Thursday, May 7, 2015

Alat-alat Kebesaran Negeri Perak

Untuk Catatan yang saya ambil sepenuhnya dari Utusan Malaysia Online ini adalah mengenai alat-alat kebesaran Negeri Perak. 

Saya pertama kali mengetahui susur sejarah malah peralatan tersebut dan eloklah kalau dikongsi dan disimpan di dalam blog saya ini untuk rujukan di masa hadapan. 




Istiadat pertabalan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Sultan Perak ke-35 hari ini bakal menggunakan alat-alat atau perkakas kebesaran kerajaan negeri yang berusia ratusan tahun.

Alat-alat kebesaran itu hanya di­gunakan sewaktu istiadat pertabalan sultan dan diguna pakai oleh sultan dan raja permaisuri sahaja.

Alat-alat kebesaran itu dibawa ke negeri Perak dari Kampar di Sumatera oleh Sultan Perak yang pertama, Sultan Mudzaffar Shah pada abad ke-16 antaranya Pedang Cura Simanja Kini, Keris Seri Gading dan Keris Taming Sari.

edang Cura Si Manja Kini, Rantai Bunga Nyiur, Pontoh Bernaga, Pontoh Ular Lidi dan Cap Halilitar akan digunakan semasa istiadat per­tabalan.

Pedang Cura Simanja Kini asalnya adalah kepunyaan Sang Sapurba yang juga digelar Sang Nila Utama.

Almarhum Sultan Mahmud, Sultan Melaka terakhir mewarisi pe­dang itu dan dibawa oleh anakanda baginda, Sultan Mudzaffar Shah ketika berangkat ke negeri Perak.

Pedang Cura Simanja yang melambangkan keagungan dan kekuasaan raja pemerintah telah menjadi alat perkakas turun temurun bagi sultan yang memerintah negeri ini.

Sementara itu, Keris Taming Sari dibawa oleh Sultan Mahmud keti­ka meninggalkan Melaka untuk ke Kampar di Sumatera sebelum mengur­niakan keris tersebut kepada anakanda baginda, Raja Mudzafar yang kemudiannya berangkat ke Perak.

Keris Seri Gading pula dimiliki oleh Almarhum Sultan Yusuff Izzuddin Shah iaitu pusaka peninggalan daripada nindanya, Sultan Perak ke-28, Almarhum Sultan Idris Mursidul Azam Shah yang kemudiannya menghadiahkan keris pusaka itu untuk dijadikan sebagai salah satu perkakas kebesaran kerajaan negeri.

Antara barangan lain yang tersenarai sebagai alat-alat kebesaran negeri termasuk Pontoh Bernaga iaitu sepasang gelang emas berkepala naga yang disarongkan ke lengan kanan dan kiri sultan dalam istiadat pertabalan.

Pontoh Ular Lidi pula ialah sepasang gelang emas berbentuk kepala ular lidi dan dipakai di kedua-dua belah lengan raja permaisuri semasa istiadat rasmi kerajaan negeri.

Lain-lain alat kebesaran kerajaan negeri ialah aigrette diraja, tiara, tanjak anjak diraja, mustika embun, agok, kancing halkah, dokoh, kerongsang besar, ranai bunga nyiur, mohor cap halilintar, mohor raja, geluk dan batil emas.

Kesemua alat kebesaran itu akan dibawa masuk ke Balairong Seri Istana Iskandariah di sini dengan penuh adat istiadat dalam istiadat perta­balan hari ini.

Alat-alat kebesaran itu akan dipersembahkan kepada baginda sultan satu persatu mengikut tata cara istiadat yang ditetapkan.

- See more at: Klik


Mestika Embun

KUALA KANGSAR 6 Mei - Ibarat batu geliga, Mestika Embun merupakan salah satu alat kebesaran negeri ini yang amat penting dalam istiadat pertabalan Sultan Perak yang berlangsung hari ini.

Azimat yang dipersembahkan oleh Toh Seri Nara Diraja, Mohd. Shah Nong Chik kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sewaktu istiadat Tabal Adat di Balairong Seri Istana Iskandariah di sini, pada asalnya diberikan oleh Tok Temong kepada Sultan Mudzaffar Shah ketika ditabalkan menjadi sultan pertama.

Tok Temong atau juga dikenali sebagai Tun Perabu, merupakan anak kepada Tun Perak iaitu salah seorang pembesar terkenal pada zaman Kesultanan Melayu Melaka yang telah memegang tampuk pemerintahan hampir setengah abad.

Sewaktu istiadat pertabalan Sultan Perak yang pertama, Sultan Mudzaffar Shah telah mengurniakan puan bujur iaitu bekas sirih kepada Tok Temong sebagai membalas persembahan Mestika Embun, namun telah dikembalikan semula.

Ini kerana Tok Temong hanya berkehendakkan janji bahawa beliau dan anak cucunya akan memerintah di sebelah kiri mudik sungai sementara Sultan Perak dan keturunannya, berkuasa di sebelah kanan mudik Sungai Perak.

Pengarah Institusi Peradaban Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Rosli Saludin yang menjalankan pengkhususan kajian mengenai adat diraja Perak berkata, Mestika Embun yang dipersembah kepada Sultan Perak, sebenarnya mempunyai falsafah tersendiri.

“Mestika Embun ini memani­festasikan baginda berjaya dan bersama dengan Allah untuk melaksanakan pemerintahan yang adil, ibarat embun daripada air suci di awan malam.

“Sultan hendaklah patuh kepada Allah serta membersihkan diri ba­ginda, sama ada zahir dan batin,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.