Monday, December 22, 2014

Perlawanan Akhir Piala Suzuki AFF 2014

Malam penentuan final Piala Suzuki AFF 2014 yang dinantikan dengan penuh debaran berakhir dengan kisah yang tidak kita mahupun. 

Namun bagi penyokong Harimau Malaya, saya merasakan mereka telah melakukan yang terbaik untuk berjuang ke minit terakhir dan jelas resamnya sama, hanya yang terbaik akan berhak dinobatkan sebagai juara. 

Kisah malam itu menjadi milik pasukan Thailand yang lebih bernasib baik biarpun ditinggalkan 3 jaringan sekaligus memadamkan kelebihan 2 jaringan awal mereka di bumi sendiri dalam perlawanan akhir pertama terdahulu. 

Saya sempat menghadirkan diri ke Stadium Bukit Jalil dengan harapan yang sama seperti penyokong yang lain namun niat saya, jika melihat kebangkitan pasukan Harimau Malaya pun sudah memadai. 

Saya bergerak dari Cameron Highlands ke KLIA sawal pagi untuk urusan penghantaran pulang pekerja asing saya. 

Sebaik selesai urusan tersebut saya bergegas menggunakan Lebuhraya PLUS dan seperti dijangka untuk melepasi Plaza Tol Sungai Besi saya sudah tersangkut dalam kesesakan sejauh 2 km lebih sebelum bersambungan selepas plaza tol. 

Mencari tempat meletak kereta juga antara cabaran kerana kali ini pasukan Trafik tidak membenarkan di sepanjang laluan ke Bukit Jalil sebagaimana perlawanan bola yang terdahulu. 

Malah ada kereta yang sedang diangkut oleh trak penunda kerana engkar arahan Trafik yang telah meletakkan kon-kon keselamatan di sepanjang laluan ini. 

Saya berpatah balik ke laluan Sungai Besi dan menghala ke TPM yang dikhaskan untuk meletak kereta namun jarak berjalan kaki ke stadium memelebihi 3 km. 

Tak apa saya sanggup!!

Tiba di perkarangan Stadium Hoki, laungan lagu keramat Negaraku sedang berkumandang dengan suara nyanyian penyokong begitu bersemangat. 

Saya sendiri bersemangat dan mulai mencari sesuatu di perkarangan Stesen LRT. "Tiket Masuk". 

Saya tidak bertiket dari awal kerana sekadar pasrah untuk mendapatkan tiket di Stadium biarpun dimaklumkan tiada baki tiket untuk dijual. 

Dan menjadi seperti kebiasaan, ulat tiket pula bersepah di perkarangan stadium. Terlalu mudah untuk menemui mereka kerana mereka melambai-lambaikan tiket kepada penyokong yang tiba. 

Saya sebenarnya boleh membeli tiket dengan lebih awal pada malam sebelumnya kerana mendapat tawaran tiket dari rakan whatsaap namun kaedah pembayaran melalui bank in terlebih dahulu dan bertemu di kawasan stadium tidak begitu menyakinkan saya. 

Pertama, penjualnya tidak begitu saya kenali kerana diperkenalkan oleh seorang lagi kawan dan kaeadah pengambilan tiket di stadium agak sukar jika mengharapkan talian telepon kerana pengalaman yang lalu kesesakan talian telepon sentiasa berlaku kerana jumlah pengguna yang sangat ramai. 

Harga yang ditawarkan adalah RM 60 sekeping, lebih RM 10 dari harga biasa. Tiada masalah bagi harga tiket. 

Saya membuat keputusan untuk membeli sahaja tiket di stadium dengan ulat tiket dan akhirnya saya membeli sekeping tiket dengan harga RM 30 ringgit sahaja ketika stadium kuat bergema dengan dengan laungan dan sorakan yang kemudiannya dari skrin besar di luar stadium menunjukan Safiq Rahim sedang diraikan dengan gol pertama.

Di perkarangan luar stadium disediakan skrin besar untuk penonton luar yang tidak masuk ke dalam kerana tiket ataupun sememangnya berhajat berada di luar sahaja. 

Saya kira ini langkah bijak kerana mereka boleh melihat perlawanan bolasepak dengan suasana yang sama meriah di dalam staidum dan mengurangkan keinginan mereka masuk ke dalam stadium yang telah penuh.  

Saya bergegas masuk ke dalam stadium dan di pintu masuk stadium saya sedikit terperanjat kerana dari media masa mengatakan akan terdapat dua lapisan pemeriksaan keselamatan. 

Hanya pemeriksaan penjaga tiket di pintu masuk sahaja yang saya lalui dan langsung tiada pemeriksaan keselamatan dari angggota keselamatan. 

Saya melihat seorang anggota Rela sedang menghalang seorang penonton membawa masuk air mineral di pintu kedua.

Di dalam stadium kelihatan ramai penyokong mundar mandir. Ada yang naik ke bahagian atas dan ramai pula yang turun. 

Rupa-rupanya terlalu sesak dan tidak boleh masuk langsung ke dalam ruang menonton.


  
Penuh ! Padat ! Sesak ! 

Saya bimbang dengan jumlah penonton yang saya kira melebihi jumlah kapasiti yang dibenarkan. 

Dengan anak-anak kecil yang masih didukung sehinggalah ke warga emas masih berusaha untuk masuk ke ruangan menonton. 

Termasuk juga adalah penonton wanita yang cuma memasuki kawasan yang sukar dimasuki ini dan saya sangat bimbang jika berlaku rempuhan dari luar kawasan stadium kerana sudah ramai yang sedang berasak-asakan untuk memasuki kawan menonton. 

Terdapat beberapa anggota keselamatan yang meminta penonton beredar mencari laluan masuk yang lain tetapi tidak diendahkan kerana mereka sudah mencuba pintu masuk yang lain sebelum itu.  

Yang hampa dan gagal menyelit beredar mencari pintu lain termasuklah saya juga tetapi masih hampa kerana tidak dapat masuk juga ke dalam stadium melalui lebih dari 4 pintu yang lain. 

Saya melihat segenap ruang yang ada seperti dibelakang kaunter peniaga yang mempunyai sedikit ruang menonton biarpun dilapisi jaring juga dipenuhi penyokong. 

Malah ruang kecil di antara dinding tandas yang mempunyai sedikit ruang untuk melihat kawasan padang juga dijadikan lokasi untuk menonton biarpun bau tandas jelas terasa!!!! 

Di ruang Tangga yang hanya nampak sebahagian padang kawasan pemainan pasukan Malaysia juga dipenuhi biarpun tidak dapat melihat aksi menyerang pasukan Malaysia ke kawasan Thailand. 


Akhirnya saya turun semula ke bawah dan alhamdulilah, saya dapat melihat aksi seterusnya pada minit ke 28 melalui celahan penonton yang lain dan kali ini lokasinya betul-betul dibelakang pasukan ULTRA MALAYA. 

Saya menonton tanpa banyak kerenah. Sama dengan penonton yang lain yang terpaksa membongkok sedikit untuk melihat aksi pemain kerana terdapat papan skrin bahagian atas pandangan kami. 

Minit ke 46, bergema sekali lagi penyokong dengan gol jaringan Indra Putra Mahyudin.  

Semasa rehat, saya berperluang menyelitkan diri di dalam kelompok penyokong ULTRA MALAYA yang akhirnya saya sendiri menjadi ULTRA MALAYA. 

Insyallah akan saya kongsikan dalam catatan khas mengenai ULTRA MALAYA.. sedetik bersama mereka. 

Perlawanan akhir Piala Suzuki berakhir dengan keputusan yang menyedihkan kita walaupun mendahului dengan jaringan sepakan percuma Safiq Rahim yang cantik menewaskan Kawin, penjaga gol Thailand.


Namun sesuatu yang positif berlaku. 

Suasana di kalangan penonton di Stadium yang rata-ratanya penyokong pasukan kebangsaan langsung tidak menyalahkan pasukan sebaliknya kukuh dan terus menyokong. 

Tiada desakan, tiada kutukan, tiada luahan kekecewaan serta rusuhan kepada kekalahan tersebut. 

Semuanya positif kerana mereka telah melihat sendiri bagaimana setiap pemain beraksi dengan penuh semangat dan berjuang ketitisan peluh terakhir untuk mencapai kejayaan namun jelas rezeki kali ini bukan milik mereka dan kita. 

Permainan yang menarik dengan usaha dan gerakan yang bertali arus untuk mencari ruang kejayaan dari awal perlawanan yang membolehkan pasukan Harimau Malaya mendahului perlawanan serta agregat. 

Namun pasukan Thailand pada masa yang sama juga turut berusaha gigih dan mereka membuktikan kegigihan mereka lebih berjaya. 

Namun di sebalik kisah perlawanan akhir saya sedikit ingin menegur kepada penyokong dan peniaga yang hadir di Stadium.

Soal kebersihan langsung tidak diambil peduli dengan sampah sarap bebas dibuang dan dilonggokkan merata-rata di segenap penjuru perkarangan stadium.

Melihat timbunan sampah yang merata-rata cukup memberui gambaran mentaliti penyokong kita dan sikap peniaga yang juga menimbunkan sampah mereka lebih mengecewakan selepas mengaut keuntungan dari 100,000 ribu penyokong. 

Sangat menghampakan dan ianya menambah luka kekalahan perlawanan akhir ini. 

TAHNIAH HARIMAU MALAYA... 

Saya akan berkongsikan catatan saya seterusnya mengenai penyokong ULTRA MALAYA yang telah berjaya menerbitkan rasa kagum dan hormat saya kepada perjuangan dan pengorbanan mereka demi menyokong pasukan HARIMAU MALAYA.

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.