# Puncak Gunung Jasar ... |
Tips seterusnya ini saya nak kongsikan bagaimana anda boleh melakukan aktiviti berkaitan dengan cabaran alam seperti pendakian dan kembara alam dan ianya sambungan dari catatan tips terdahulu di siri ke 13.
Cameron Highlands ini memang menakjubkan jika ditanya mengenai alam sekitarnya khasnya pergunungan.
Dipagari oleh 13 buah gunung di sekitarnya melebihi ketinggina 1800 meter dari aras laut, ianya adalah syurga kepada para pencinta dan pendaki gunung.
Anda hanya perlu bermula dari paras ketinggian sekitar 1, 400 meter untuk ke puncak.
Antara yang mudah didaki adalah Gunung Jasar yang telah saya kongsikan sebelum ini. Tips seterusnya adalah pendakian ke GUNUNG BRINCHANG yang juga mudah dilakukan.
TIPS 66: Mendaki Gunung Brinchang. Ianya mudah dilakukan dengan hanya memerlukan 2 jam setengah untuk sampai ke Puncaknya dari kaki Gunung Brinchang melalui denai nombor 1.
Cabaran pendakian ini ringkas namum memerlukan kekuatan pendakian berterusan kerana ianya terus ke puncak gunung ini.
Namun yang menarik apabila menghampiri paras ketinggian 1,800 meter dari aras laut, pokok-pokok mulai berlumut dan mewujudkan seakan-akan alam mistik yang memukau.
Ada yang mengatakan trek pendakian ini tidak memerlukan khdimat 'guide' tetapi adalah lebih selamat jika anda mengambil guide tempatan supaya lebih lancar pendakian.
Namun ianya bukan kemestian kerana ramai pendaki berjaya mendaki gunung ini tanpa menggunakan khidmat guide.
Catatan awal pengalaman saya sendiri mendaki gunung ini di sini... tanpa guide kecuali melaporkan kegiatan ini di Balai Polis Brinchang atau IPD Brinchang.
TIPS 67: Ada TIPS tambahan mendaki Gunung Brinchang yang agak menarik di sini. Jangan beritahu orang .. "rahsia kita sahaja...".
Jika anda tidak mahu menuruni semula gunung ini setelah mendakinya, anda boleh meminta rakan anda menunggu anda di puncaknya yang boleh dilalui oleh kenderaan biasa kerana terletaknya stesen pemancar milik Telekom di atasnya.
Laluan kenderaan ini dipercayai antara laluan bertar yang tertinggi di Semenanjung Malaysia.
Jadi minta rakan anda tunggu di puncaknya selepas dua jam menurunkan anda di kaki Gunung Brinchang.
Namun jika di hujung minggu minta mereka segera ke puncak gunung ini kerana kesesakan di dalam laluan ladang teh biasanya memerlukan sekitar sejam lebih untuk sampai ke puncak.
Nanti anda pula penat menunggu mereka.
TIPS 68 : Tips tambahan mendaki Gunung Brinchang seterusnya adalah jika anda tidak mampu mendaki, apa kata anda menuruni gunung ini dengan meminta rakan anda menghantar anda ke puncaknya sebelum menuruni trek pendakian ke kaki gunung.
Ini juga rahsia besar anda dan saya. Jangan beritahu orang lain. Mudah bukan?
Yang penting di kala menuruni gunung manfaatkan segala sudut pandang yang menarik mengenai khazanah alam sekitar trek pendakian gunung ini.
Banyak catatan mengenai pendakian ke gunung ini telah saya kongsikan antaranya adalah di SINI.
TIPS 69: Juga tips melihat pemandangan keseluruhan Cameron Highlands dengan mudah adalah dengan mendaki Gunung Brinchang dan kemudian mendaki pula tangga menara pandang yang terdapat di puncak gunung ini.
Lakukan di awal pagi jika ingin melihat keindahan matahari terbit di sekitar sisi ini.
Malah jika cuaca anda baik, anda akan dapat melihat setiap arah Cameron Highlands dan sebahagian Bandaraya Ipoh.
Anda boleh mengambil gambar dari puncak menara pandang ini sepuas-puasnya namun elakkan ketika hujan atau kelihatan aktiviti petir berlaku untuk langkah keselamatan kerana strukturnya diperbiuat daripada besi sepenuhnya.
Catatan saya mengenai menara pandang ini boleh dibaca di SINI.
TIPS 70: Masih berkisar dengan Gunung Brinchang ini dan kali ini saya syorkan anda jika anda dapat datang seawal pagi untuk menyaksikan suasana matahari terbit.
Bawa bersama sarapan ringkas berbungkus dan air teh panas dalam termos untuk menikmati sarapan di puncak yang penuh kedinginan ini.
Amat mudah dilakukan dengan memulakan perjalanan menggunakan kereta atau kenderaan anda sekitar pukul 6 pagi untuk terus ke puncak gunung ini.
Bila balik, anda singgah di Mossy Forest atau sekitarnya yang berkabus dan berlumut sebelum singgah pula di ladang teh.
Ini pasti pengalaman yang unik untuk anda terokai dan rasainya sendiri.
Catatan awal saya mengenai aktiviti ini boleh dibaca di SINI.
Semoga tips-tips ini membuka minat anda untuk ke Gunung Brinchang.
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.