Sudah lama saya tidak ke Air Terjun Robinson di Tanah Rata. Rasanya dah melebihi 2 atau 3 tahun tidak ke sana.
2 minggu yang lalu, saya berkesempatan ke sana atas tujuan merakamkan aksi peserta Cameron Ultra Trail bagi kategori 30 km ke atas di mana mereka melalui kawasan air terjun ini.
Pemerhatian saya jelas. Tiada perubahan penambahbaikan di kawasan air terjun ini sejak kali terakhir saya ke sini. Namun terdapat satu projek Kiosk Pertanian di pintu masuk trail iai sedang diusahakan, Saya tidak pasti dan tidak mahu masuk campur adakah ianya sah atau tidak sebab jelas di atas kawasan simpanan tebing Sungai Telom.
Air Terjun Robinson dinamakan sebagai penghargaan kepada H.C Robinson. Pengarah Muzium Negeri yang telah ditugaskan membuat ekspedisi kedua pada tahun 1922 bagi mengkaji kesesuaian Tanah Tinggi ini dibangunkan sebagai Stesen Bukit.
Sejak penemuan dataran tanah tinggi dilaporkan oleh William Cameron pada misi pemetaan 1885, Sir George Maxwell telah menyambung hasrat Sir Hugh Low untuk menjadikan kawasan ini sebagai stesen tanah tinggi.
Oleh itu ekpedisi kedua dilancarkan dengan diketuai oleh H.C Robinson untuk mengkaji mengenai perkara berkaitan botani, geologi dan juga kesihatan iaitu risiko malaria. Kemudian pada tahun 1925, sekali lagi satu ekpedisi yang disertai sendiri oleh Sir George Maxwill kembali ke Tanah Tinggi Cameron bagi perincian penyelidikan untuk menyokong kesesuaian untuk mewujudkan stesen tanah tinggi di sini.
Air terjun yang ditemui ini kemudian di namakan sebagai Air Terjun Robinson sehingga kini.
Namun sejarah penting dan penghargaan ini tidak tersambung ke legasi pemerintahan sedia ada kerana jika dilihat kepada usaha fizikal untuk pembangunan di sini i boleh dikatakan TIADA.
Air Terjun Robinson amat popular di kalangan pelancong asing kerana ini adalah lokasi WAJIB dalam rancangan dan panduan Back packer mereka untuk singgah jika ke Cameron Highlands.
Tak perlu mana-mana agensi untuk mempromosikan Air Terjun Robinson kerana ianya akan tetap dikunjungi oleh ribuan pelancong asing setiap tahun. Sudah popular sekian lama.
Maka melihat kepada ramai pelancong berjalan kaki ke air terjun ini kemudian balik semula ke Tanah Rata atau terus ke Jalan Boh di Habu untuk balik melalui jalan utama yang sangat memenatkan, saya melihat dan kadangkala berkongsi kehampaan mereka setiap kali saya tumpangkan mereka pulang.
Namanya air terjun ini sangat GAH, namun indah dari khabar.
Tiada usaha penambahbaikan setakat hari ini.
Saya mencadangkan untuk dirancang sesuatu dari beberapa catatan awal saya lagi.
1. Baik Pulih trail sedia ada.
2. Sediakan papan info yang bersesuaian.
3. Buat dan bina pelantar pandang di hadapan air terjun atau jambatan gantung.
4. Buat pondok rehat di laluan denai kerana selalu hujan.
Namun saya tak pasti siapa yang bertanggungjawab samada Jabatan Hutan ataupun Jabatan Parit dan Saliran. Hati saya berat mengatakan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang bertanggungjawab kerana dalam hutan simpan mereka rasanya.
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.