Monday, July 27, 2015

Re-visit Ladang Teh BOH Habu.. etika bersama pekerja ...

Lanjutan dari catatan pertama saya mengenai Re-visit ke Ladang Teh BOH di habu (Klik)), saya ingin berkongsikan catatan kedua saya dan kali ini saya ingin menyentuh mengenai etika jika kita hendak bersama atau mendekati pekerja ladang teh yang sedang bekerja dari kacamata saya sahaja.


Jika kita singgah di Ladang Teh dan terdapat pula aktiviti menuai daun teh sedang dilakukan, kita mungkin amat tertarik untuk mendekati kumpulan terbabit. 

Namun beberapa perkara harus diambil kira dan diberikan perhatian. 


Pertama, minta izin dari wakil syarikat samada Penyelia Ladang atau mandor yang bertugas terlebih dahulu sebagai tanda hormat memasuki kawasan mereka. Biasanya tidak menjadi masalah dan halangan untuk kita mendekati kumpulan pekerja terbabit untuk mengambil gambar.


Kedua, minta izin juga dari pekerja ladang tersebut jika ingin mengambil gambar mereka. Berbual terlebih dahulu sebelum mengambil gambar kerana kemesraan anda boleh membuka senyuman yang amat istimewa setiap kali anda menghalakan kamera anda. 

Jika ditolak, sila hormati permintaan mereka terutamanya bagi pekerja tempatan wanita yang mungkin malu untuk diambil gambar.


Ketiga, jangan terlalu ghairah untuk mencari sudut yang istimewa sehingga menganggu pergerakan mereka untuk bekerja. Harus diingat mereka dibayar gaji untuk melakukan kerja bukan berposing ala model demi anda. 


Keempat, utamakan keselamatan anda dan mereka yang bekerja kerana keghairahan anda bergambar mungkin mencetus bahaya kepada diri sendiri dan orang lain.

Pastikan anda memakai pakaian yang sesuai jika berniat untuk lebih ke bahagian dalam tempat kerja mereka.  


Biasanya kawasan kerja mereka agak sukar bergerak dan mungkin licin dikebanyakan tempat dan bagi anda yang jarang-jarang melalui kawasan sedemikian, bahaya yang menanti amat banyak.

Kelima, jangan mencuba menggunakan mesin atau peralatan ladang mereka walaupun sekadar seketika bagi mencari pengalaman. 


Mesin pemangkas daun contohnya nampak mudah dikendalikan namun percayalah hanya mereka yang terlatih dan biasa menggunakan tahu bagaimanakah cara pengendalian yang selamat.  

Keenam, jangan membawa dan membuang sampah dikawasan tanaman teh ini khasnya air mineral yang sudah kosong selepas anda penat mengikuti kumpulan pekerja ini. 


Bawa pulang semua sampah anda dan jangan sesekali meninggalkan di pinggir jalan atau parit selepas membawanya keluar dari kawasan tanaman. 

Ketujuh ucapkan terima kasih kepada pekerja yang anda temui dan ambil gambar mereka. Mereka tidak mengharapkan wang ringgit anda tetapi cukup sekadar penghargaan yang keluar dari bibir anda. 


Mereka telah memberikan anda aksi dan detik yang amat jarang untuk anda lihat dan rakamkan kerana hanya di sini anda dapat melihat ke semua ini. Mudah sahaja.. ikhlaskan hati anda.... 

Akhir sekali, semuanya bermula dengan hormat menghormati kepada semua pihak baik pekerja ataupun penyelia ladang. 

Biarpun anda mungkin berjawatan tinggi dengan kelulusan luar negeri tetapi bukanlah lesen untuk anda meninggi diri dan bersikap sombong apatah lagi mengeluarkan pandangan sinis yang merendahkan nilai diri mereka yang anda lihat biarpun mereka mungkin dari Nepal, Indonesia ataupun rakyat tempatan.


Hirupan teh anda di rumah atau di pejabat adalah hasil usaha dan keringat mereka yang dibayar tidak semewah gaji yang anda terima.

Hormat....Hormat dan bersahabatlah dengan semua peringkat... tiada kerugian...

Untuk catatan ketiga kunjungan saya ke sini, tidak pasti apa pula nak tulis. Mungkin sekadar berkongsikan gambar sahaja... 

Klik untuk ke catatan ketiga...

These pictures were sent with Picasa, from Google.
Try it out here: http://picasa.google.com/

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.