KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Jabatan Imigresen akan melancarkan operasi besar-besaran bagi membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di Cameron Highlands dalam masa terdekat.
Timbalan Ketua Pengarah Imigresen Bahagian Kawalan, Datuk Sakib Kusmi berkata operasi itu akan melibatkan agensi penguatkuasa antaranya Pejabat Daerah Cameron Highlands, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan beberapa agensi penguatkuasa lain.
Beliau berkata pihaknya akan terus menjalankan risikan dan memantau perkembangan di kawasan tanah tinggi itu.
"Sejak Ops Gempak Ahad lepas yang menahan seramai 181 PATI, keadaan di sana menjadi lengang dan tidak ramai pekerja asing kelihatan di premis perniagaan dan kawasan pertanian yang diteroka secara haram oleh majikan yang menggunakan tenaga kerja warga asing," katanya kepada Bernama.
Pada masa sama, beliau menyifatkan laporan media mengenai kebanjiran kira-kira 30,000 warga asing di Cameron Highlands sebagai tidak masuk akal.
"Laporan itu sukar dipercayai tanpa sumber maklumat tepat. Bilangan pekerja asing di Cameron Highlands yang diluluskan setakat ini berjumlah 11,016 orang.
"Daripada jumlah itu seramai 6,057 adalah warga Bangladesh yang bekerja dalam pelbagai sektor seperti pertanian (5,990 orang), perladangan (13 orang) manakala sektor pembinaan dan perkhidmatan berjumlah 54 orang," kata Sakib.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan wujud aktiviti membabitkan sindiket ejen pekerja asing yang membawa masuk warga asing.
Katanya semasa Ops 'Gempak dan Mesra' Ahad lepas, pihak imigresen mendapati hampir keseluruhan pekerja asing meninggalkan Cameron Highlands terutama yang bekerja di kawasan pertanian dan perladangan
"Saya percaya pekerja asing itu diuruskan sindiket yang membantu mengeluarkan mereka dari Cameron Highlands dengan begitu cepat," katanya.
Mengenai tempat persembunyian PATI di Cameron Highlands, Sakib menjelaskan kehadiran pihak berkuasa dapat dikesan Pati dan pihaknya tidak menolak kemungkinan mereka dimaklumkan lebih awal oleh majikan atau ejen mereka.
"Pihak imigresen percaya majikan menyediakan tempat tinggal sementara untuk Pati di sekitar kawasan berkenaan ketika pihak imigresen melakukan operasi menangkap Pati baru-baru ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, ACP Wan Zahari Wan Busu berkata pihaknya akan turut membuat operasi menangkap Pati dalam masa terdekat.
"Kawasan panas yang dikesan setakat ini adalah di sekitar kawasan Ringlet dan beberapa kawasan berhampiran," katanya.
Ahad lepas, sebanyak 181 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Ops Gempak dan Mesra yang pertama kali dijalankan di tujuh lokasi iaitu Ringlet, Lembah Bertam, Tanah Rata, Brinchang, Kampung Raja, Tringkap dan Kuala Terla dengan melibatkan 369 pegawai dan anggota imigresen.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.