dari catatan keempat :
Catatan kelima ini masih di Pulau Perhentian Besar dan masih lagi mengenai aktiviti snorkeling yang kami ikuti secara pakej.
Dari Pantai Penyu, kami bergerak ke kawasan Teluk Pauh dan sebenarnya kami menjangkakan akan melakukan snorkeling di kawasan teluk ini.
Pantai di teluk ini dikatakan antara yang tercantik di Perairan Pulau Perhentian dan di sinilah terletaknya Perhentian Island Resort.
Namun rupanya kami dibawa ke situ untuk melihat penyu yang kebetulan berada di kawasan ini.
Pemandu bot kami memberitahu kami bahawa kawasan ini dikenali sebagai Turtle Point kerana penyu-penyu akan berada di sini sepanjang masa untuk mencari makanan.
Sumber makananya yang terdapat di dasar laut teluk ini banyak dan kedalamannya pula tidak terlalu jauh.
Ini memudahkan penyu naik semula ke permukaan air untuk mendapatkan udara.
Pemandu bot kami juga agak tegas dengan mengatakan di larang menyentuh penyu, menangkap atau cuba mengancam penyu yang ditemui.
Hanya berenang untuk melihatnya sahaja.
Kami segera turun dan turut bersama kami beberapa penyelam dari bot-bot lain yang mulai tiba selepas itu.
Jumlahnya hampir 20 orang dan saya antaranya.
Kawasan ini hanya sesuai untuk mereka yang tahu dan mahir melakukan snorkeling dan berenang.
Jadi isteri dan anak-anak saya hanya melihatnya dari atas bot bersama mereka yang sama tidak mahu turun.
Kami tidak menunggu lama kerana kami telah mendapat isyarat dari pengiring kami bahawa terdapat seekor penyu berada di kawasan ini .
Masing-masing segera ke kawasan yang ditunjukan dan dari jaral 3 meter kami jelas melihat seekor penyu sedang berehat di dasar lautan ini dan tidak bergerak.
Terdapat beberapa pelancong asing yang mahir dan mula menyelam ke dasar dan seperti memahami arahan pemandu bot, mereka sekadar berada di sekitarnya sebelum naik ke permukaan semula.
Kami yang tidak mahir menyelam ini sekadar melihat dari atas sahaja.
Tidak lama kemudian, penyu mula melakukan pergerakan dan berenang di dasar dan rata-rata kami segera berenang mengikut arah pergerakanya di sekitar kawasan.
Memang penat kerana penyu tersebut masih berenang dan berada di bawah sahaja
Ketika ini saya sudah terasa sudah penat dan mulai memanjat bot kembali.
Tidak lama selepas itu, kami dimaklumkan penyu akan naik ke permukaan. Lantas kamera saya menanti dari atas bot pergerakan penyu.
Mudah sahaja, tengok sahaja pergerakan penyelam yang lain yang rapat mengikuti penyu tersebut.
Akhirnya ia muncul di atas permukaan seketika.
Anak-anak saya yang berada di tepi bot mulai menjerit keseronokan kerana melihat penyu yang begitu besar muncul di tepian bot.
Selama ini mereka hanya mampu melihatnya dari youtube dan buku sahaja.
Saiznya saya anggarkan melebihi 1 meter lebar dan panjang sekitar 1.5 meter panjang.
Ketika ini semua penyelam terasa teruja sangat dan mereka mula mengejar rapat penyu yang timbul di permukaan ini .
Manakala pemandu bot menjerit kuat supaya tidak menyentuh penyu tersebut dan mengulanginya beberapa kali.
Cuma kekesalan saya timbul kerana masih ada seorang dua yang masih engkar dan bangga menepuk bahagian belakang penyu tersebut.
Penyu ini hanya mengambil beberapa saat sahaja untuk timbul sebelum berenang semula ke dalam air dan timbul kembali dengan pantas dan hanya yang mempunyai kekuatan dan kemahiran berenang seperti uncle in sahaja yang mampu mengikut penyu tersebut .
Beberapa pelancong asing juga turut menyerah kalah untuk mengejar tetapi mereka sama seperti yang lain, merasa kepuasan dapat melihat penyu dari jarak yang amat dekat.
Cuma ingat.. hormati makhluk istimewa ini jika anda ke sana.
Jangan mengancam atau membuatnya kurang selesa jika anda menemuinya kerana kami juga ingin bertemu dengannya sekali lagi ...
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.