Dari sejak sebulan yang lalu, hujan mulai turun setiap hari di Cameron Highlands menandakan musim hujan mulai tiba.
Dan petang 6 November 2014, hujan yang turun mulai pukul 6 petang di Ringlet bermula agak lebat. Saya yang ketika itu berada di Lembah Bertam mulai merasai perbezaan kekuatan hujan ini.
Saya pulang ke Tanah Rata sekitar pukul 7 malam dan juga sama mendapati hujan di Tanah Rata juga agak lebat dan berat.
Sekitar 7 setengah malam, saya mendengar siren bomba dan ambulan mulainya bergegas ke arah Ringlet dan saya mulai merasakan ada sesuatu yang berlaku di sana.
Ini benar kerana saya mulai mendapat gambar melalui whatsapps bahawa Kampung Baru Ringlet mulai dilanda air sungai yang melimpah.
Pukul 8.15 malam saya mengambil keputusan bergerak ke Lembah Bertam kerana mendapat maklumat ada kawasan kebun saya yang juga terlibat dengan tanah runtuh dan rakan saya memaklumkan bahawa siren di pekan Lembah Bertam mulai dibunyikan tanda air empangan akan dilepaskan.
Dalam hujan lebat yang terasa berat titisannya saya ke sana dan khabar dalam whatsapps yang diterima ada tanah runtuh yang menutup jalan.
Benar ketika sampai di Habu, perjalanan terhenti dan kelihatan anggota Polis juga sedang mengawal lalulintas.
Ada runtuhan besar menutupi jalan.
Saya turun meninjau kawasan runtuhan dan mendapati laluan tertutup sepenuhnya. Pasukan Polis yang ada di situ sebenarnya dalam perjalanan ke Lembah Bertam untuk mengaktifkan prosedur pemindahan penduduk untuk perlepasan air empangan.
Tidak lama, terdapat sebuah jentera back pusher sampai untuk membantu membuka laluan.
Kami menyambung kembali perjalanan dan saya segera ke Lembah Bertam untuk melihat sendiri di kawasan kerja saya sebelum kembali ke Lembah Bertam kemudian.
Ketika ini prosedur pemindahan penduduk sedang giat dijalankan dengan bantuan Pasukan Rela.
Siren Amaran dibunyikan berterusan. Bingit telinga mendengarnya.
Juga kelihatan anggota-anggota Polis samada melalui kereta peronda dan juga bermotorsikal serta berjalan kaki mengarahkan penduduk berpindah ke kawasan penempatan sementara di dewan.
Ketika ini pemilik kenderaan mulai mengalihkan kenderaan masing-masing ke kawasan yang lebih tinggi.
Namun bukan semua yang memberi kerjasama.
Saya melihat sendiri dalam keadaan siren yang berpanjangan dibunyikan masih ramai yang enggan keluar dari rumah.
Anggota rela yang berbangsa Cina turut mengatakan jika mereka yang mengetuk pintu rumah pasti tiada yang akan menurut perintah.
Malah anggota Polis yang terlibat juga tidak dipatuhi arahan mereka malah saya mendengar sendiri jeritan dari loud speaker Pegawai Polis yang menjerit kuat untuk penduduk keluar segera.
" Keluar dari rumah!! Jangan Engkar arahan Pihak Polis!!! Keluar !!!" ...
Namun masih banyak rumah yang dibuka lampunya menandakan masih ada penghuni.
Ironinya esok ketika sidang media bersama Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, pihak wartawan mengajukan pertanyaan ada penduduk mengatakan siren amaran tidak berfungsi!!!
Pada pukul 8.40 malam siren utama di empangan mulai diaktifkan menandakan paras air telah menghampiri paras merbahaya.
Pada pukul 9.30 malam, kami dimaklumkan bahawa air mulai dilepaskan bermaksud prosedur perlepasan air 45 minit dari siren pertama dibunyikan pada pukul 8.15 malam.
Air masih mengalir lemah kerana saya dimaklumkan oleh salah seorang anggota Rela ianya biasanya mengambil masa sekitar 20 minit untuk sampai ke kawasan Lembah Bertam ini.
Saya beredar ke Ringlet untuk meninjau kawasan banjir di Kampung Baru Ringlet.
Sekitar pukul 11 malam rakan saya menghantar gambar suasana air yang mulai melimpah di kawasan Lembah Bertam selepas air empangan dilepaskan.
Suasananya melimpahi kawasan rendah terutamanya sekitar SJK C Lembah Bertam.
Keesokan harinya dari dengar-dengar yang dipertuturkan, pihak TNB membuka dua pintu dengan ketinggian 8 inci sahaja untuk meredakan paras air di dalam tasik empangan.
8 inci yang dibuka sudah melimpahi kawasan lembah ini dan kalau tak silap saya pada tahun lepas ianya dibuka pada ketinggian 6 inci melibatkan 4 pintu dan kesannya limpahan air membanjiri sepenuhnya kawasan penempatan penduduk.
Malah pada malam tersebut saya mendapat maklumat pintu salur air ke Empangan Jor juga tersumbat akibat sampah sarap yang terdapat di muka pintu salur dan ini memaksa 5 penyelam khas dibawa ke kawasan empangan untuk memulihkannya semula.
Ini saya akui kerana saya sendiri berselisih dengan pasukan Polis yang mengiringi konvoi pasukan penyelam ini di Habu setelah mereka sendiri turut terkandas akibat tanah runtuh.
Malah keutamaan pasukan pembersihan JKR pada ketika itu adalah untuk membuka laluan kepada pasukan ini terlebih dahulu serta dua buah ambulan yang membawa 3 mangsa tercedera akibat tanah runtuh di bengkel kenderaan yang akan saya kongsikan pengalaman menyaksikan mereka diselamatkan.
Pemerhatian saya dari pukul 8.20 malam sehingga air dilepaskan, semua pihak khasnya Polis yang dibantu oleh pihak Rela telah berjaya menjalankan tugas pemindahan mereka dengan baik walaupun tidak mendapat sepenuhnya kerjasama dari penduduk.
Malah saya berkesempatan berbual dengan Pengurus Empangan TNB tersebut pada awal pagi keesokan harinya yang menceritakan secara ringkas kenapa air perlu dilepaskan segera bagi mengurangkan risiko akibat kenaikan paras yang mendadak akibat dari hujan lebat di huluan sungai dari Kampung Raja hinggalah ke Ringlet sendiri.
Malah prosedur makluman kepada pihak berkuasa dibuat secara teratur bagi memastikan kelancaran dan keselamatan diutamakan untuk tujuan tersebut.
KUDOS kepada mereka semua... saya memahami ketegasan dan 'kegarangan' mereka demi mencegah nyawa terkorban...
Bila dah kena mungkin baru menunding jari...
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.