Sunday, September 6, 2015

Jalan Persekutuan 59 Tapah - Cameron Highlands

Saya nak berkongsikan sedikit sejarah jalan ke Cameron Highlands iaitu Jalan Tapah - Cameron Highlands yang merupakan jalan pertama yang menyambungkan dua daerah negeri yang berbeza, Perak dan Pahang.

Saya menemui gambar-gambar dibawah dari buku MALAYSIA , A Pictorial History 1400-2004 yang sangat menarik dilihat dan dibaca setiap halamannya.

Jalan Tapah ke Cameron Highlands adalah Jalan Persekutuan 59 yang bertaraf R3 (Mountains). Manakala maklumat berkaitan dengan laluan ini saya perolehi bersumberkan Wikipedia yang boleh anda lihat terus ke carian tersebut.


Selepas Willian Cameron menemui kawasan yang rata di puncak gunung ganang sekitar ekpedisinya untuk pemetaan sempadan negeri antara Pahang dan Perak pada tahun 1885, beliau telah menghantar laporan pemetaan tersebut kepada Sir Hugh Low, Residen Perak (1887-1889) yang berhasrat untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai sanatorium, resort kesihatan dan kasanan pertanian. 

Namun tiada tindakan yang bersungguh-sungguh secara besar-besaran diambil kecuali hanya laluan kecil untuk ke tanah tinggi ini.   

Hanya selepas 40 tahun kemudian iaitu sekitar 1920, penilaian semula dilakukan diketuai oleh Sir George Maxwell yang telah mengunjungi semula tanah tinggi yang ditemui ini dan menghabiskan masa selama 9 hari meninjau kawasan ini yang kemudian disifatkan sebagai  berbetuk oval.


Beliau akhirnya memutuskan kawasan tanah tinggi ini akan dibangunkan sebagai "Station Bukit" dan dinamakan sebagai Tanah Tinggi Cameron sebagai jasa penemuan kawasan ini oleh William Cameron.

Mulai dari itu pada tahun 1925 , Stesen Percubaan Pertanian di wujudkan iaitu kini dikenali sebagai Stesen MARDI di Tanah Rata.

Pada tahun 1926, penzonan kawasan dilakukan bagi mengenalpasti kawasan untuk pertanian, pertahanan, pentadbiran, perumahan dan rekreasi dibuat.

Kemudian laluan ke Cameron Highlands mulai dibina dengan lebih sempurna dengan pembinaan jalan raya kekal yang berharga RM 3 juta bermula dari Batu 19 Jalan Tapah dan berakhir di Ginting "B" iaitu Tanah Rata.

Kontrak pembinaan ini diberikan kepada Tetuan Fogden, Brsibane and Company dengan pendahuluan pertama dibuat sebanyak RM 250,000 pada tahun 1926.


Projek pembinaan dimulakan pada 1 January 1928 dan siap pada Jumaat, 14 November 1930, awal 47 hari dari jadual asal. 

Kerja pembinaan jalan ini amat mencabar di mana bukan sahaja berdepan dengan cuaca yang tidak menentu tetapi perlu berhadapan dengan risiko dijangkiti malaria. 

Seramai 375 pekerja telah dijangkiti deman malaria sepanjang tempoh pembinaan yang menggunakan seramai 500-3000 pekerja.

Cabaran utama pembinaan adalah membawa naik mesin dan jentera besar ke kawasan pembinaan kerana keadaan mukabumi yang sangat mencabar. Namun ianya berjaya diatasi dengan kaedah lokomotif stim yang direka khas untuk bekerja di kawasan yang bercerun. 

NEW ROAD TO RETREAT
Communication between this remote plateau in Pahang and the outer world will be provided by a road 41 miles long from Tapah to the hill station. The first twelve miles of that road have been in existence for some years, and another three miles were added by the F.M.S. Public Works Department comparatively recently. The remaining 26 miles are being constructed by Fogden, Brisbane and Co., and the cost of the work to the F.M.S. Government will be something like $3,000,000.
"The Straits Times, 7 June 1928."

Kontraktor menggunakan semburan air bertekanan tinggi untuk memecahkan batu dan membina laluan jalan yang dirancang di samping membina jambatan konkrit bagi merentasi Sungai-sungai dan alur air yang terdapat di sepanjang 51 batu ini dan ianya masih kekal sehingga kini.  


Bila jalan ini disiapkan pada tahun 1931, penempatan di Cameron Highlands mulai bertambah dengan peladang teh dan juga kebun sayur mulai bertapak. Malah kawasan tanah tinggi ini menjadi kawasan berehat ekspatriat Eropah yang terdapat di Malaya ketika itu.

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.