di bawah Kerajaan saya, fasa pertama projek Mass Rapid Transit telah siap pada akhir tahun lepas, dan fasa kedua Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang telah dilancarkan pada bulan Julai. Kini, kita mempunyai rangkaian perkhidmatan sepanjang 51 kilometer dengan 31 stesen.
31. Projek-projek ini mencipta 130,000 pekerjaan baru, di mana 70,000 adalah pekerjaan langsung. Lebih mengagumkan lagi, projek-projek ini siap lebih awal daripada jadual dengan penjimatan sebanyak RM2 bilion. Kini MRT 2 dan 3 turut berada dalam perancangan, manakala dalam masa beberapa tahun lagi kita juga akan mempunyai laluan kereta api berkelajuan tinggi pertama yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Singapura. Ini akan mengurangkan masa perjalanan antara dua bandar raya ini kepada 90 minit berbanding lebih daripada empat jam dengan kereta.
32. Tetapi tumpuan bukan sekadar untuk Lembah Klang atau pantai barat sahaja. Lebih daripada itu, tumpuan kita adalah untuk kawasan-kawasan lain di Malaysia yang telah diabaikan terlalu lama. Kita inginkan pembangunan yang lebih adil, lebih inklusif, dan meningkatkan semua sektor penduduk dan kawasan di negara kita.
33. Mengambil contoh Kelantan, yang telah dianak tirikan dan disekat dana pembangunan serta tidak dinaikkan taraf infrastruktur air mereka selama beberapa dekad oleh seorang bekas pemimpin kerana ia diperintah oleh parti pembangkang.
34. Bagi saya, ini tidak adil, kerana air bersih adalah penting untuk kehidupan dan adalah hak semua rakyat Malaysia. Oleh itu, kita telah membantu Kelantan dengan perjanjian penstrukturan semula air tahun lepas yang akan menelan belanja lebih daripada RM1 bilion.
35. Rakyat di Kelantan juga menderita akibat hubungan pengangkutan yang teruk – ramai terpaksa menanggung perjalanan kereta perlahan, sesak dan berbahaya semasa perjalanan antara negeri.
36. Bagi menangani hal ini, Kerajaan membina Lebuhraya Central Spine Road bebas tol bagi menghubungkan Kelantan dengan seluruh Semenanjung, manakala fasa 3 Lebuhraya Pantai Timur akan dilanjutkan ke Kelantan.
37. Projek Laluan Keretapi Pantai Timur atau ECRL pula akan menjadi satu lagi “game-changer” untuk negeri-negeri pantai timur.
38. Bagi Sabah dan Sarawak, Kerajaan Persekutuan sebelum ini tidak pernah menyediakan begitu banyak peruntukan tahunan dan projek pembangunan bagi mereka. Sebagai contoh, Lebuhraya Pan Borneo akan menjadi pemacu utama bagi pembangunan dan perhubungan di Malaysia Timur.
39. Saya berusaha untuk bersikap adil kepada semua negeri – termasuk yang dipegang oleh pembangkang. Misalnya, Kerajaan telah membuat perjanjian penyusunan semula air dengan Pulau Pinang dan Selangor untuk membantu mereka mengurangkan hutang negeri dan menyediakan pembaharuan infrastruktur bekalan air yang diperlukan.
40. Dalam kes Pulau Pinang, pakej penstrukturan semula air pada tahun 2010 melibatkan bantuan kepada kerajaan negeri bagi mengurangkan hutang mereka sebanyak RM655 juta, sambil memberi mereka geran tambahan RM1.2 bilion untuk membesarkan lagi empangan. Ini membolehkan Kerajaan Negeri DAP bermegah bahawa kononnya mereka telah mengurangkan hutang negeri mereka sebanyak 95%, padahal ini sebenarnya disebabkan oleh usaha Kerajaan Persekutuan.
41. Usaha kita memastikan semua rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada ekonomi yang semakin meningkat telah memperlihatkan pengurangan yang menakjubkan dalam kadar kemiskinan. Kemiskinan tegar di Malaysia jatuh dari 3.8% pada tahun 2009 kepada hanya 0.4% pada 2016. Di Sabah sahaja, kita berjaya mengurangkan kadar daripada 19.7% pada tahun 2009 kepada hanya 2.9% pada tahun lepas.
42. Pendapatan per kapita rakyat juga meningkat daripada RM27,819 pada tahun 2010 kepada RM40,713 pada tahun 2017. Pendapatan median bulanan pula meningkat daripada RM4,585 pada tahun 2014 kepada RM5,288 pada 2016. Dan kita juga telah melihat peningkatan dalam pendapatan isi rumah B40 – yang telah meningkat kepada RM3,000 pada 2016 daripada RM2,629 pada tahun 2014.
43. Sebagai hasilnya, nisbah GINI kita – yang mengukur kesaksamaan pendapatan – turun daripada 0.441 pada tahun 2009 kepada 0.399 tahun lepas, yang paling rendah dalam sejarah Malaysia. Kesaksamaan pendapatan Malaysia tidak pernah lebih baik daripada masa kini.
44. Pada masa yang sama, kita sedar bahawa isu kos sara hidup memberi kesan paling tinggi kepada mereka yang berpendapatan rendah, dan inilah sebabnya kita mengagihkan RM5.36 bilion dalam Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M kepada 7.28 juta isi rumah pada tahun 2016 dan juga memperkenalkan gaji minimum.
45. Seorang bekas pemimpin baru-baru ini menyifatkan BR1M sebagai penyalahgunaan dana kerajaan – tetapi dia seharusnya cuba nyatakan sebegitu kepada para penerima. Ia sebenarnya amat kejam untuk sesiapa sahaja dalam pembangkang untuk bercakap mengenai menghapuskan satu program yang direka khusus untuk membantu mengurangkan beban berjuta-juta rakyat Malaysia.
46. Semua yang kita lakukan adalah untuk kebaikan rakyat. Dan ini termasuk melaksanakan banyak keputusan yang sukar tetapi perlu dilakukan walaupun tidak selalunya popular.
47. Kita perlu merasionalisasi subsidi yang tidak tersasar. Subsidi pukal pada pelbagai barangan seperti petrol, yang telah dimulakan pada zaman seorang bekas pemimpin terdahulu, telah melonjak menjadi kadar yang tidak mampan. Pada 2012 misalnya, subsidi bahan api sahaja mencapai RM25 bilion dan menelan 13.6% daripada jumlah belanjawan negara.
48. Kebanyakan yang mendapat faedah adalah golongan yang berada, dan bukan mereka yang betul-betul memerlukannya. Oleh itu, apa yang telah kita laksanakan adalah menyalurkan dana kepada golongan B40 dengan cara yang disasarkan, yang kita percaya adalah cara yang lebih bijak dan beretika untuk mengagihkan wang rakyat.
49. Kita perlu mengurangkan kebergantungan kita terhadap pendapatan daripada minyak dan gas yang menyumbang sebanyak 41% daripada pendapatan Kerajaan pada tahun 2009. Ini menyebabkan kita terdedah dan terlalu bergantung kepada sumber yang tidak boleh diperbaharui, yang masa depan jangka panjangnya juga diragui tatkala banyak negara dan industri telah beralih kepada penyelesaian tenaga hijau.
50. Kita berjaya dalam hal ini, dan minyak dan gas kini hanya membekalkan 14.6% daripada hasil Kerajaan pada 2017. Ternyata kita bernasib baik dengan keputusan awal yang dilaksanakan dengan berlakunya kemelesetan harga minyak dunia pada tahun 2014.
51. Kali terakhir harga global bagi eksport komoditi utama Malaysia jatuh adalah pada tahun 1985. Pada masa itu kita tidak bersedia dan ekonomi kita mengalami kemelesetan teruk.
52. Walau bagaimanapun, kali ini kita lebih bersedia berikutan ketegasan Kerajaan untuk memastikan daya tahan asas ekonomi kita. Meskipun kita turut terjejas akibat kejatuhan harga minyak dunia pada 2014, namun tidak seperti negara-negara pengeksport minyak lain, Malaysia bukan sahaja berjaya mengelakkan kemelesetan tetapi ekonomi kita terus berkembang.
53. Salah satu langkah yang menjadi penyumbang utama kepada perkara ini adalah pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan, atau GST – yang menjadi salah satu sumber serangan utama pembangkang terhadap kerajaan.
54. Ramai mendakwa bahawa GST adalah cukai baharu, dilaksanakan semata-mata untuk meraih lebih banyak pendapatan untuk Kerajaan. Sebenarnya, ia adalah pengganti kepada cukai jualan dan perkhidmatan yang tidak cekap, rumit dan tidak berfungsi dengan baik, sama ada untuk pengguna ataupun perniagaan.
55. Seandainya niat kerajaan adalah untuk meningkatan pendapatan, adalah lebih mudah jika kita meningkatkan cukai korporat, cukai pendapatan dan cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada.
56. Sebaliknya, sejak saya menjadi Menteri Kewangan pada 2008, kita telah mengurangkan cukai korporat daripada 27% hingga 24%. Kadar cukai pendapatan peribadi juga telah jatuh, daripada 28% pada tahun 2008 kepada 24% sekarang untuk kebanyakan rakyat Malaysia.
57. Kita juga menaikkan nilai ambang cukai pendapatan supaya mereka yang pendapatannya adalah RM4,000 atau kurang, tidak lagi perlu membayar sebarang cukai pendapatan. Ini bukan seperti dulu di mana mereka yang mempunyai gaji RM2,000 tetap dikenakan cukai.
58. Oleh itu, GST tidak sepatutnya dianggap sebagai cukai tambahan baru tetapi sebahagian daripada pembaharuan cukai menyeluruh yang direka untuk menjadikan Malaysia lebih berdaya saing, dapat mengawasi ekonomi hitam dan haram, serta mengurangkan pengelakan cukai dan meluaskan asas percukaian negara.
59. Banyak negara lain seperti India dan Mesir turut ikut serta jejak Malaysia semenjak kita melaksanakan GST pada tahun 2015. Sementara itu, semua Negara Kerjasama Teluk – Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi, dan Emiriah Arab Bersatu – akan melaksanakan GST mereka pada 1 Januari tahun depan.
60. Malah, perancangan ekonomi kita telah membolehkan kadar GST Malaysia hanya 6% – jauh lebih rendah daripada negara-negara lain yang tidak berkongsi asas ekonomi yang kukuh seperti kita.
61. Kebanyakan negara – lebih daripada 160 di seluruh dunia – telah melaksanakan GST kerana mereka tahu ia diperlukan untuk menjadikan negara mereka lebih kuat dan lebih berdaya saing. Anehnya, pihak pembangkang mendakwa tidak memahami perkara ini. Mereka mahu memansuhkan GST – tetapi tanpa cadangan bagaimana mereka akan menggantikan RM41 bilion yang dijana oleh GST pada tahun lalu.
62. Saya juga ingin menegaskan bahawa dakwaan yang menyatakan GST diperlukan bagi membayar untuk 1MDB adalah satu pembohongan besar – pembohongan yang disedari sendiri oleh ahli politik yang membuat dakwaan tersebut.
63. 1MDB sebenarnya memainkan peranan penting dalam menyelesaikan perjanjian kuasa berat sebelah yang telah ditandatangani oleh seorang bekas pemimpin. Apabila 1MDB memasuki industri itu, ia adalah pembida terendah dalam semua perjanjiannya, dengan itu menjimatkan Malaysia sebanyak RM200 bilion dalam 20 tahun akan datang. Malah, satu laporan firma penyelidikan mengenai perjanjian kuasa yang disemak semula ini diberi tajuk “Tiada lagi perjanjian pilih kasih”.
64. 1MDB juga telah membiayai pembinaan dan penambahbaikan lapan pangkalan tentera yang tidak dapat dilakukan oleh kerajaan pada masa dahulu. Ia juga telah membiayai beribu-ribu biasiswa dan perjalanan Haji untuk para jemaah.
65. Memang benar bahawa 1MDB mempunyai masalahnya, dan kita telah mengambil tindakan merombak pengurusan untuk membetulkan kesilapan dan mengembalikannya kepada keadaan kewangan yang sihat.
66. Tetapi apabila perjanjian projek Bandar Malaysia ditandatangani, 1MDB dijangka akan membuat keuntungan yang lebih daripada cukup untuk menanggung kerugiannya. Dan pembohongan bahawa rakyat perlu menanggung akibat daripada keputusan 1MDB akan terkubur. Ini kerana selepas program rasionalisasi selesai, 1MDB berkemungkinan besar akan menjana keuntungan untuk rakyat, dan ini tidak termasuk segala usaha tanggungjawab sosial korporat yang telah dilaksanakannya selama bertahun-tahun.
67. Akhir sekali, saya juga ingin menyentuh mengenai isu mata wang kita, Ringgit Malaysia. Apabila Amerika Syarikat mengalami kesan akibat Kemelesetan Besar pada 2008-2009, mereka mula menurunkan kadar faedah – yang menyebabkan banyak dana global mengalihkan dana mereka ke negara-negara seperti Malaysia untuk mencari pulangan yang lebih tinggi.
68. Ringgit kita menerima manfaat daripada ini dan telah meningkat 30% daripada RM3.73 untuk USD1 apabila saya pertama kali menjadi Perdana Menteri, kepada paras bawah RM3.00 pada 2011-2013. Walau bagaimanapun apabila AS mula pulih daripada kemelesetan, mereka mula menaikkan kadar faedah sekali lagi.
69. Ini, ditambah pula dengan kejatuhan harga komoditi yang drastik, menyebabkan Ringgit kita menurun ke nilai semasa – satu lagi topik yang digunakan pembangkang untuk mengkritik kerajaan.
70. Adalah aneh bahawa pembangkang kini mendakwa bahawa Ringgit yang lemah ini merupakan tanda bahawa Malaysia akan bankrap – walhal ketika PRU13, pembangkang juga mendakwa bahawa Malaysia akan muflis meskipun Ringgit telah meningkat 30% berbanding dolar AS!
71. Menambat Ringgit dan melaksanakan semula kawalan modal adalah perkara paling mudah untuk saya lakukan. Namun, setelah mengalami kekurangan pelaburan selepas mengenakan kawalan modal dan menambat Ringgit dari tahun 1998 hingga 2005, keputusan dibuat untuk tidak melakukannya lagi.
72. Benar, nilai Ringgit menurun di tengah-tengah pergolakan global dan ketidakpastian sejak 2014, tetapi terdapat juga aspek positif daripadanya apabila eksport dan pelancongan kita meningkat tinggi.
73. Meskipun ada yang memberikan tanggapan bahawa ia lemah, prestasi Ringgit Malaysia sebenarnya lebih baik daripada mata wang banyak negara pengeksport komoditi besar yang lain. Sejajar dengan prestasi ekonomi kita yang terus baik – seperti ramalan semua pakar ekonomi – Ringgit akan turut mengukuh pada kadar pasaran yang sesuai.
74. Anda tidak akan mendengar tentang semua ini daripada pembangkang atau seorang bekas pemimpin negara yang taksub dengan kuasa dan mahu terus memerintah meskipun dalam persaraan, dan menyalahkan saya atas kekalahan anaknya dalam perlumbaan untuk menjadi Naib Presiden UMNO pada tahun 2013.
75. Saya enggan mematuhi cara beliau kerana saya yakin bahawa Malaysia memerlukan visi baru, jauh dari cara lama yang telah membawa kepada masalah legasi yang serius yang kita hadapi sebelum ini serta membawa kesan buruk terhadap kebajikan rakyat.
76. Sebagai sebuah negara, kita perlu beralih ke fasa seterusnya untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi di mana taraf hidup dan kualiti kehidupan rakyat Malaysia menjadi keutamaan. Ini adalah wawasan saya untuk Malaysia –perjuangan yang lebih besar daripada diri saya sendiri. Malaysia seringkali membuktikan ia mampu mencapai prestasi yang lebih baik daripada jangkaan dan saya yakin dan percaya akan potensi besar kita sebagai sebuah negara.
77. Potensi ini telah diiktiraf oleh banyak institusi antarabangsa seperti OECD, IMF dan Bank Dunia. Mereka telah berulang kali memuji pengurusan makroekonomi Kerajaan dan pembaharuan struktur, manakala tinjauan yang dibuat oleh Wharton School di Universiti Pennsylvania pada awal tahun ini mengisytiharkan Malaysia sebagai ‘Negara Terbaik untuk Melabur’.
78. Semua agensi penarafan kredit utama telah mengesahkan status Malaysia dalam band “A”, dan keputusan OECD adalah: “Malaysia adalah salah satu ekonomi Asia Tenggara yang paling berjaya … hasil daripada asas makroekonomi yang mantap dan kejayaannya dalam mentransformasikan ekonominya menjadi pelbagai dan inklusif. ”
79. Kesemua ini adalah hasil daripada perancangan ekonomi yang dilaksanakan Kerajaan selepas saya mengambil alih jawatan pada tahun 2009. Keputusan sukar yang kita ambil tidak selalunya popular – tetapi adalah perlu, dan keputusan-keputusan ini telah melindungi Malaysia daripada kesan teruk kemelesetan dan pergolakan yang menimpa ekonomi global. Kita telah bertindak sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, sentiasa berusaha melindungi rakyat dan menjaga kebajikan serta keselamatan mereka.
80. Dalam beberapa hari lagi, saya akan membentangkan Bajet 2018, di mana inisiatif baru dan beberapa pengumuman penting akan disampaikan untuk manfaat semua rakyat Malaysia.
81. Bajet ini akan terus dipacu oleh matlamat saya untuk memperbetulkan masalah lalu dan menjadikan Malaysia lebih kuat, lebih berdaya saing di dalam dan di luar negara; untuk mewujudkan negara Malaysia yang dapat memberi perlindungan kepada mereka yang lemah dan bersifat adil kepada semua: Malaysia di mana tiada sesiapa akan ketinggalan.

Sumber : 

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.