Monday, March 9, 2015

Kayuhan Melanggai Udang Geragau @ Padang Temu

Kayuhan saya di Melaka diteruskan di awal pagi pula kali ini melibatkan laluan ke Padang Temu dan pilihan saya tentulah untuk singgah sebentar di kawasan pantainya. 


Kenapa saya memilih untuk singgah di Pantai ? 

Sesuatu yang unik yang boleh anda lihat di awal pagi jika anda ke pantai sekitar Padang Temu sehinggalah ke Ujong Pasir berdekatan dengan Perkampungan Portugis di situ.


Persisir pantainya masih kekal berpasir berbanding ditempat lain yang hanya bertembokan batu akibat penambakan laut. 

Lagi satu ianya tidak terlalu jauh dari rumah mertua saya dan memandangkan saya ni sangat amatur jarak sekitar 5 km atau 10 km pergi balik sudah sangat memadai.

Aktviti awal pagi di pantai sekitar Padang Temu adalah melihat 'orang lama' memancing ikan dan satu lagi aktiviti adalah kegiatan 'melanggai Udang Geragau' di persisiran pantai ini.


Apa pula Melanggai tu? Melanggai membawa maksud menangkap udang geragau menggunakan jala yang direntangkan diantara dua buluh sepanjang 3-5 meter mengikut saiz tertentu dan mereka yang melakukanya digelar pelanggai.

Rangka buluh ini pula diikat seperti tiga segi dan dari perbualan saya dengan salah seorang pelanggai, beliau menggelarkan peralatan tersebut sebagai Jaring rama-rama.

 
Kaedahnya penggunaanya nampak mudah dengan pelanggai akan menolak jala tersebut dengan dua penghujung jala berada di dasar selama beberapa minit sebelum mengangkatnya dengan penuh keragan tenaga.


Hasilnya seperti udang geragau atau anak ikan akan terperangkap apabila jala rama-rama ini diangkat dan dimasukan ke dalam bekas raga yang terapung dibelakang mereka. 

Sebenarnya ianya tidak mudah bagi kita yang tidak pernah melakukannya kerana agak berat untuk menolak jala itu ke depan dengan kadang-kala lumpur yang menghalang atau memperlahankan pergerakan kita. 


Bagi pelanggai, jika mengikut musim mereka mampu menangkap sekitar 10-30 kg sepagi udang geragau yang kemudiannya dijual kepada orang ramai.


Berbalik kepada kayuhan saya, saya beruntung kerana ketika saya sampai sempat berbual dengan beberapa 'pemancing orang lama' yang bukan sahaja memancing tetapi turut ramah berbual dan antaranya mengenai kisah pembangunan kawasan sekitar. 

Antara keluhan terkini mereka adalah pembinaan menebus guna pesisir pantai dan membentuk pulau buatan untuk Projek Gerbang Melaka menyebabkan jumlah ikan berkurangan. 


Selepas itu saya sempat berbual dengan pelanggai yang sedang bersiap untuk turun melanggai udang geragau. 


Mereka menyuarakan perkara yang sama kerana dasar pantai kian berpasir dan menjadikan udang geragau tidak banyak berada di kawasan tersebut kerana mereka memerlukan lumpur yang memberikan mereka sumber makanan.



Saya mengikuti kedua pelanggai tersebut yang merupakan berketurunan Serani dari Perkampungan Portugal terus melakukan aktiviti melanggai mereka sekitar satu jam sebelum kembali berkayuh pulang ke rumah mertua. 


Sesungguhnya kayuhan kali ini lebih manis kerana sebelum ini saya sekadar memerhatikan mereka dari tebing pantai sahaja.

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.